Setelah melewati pelbagai badai dalam bahtera perkahwinannya sebelum ini, penyanyi dan pelakon, Bella Astillah, 31 tahun, enggan lagi dikaitkan dengan urusan bekas suaminya, Aliff Aziz, 34 tahun.
Apatah lagi mengenai isu bersangkutan tuduhan berkhalwat antara Aliff dengan pelakon drama, Jejak Karmila, Ruhainies, atau Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas, 32 tahun, yang berlaku pada Mac 2024 dan pengakuan bersalah yang dibuat pada 27 Februari.
Sebagaimana lapornya dalam laman web, Utusan Malaysia, beliau dan bekas suaminya itu tidak lagi mempunyai sebarang pertalian.
“Mengaku bersalah atau sebagainya, ia bukan lagi urusan saya.
“Saya dimaklumkan mengenai pengakuan bersalah itu daripada seorang sahabat.
“Pada saya, apa sahaja keputusan yang mereka ambil, mengaku bersalah ataupun tidak, itu bukan lagi menjadi urusan saya.
“Saya hanya mahu berikan tumpuan kepada diri sendiri dan anak-anak. Selebihnya, saya serahkan kepada Allah swt,” ujar Bella, atau nama sebenarnya, Dayang Ara Nabellah Awang Astillah.
Pada 27 Februari, Jabatan Pendakwaan Syariah Kuala Lumpur telah mengesahkan kes khalwat membabitkan Aliff dan Ruhainies selesai susulan bayaran denda berjumlah RM3,000 ($903.59) yang mereka lunaskan pada tarikh yang sama.
Sebelum ini, mereka hadir ke Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan pada Jun 2024 bagi proses lanjutan ikat jamin berhubung kes berkenaan yang berlaku di sebuah kondominium mewah di Kuala Lumpur.
Kededuanya ditangkap selepas didapati bersekedudukan di kondominium berkenaan pada Mac 2024.
Kira-kira tiga bulan selepas kejadian itu, Bella memfailkan cerai talak satu buat kali kedua terhadap Aliff pada 13 Jun 2024.
Dalam pada itu, ibu anak dua berusia lima dan lapan tahun itu juga enggan mengulas lanjut mengenai hal tersebut kerana bimbang kenyataannya disalah erti.
“Saya tidak mahu mengulas dengan lebih lanjut, risau jika tersalah cakap.
“Apa pun, kalau kita buat baik, Insya-Allah yang datang kepada kita juga perkara yang baik.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg