KUALA LUMPUR: Pasangan selebriti, Aliff Aziz dan Ruhainies didenda RM3,000 ($906) oleh Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan, di Kuala Lumpur, pada 21 Februari selepas mengaku bersalah atas pertuduhan berkhalwat.
Jabatan Pendakwaan Syariah Wilayah Persekutuan dalam satu kenyataan pada petang 27 Februari mengumumkan bahawa pasangan yang ditahan pada 2024 itu menukar pengakuan kepada bersalah.
Pada 3 Julai 2024, Aliff atau nama sebenarnya, Mohammad Aliff Aziz, 33 tahun, dan Ruhainies atau nama lengkapnya Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas, 31 tahun, mengaku tidak bersalah selepas tuduhan dibacakan terhadap mereka.
“Pada tarikh sebutan lepas iaitu pada 17 Oktober tahun lalu (2024), ditetapkan tarikh 20 dan 27 Februari lalu untuk sambung bicara selepas kedua-duanya mengaku tidak bersalah.
“Bagaimanapun, peguam syarie tertuduh melalui surat bertarikh 18 Februari lalu memaklumkan kedua-dua anak guam berhasrat untuk menukar pengakuan dan memohon kepada pihak Mahkamah untuk pindaan tarikh pada 21 Februari.
“Selepas tuduhan dibacakan semula dan kedua-duanya menukar pengakuan kepada bersalah. Atas pengakuan bersalah itu, Hakim Mahkamah Tinggi Syariah mensabitkan kesalahan ke atas kedua-keduanya dan menjatuhkan hukuman denda RM3,000 atau tiga bulan penjara jika gagal membayar denda,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.
Menurut sumber, Aliff dan Ruhainies, kemudian membayar denda itu.
Terdahulu, Aliff dan Ruhainies masing-masing dituduh di bawah seksyen 27 (a) dan 27 (b) Akta Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 [Akta 559], atas kesalahan berkhalwat.
Sebelum itu, pada 20 Jun 2024 Aliff dan Ruhainies hadir di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan di sini, bagi proses lanjutan bon jamin terhadap kes khalwat mereka yang berlaku di sebuah kondominium mewah di Kuala Lumpur.
Media sebelum ini melaporkan artis berstatus suami orang dan pasangannya, seorang pelakon wanita, dicekup berkhalwat selepas didakwa bersekedudukan di sebuah kondominium mewah.
Sumber dilapor berkata tangkapan dibuat Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) adalah berdasarkan maklumat awam.
Pasangan selebriti yang sibuk menjalani penggambaran drama itu, dilapor ditahan di kediaman milik pelakon wanita terbabit.
Aliff dan Ruhainies kemudian tampil memberi penjelasan menerusi hantaran Instagram masing-masing berhubung kontroversi yang tercetus.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg