Biarpun hanya 11 tahun, Bella Putri menyahut cabaran berlakon dan tidak pernah gagal memukau penonton dengan bakatnya.
Pelakon cilik yang menjadi kesayangan ramai, Bella telah memenangi Anugerah Bintang Cilik Terbaik di Pesta Perdana 2023 yang diadakan di Teater Mediacorp Sabtu lalu.
Bakat cilik itu mencetus inspirasi kepada pengarah berkaliber, Muhammad Mahfuz Mazlan, yang menyerlahkan lagi kehandalan lakonan Bella dalam adegan yang menyayat hati, di mana wataknya meninggal dunia sehari sebelum hari lahirnya.
Ditemui Berita Harian selepas penerimaan anugerahnya, Bella berkata dia bersyukur dan gembira dengan pengiktirafan melalui anugerah itu.
“Saya berasa amat gembira dan tidak sangka dipilih,” ujar Bella, 11 tahun, yang menerima dua pencalonan dalam kategori tersebut.
“Jujur kata, bagi adegan kematian dalam Bidadari, saya sangat gembira dan tidak takut untuk melakonkannya. Malah, apabila pengarah mengumumkan bahawa seseorang watak akan meninggal, saya ingin tawarkan diri untuk mainkan watak itu.
“Saya tidak sabar untuk melakonkan adegan tersebut dan saya juga telah mencadangkan kepada pengarah agar masukkan kapas dalam hidung supaya lebih realistik,” kongsi Bella, yang ingin terlibat dalam perkembangan watak menyedihkan.
Adegan itu juga telah banyak mendidik Bella mengenai kematian dan bahawa ajal boleh menjemput pada bila-bila masa, tidak kira usia, tambahnya.
Melakonkan drama Bidadari pada 2022 dan drama Dilema Dania pada 2021 semasa berusia sembilan tahun, Bella menerima dua pencalonan bagi kategori Anugerah Bintang Cilik Terbaik.
Menurut Bella, penglibatannya dalam bidang hiburan turut menarik perhatian rakan-rakan sekolahnya yang kagum dan terperanjat bahawa beliau meraih peluang melakonkan babak sukar.
“Dengan itu, saya juga menggalakkan mereka untuk cuba jika mereka mempunyai minat dan berani berbuat demikian,” ujar Bella yang menerima sokongan kuat daripada keluarga dan kawan-kawan sekolah.
Antara nasihat yang Bella pegang teguh adalah supaya tidak mudah berputus asa.
“Betapa susah sesuatu tugas itu, jangan tarik diri. Berikan usaha dan percubaan yang terbaik,” katanya.
Bella turut menceritakan cabaran berlakon dalam drama Dilema Dania dan Bidadari.
“Sebagai anak tunggal, saya dapat menghayati watak dalam drama Dilema Dania, yang menantikan seorang adik. Bagi Bidadari pula, saya harus belajar menahan emosi walaupun ramai di set menangis ketika adegan sedih itu,” kongsi Bella.
Buat masa ini, Bella tiada projek lakonan baru dan telah selesai projek terkini dalam filem Hari Raya Haji yang akan disiarkan akhir bulan Jun nanti.
Memandangkan dia kini di Darjah 5, Bella telah membuat keputusan menolak tawaran lakonan kerana ingin menumpukan perhatian kepada Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) pada 2024.
Apabila ditanya artis manakah yang ingin Bella berlakon bersama, Bella berfikir sejenak dan menjawab Sharnaaz Ahmad dengan tawa kecil.
“Saya bersyukur kerana sejauh ini diberikan kesempatan berlakon dengan artis-artis hebat dan berbakat. Saya ingin berlakon dengan Shaarnaz kerana beliau juga pelakon yang sangat berbakat,” luah Bella dengan senyumannya yang lebar.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg