Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Belgium, kami datang demi lestari seni!

Aktivis Nobat Kota Singa naik bas dua jam dari Paris setiap hari demi amanah sebar warisan Melayu
Jul 30, 2023 | 05:30 AM



Kemeriahan terasa apabila lagu ciptaan anak Singapura seperti Zapin Telok Blangah, Zapin Kampung Melayu, Nona Singapura dan Chan Mali Chan berkumandang sejauh Belgium.


Di sinilah berlangsungnya pesta seni dan muzik dunia, Festival Mondial de Folklore de la ville de Saint-Ghislain, yang disertai kumpulan seni tradisional tempatan, Sri Warisan Performing Arts Ltd dan Nobat Kota Singa.

Selama 10 hari, enam anggota Nobat Kota Singa menghabiskan masa melakukan kembara seni tradisional ini di samping melawat tempat menarik di Belgium mahupun Paris di Perancis, antara 18 hingga 27 Jun lalu. Hari Raya Haji juga disambut di rantauan.

Ketika dihubungi Berita Minggu (BM), Encik Rudi Salim yang mewakili Nobat Kota Singa menjelaskan:


“Pastinya seronok kerana kami bertujuh merantau bersama. Ini kira paparan band penuh dengan adanya pemain akordion, penggesek biola, pemain mandolin dan gambus, pemain gitar bes, dua pemalu kompang dan seorang penyanyi. Kami juga bekerjasama dengan penari muda dari Sri Warisan.

“Antara tempat yang kami kunjungi adalah rumah kebajikan warga emas dan juga sekolah untuk bertemu, anak-anak yang masih belajar.”

Bagi Encik Rudi, inilah peluang keemasan menyajikan dan memperkenalkan hasil karya anak jati Singapura seperti Encik Zubir Abdullah.

“Setiap pesta yang kami hadiri ada cabaran tersendiri. Kali ini, kami tinggal di motel sekitar Paris. Dari Paris, kami naiki bas setiap hari untuk sampai ke Belgium. Alhamdulillah, perjalanannya tidak begitu lama dan ambil masa sekitar dua jam sahaja.

“Seperkara lagi, ramai penduduk di dua negara ini tidak boleh berbahasa Inggeris. Jadi kami terpaksa menggunakan wadah penterjemah Google (Google Translator) selain mendapatkan bantuan daripada pegawai perhubungan yang menjaga pasukan Singapura,” tambah Encik Rudi.


Ditanya tentang keunikan festival ini, beliau menyatakan ia menarik penyertaan ramai penggiat seni dari Belgium, Perancis, Afrika Selatan, Colombia, Uruguay, Argentina, Uzbekistan dan Kazakhstan.

“Kami dapat belajar sedikit sebanyak tentang muzik dan tarian setiap negara peserta. Singapura adalah satu-satunya perwakilan dari Asia. Nobat Kota Singa juga raih bermacam pengetahuan sepanjang pesta ini.

“Pertama, dengan berseni dan berkecimpung dalam muzik dan tarian, kami dapat menjalin persahabatan dengan negara lain. Walaupun kami tak faham bahasa yang dinyanyikan, tetapi kami tetap boleh merasakan dan menjiwai muzik yang dimainkan.

“Kami juga dapat melihat bagaimana penggemar seni dari negara luar mengagumi seni muzik dan tarian Melayu. Kami juga mencari ruang untuk berkongsi dengan peserta lain mengenai negara Singapura, seni dan budaya Melayu

“Saya juga berharap dengan membuat persembahan di luar negara, anggota Nobat Kota Singa.akan tampil dengan persembahan lebih baik dan matang apabila pulang ke Singapura. Mudah-mudahan, kami lebih yakin di atas dan luar pentas,” katanya lagi.

Sebelum ini, Nobat Kota Singa telah berkunjung ke Malaysia, Poland, Bulgaria, Turkey, Mexico dan Perancis sebanyak tiga kali. Kumpulan ini sangat berharap dapat menyertai Pesta Muzik di Uzbekistan kelak.

Menyentuh tentang sambutan orang ramai terhadap irama Melayu, Encik Rudi menjelaskan ramai yang menerima dengan hati dan minda terbuka. Tiada yang segan bertepuk tangan dan ramai yang cuba ikut berjoget dengan penari.

“Antara lagu yang saya lihat mereka senang dendangkan dan ikut menari adalah Nona Singapura dan Rentak 106,” kata Encik Rudi.


Hari Raya Haji pula disambut di Paris dengan enam sekawan berjalan-jalan ke Muzium Louvre. Mereka turut menaiki feri bagi menyusuri Sungai Paris dengan masing-masing nampak segak dan bergaya dengan mengenakan baju kurung.

“Inilah kali pertama saya menyambut Hari Raya Haji di rantauan. Alhamdulillah, selain menjadi bak duta budaya Melayu di Belgium dan Perancis, kami juga dapat mengunjungi Grand Place di Belgium atau dewan bandar dan pusat politik negara ini.

“Kami juga menjenguk arca pancuran air Manneken Pis. Di Paris, kami mengunjungi Menara Eiffel dan Muzium Louvre. Sempat kami naiki feri untuk mengelilingi kawasan sekitar Paris dan Notre Dame,” tambah Encik Rudi.

Kembalinya ke Kota Singa, Nobat Kota Singa ingin terus melestarikan, menjaga dan berkongsi seni muzik tradisional Melayu kepada semua lapisan masyarakat khususnya generasi muda.

“Kami akan terus meningkatkan mutu muzik kami bagi setiap persembahan kami. Alhamdulillah, kami dapat menguasai muzik tradisional dan juga muzik keroncong. Mudah-mudahan, pada masa mendatang, kami juga dapat menguasai muzik ghazal dengan baik juga.

“Antara perancangan kami adalah bagi mengadakan konsert tahun depan sempena ulang tahun ke-13 Nobat Kota Singa bergiat di persada seni muzik tradisional Singapura,” ujarnya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >