Biasanya, Cik Aliyah Mahirah Muhammad Ahzman akan menyambut Aidiladha di rumah neneknya, menikmati pelbagai juadah Hari Raya, dan meluangkan masa bersama keluarga.

Namun pada Aidiladha ini, beliau cuma dapat meluangkan beberapa jam sahaja di rumah neneknya itu, sebelum perlu melaporkan diri di Masjid Al-Istighfar sekitar tengah hari.

Ini kerana anak muda itu telah mendaftarkan diri sebagai sukarelawan bagi menyokong ibadah korban yang dijalankan di kawasan tanah lapang dekat masjid di Pasir Ris itu.

Dalam wawancara bersama Berita Minggu (BM), Cik Aliyah, 21 tahun, berkata beliau tidak teragak-agak meletakkan namanya sebaik mendapat tahu masjid tersebut menawarkan ibadah korban secara langsung pada 2026, setelah beberapa tahun tidak dapat melakukan demikian.

“Saya tinggal di Pasir Ris seumur hidup saya, dan saya ingat lagi suasana gotong-royong dan kemeriahan di Masjid Al-Istighfar semasa ibadah korban masih dijalankan.

“Sejak pandemik Covid-19, ibadah korban tidak lagi dijalankan di sini.

“Apabila mendapat tahu yang ia kembali diadakan di masjid ini pada 2026, saya tidak mahu melepaskan peluang mengambil bahagian memandangkan saya pun sudah 21 tahun,” kata anak bongsu dalam keluarga empat beradik itu.

Rancangannya bagi Aidiladha nanti adalah untuk ke Masjid Al-Istighfar bagi menunaikan solat Hari Raya, dan kemudian meluangkan masa di rumah neneknya hingga 12 tengah hari, sebelum kembali ke masjid untuk bersiap sedia bagi tugasnya yang akan bermula pada 1 petang.

“Mujur keluarga saya amat memahami kerana mereka pun suka melakukan kerja sukarelawan.

“Saya tanya ibu saya, boleh tak saya bantu di masjid atau adakah beliau mahu saya bersama keluarga?

“Ibu saya izinkan. Lagipun salah seorang abang saya pun turut terlibat dalam ibadah korban di masjid yang sama,” ujar anak muda itu.

Apabila menghadiri sesi taklimat di Masjid Al-Istighfar sekitar seminggu sebelum Aidiladha, Cik Aliyah berkata beliau terharu melihat ramai yang tampil berkhidmat, termasuk belia.

“Saya rasa, bagi belia, pengalaman ini pasti amat bermakna.

“Ini kerana ramai belia tahu asas proses ibadah korban dan syarat-syarat melaksanakan korban, tetapi untuk benar-benar mengalami suasana ibadah korban di Singapura hari ini sangat sukar.

“Jadi ini adalah peluang yang sangat baik,” katanya lagi.

Bagi Cik Aliyah, dorongan utama untuknya menjadi sukarelawan adalah rasa ingin tahu tentang bagaimana ibadah korban dijalankan.

“Di Singapura, terutama sekali dalam beberapa tahun kebelakangan, ramai anggota masyarakat Islam membuat ibadah korban tetapi tidak tahu bagaimana melaksanakannya.

“Saya ingin tahu prosesnya, apa yang berlaku sebelum dan selepas penyembelihan hingga daging sampai ke tangan sohibul korban (individu yang melakukan ibadah korban),” kata penuntut itu.

Pada 27 Mei nanti, Cik Aliyah, yang merupakan sukarelawan Masjid Al-Istighfar sejak berusia 16 tahun, akan menyokong aspek pentadbiran ibadah korban dengan tugasnya melibatkan pangkalan data bagi syif petang dari 1 hingga 5 petang.

Walaupun tugas itu tidak menghendaki Cik Aliyah terlibat secara langsung dengan kambing, stesennya nanti terletak betul-betul di pintu masuk khemah pengurusan kambing, yang disediakan syarikat pengendali korban, Aliyah Rizq Holdings.

Peluang berada dalam jarak dekat dengan pelaksanaan ibadah korban akan pasti dihargainya, kata Cik Aliyah, walaupun belia itu tahu beliau akan dikelilingi bau dan bunyi yang berkaitan dengan kambing dan ibadah korban.

“Saya sedar nanti akan ada baunya, tapi saya terlalu rindukan suasana ini. Jadi saya akan teruskan juga.

“Walaupun saya tidak terlibat dengan proses korban itu sendiri, saya yakin pengalaman itu akan membantu saya lebih memahami proses yang dijalankan,” kata Cik Aliyah.