Lagu Raya alaf baru kumpulan De Fam yang ‘catchy’ berjudul, Alamak Raya Lagi, berjaya menambat hati warganet sehingga tular di media sosial ketika ini.
Sehingga kini, video muzik, Alamak Raya Lagi, sudah mencecah tontonan sebanyak 780,000 kali di platform YouTube dalam tempoh hampir dua minggu dilancarkan.
Kumpulan De Fam yang ditubuhkan pada 2015 menampilkan tiga anggota iaitu Azira Shafinaz, Cik Manggis dan Sophia Liana.
Menurut Cik Manggis, bermacam dugaan dihadapi bagi menyiapkan lagu Raya genre pop dengan unsur tradisional serta dangdut.
“Macam-macam dugaan tetapi akhirnya siap juga buah tangan kami untuk menceriakan Raya anda semua.
“Terima kasih kerana ‘vibing’ (seiring sejalan rasai suasana beraya) dengan kami. Jangan lupa ‘share’ kat emak bapak dan jiran semua okey? Pastikan hafal siap-siap nanti kita nyanyi sama-sama. Alamak!!!,” katanya.
Sophia Liana turut mengucapkan terima kasih kepada semua peminat yang menonton video muzik, Alamak Raya Lagi.
“Terima kasih semua. Selamat berpuasa dan Selamat Hari Raya. Jalan lenggang-lenggok dan jangan kalut ya?” katanya.
Sementara itu, apabila meninjau di ruangan komen pula, rata-rata warganet memuji lagu Raya De Fam itu.
“Lepas lagu Raya kumpulan Dolla, lagu ini jadi lagu kedua yang best untuk era pop Melayu (M-Pop),” tulis warganet.
“Lagu terpaling Raya tahun ini (2024). Memang seronok dengar. Lirik yang ringkas dan bersahaja. Terbaiklah De Fam,” tulis seorang lagi warganet.
“Lagu Raya 2024 ini memang best didengar. Baru kali pertama dengar, terus tersuka. Bestnya vibe dan mood Raya itu dapat dirasakan. Tahniah De Fam, good job!,” tulis seorang peminat De Fam.
Sebelum ini, dua lagu genre M-Pop dendangan Dolla, Raya Raya Raya, dan nyanyian Aina Abdul, Berkunjung Di Hari Raya, mendapat sambutan menggalakkan daripada pendengar.
Raya Raya Raya sudah distrim sebanyak 2.3 juta kali di Spotify.
Aina juga menghasilkan lagu Raya terbaru, Raya Lagi Happening, yang menampilkan pelakon Syafiq Kyle.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg