TikTok baru-baru ini melancarkan sumber tempatan baru untuk keluarga menguruskan tabiat digital anak remaja mereka, dalam memastikan pengalaman lebih selamat di wadah media sosial itu.

Panduan Semakan Digital Keluarga, yang dibangunkan dengan kerjasama TOUCH Cyber Wellness, bagaimanapun tidak menetapkan peraturan ketat tentang penggunaan wadah tersebut.

Sebaliknya, ia direka untuk membantu keluarga mengadakan perbincangan jujur dan bermakna tentang keselamatan dalam talian bersama-sama.

Dalam ucapannya semasa pelancaran panduan itu pada 25 Mei, Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam, berkata:

“Panduan ini bertujuan membangunkan pemahaman dan matlamat bersama, bagi menyokong ibu bapa dan remaja dalam mengemudi dunia digital dengan lebih yakin.”

Panduan itu menyokong gerakan Digital Sepanjang Hayat Singapura, strategi kebangsaan Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) untuk melengkapi warga dengan kemahiran digital dan membantu merapatkan jurang digital.

Menurut Cik Rahayu, pemerintah sedang berusaha gigih menyokong ibu bapa dalam perjalanan mereka mencari sokongan amali dan mudah diakses, untuk membimbing penggunaan skrin anak-anak mereka.

“Dunia digital hari ini memberi ibu bapa cabaran yang belum pernah dialami sebelum ini.

“Ia kompleks, bergerak pantas dan membawa kesan yang mendalam untuk anak-anak kita,” kata Cik Rahayu.

Beliau berkata laman web IMDA mengandungi pelbagai sumber untuk ibu bapa yang disesuaikan dengan peringkat usia anak mereka, daripada anak yang baru menerima peranti, kepada anak yang baru membuka akaun media sosial atau bermain permainan dalam talian buat kali pertama.

Di samping itu, Cik Rahayu berkata Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI) sejak November 2025 juga telah bekerjasama dengan rakan kongsi masyarakat, dalam satu siri bengkel tentang keibubapaan dalam era digital.

Mulai Julai 2026, TikTok dan TOUCH Cyber ​​Wellness akan mengadakan bengkel di Bukit-Batok East yang bertujuan melatih lebih 100 ibu bapa dan remaja tentang penggunaan digital secara bertanggungjawab, kesediaan media sosial dan keselamatan dalam talian.

Namun, sedang bengkel dan program masyarakat boleh memberi ibu bapa keyakinan dan pengetahuan yang mereka perlukan, apa yang paling penting adalah perbincangan yang dilakukan di rumah, kata Cik Rahayu.

Itulah sebabnya sumber seperti Panduan Semakan Digital Keluarga sangat membantu, katanya.

Ketua TOUCH Cyber Wellness, Encik Shem Yao, berkata pihaknya mendapati ramai ibu bapa benar-benar ingin menyokong anak-anak mereka dalam dunia dalam talian, tetapi mungkin tidak tahu bagaimana memulakan perbualan tersebut dengan cara yang terbuka dan membina.

“Panduan ini direka untuk membantu keluarga menjadikan kesejahteraan digital sebagai satu yang semula jadi dalam kehidupan harian, dengan menggalakkan keluarga beralih daripada pendekatan yang hanya berasaskan sekatan, kepada hubungan yang lebih berteraskan kepercayaan, persefahaman dan pembelajaran bersama,” kata Encik Yao.

Antara lain, panduan itu mempunyai prompt atau arahan mudah untuk memulakan perbincangan tentang keselamatan dalam talian.

Ia juga mempunyai kuiz interaktif untuk membantu keluarga mengenal pasti profil digital mereka, dan meneroka ciri yang paling sesuai dengan keperluan mereka.

Ciri itu termasuk ‘Family Pairing’ yang membolehkan ibu bapa dan remaja memperibadikan tetapan keselamatan berdasarkan keperluan individu.

Satu lagi ciri ialah papan pemuka, ‘Screen Time Dashboard’ yang membolehkan keluarga menetapkan had masa menggunakan aplikasi TikTok.

Panduan itu juga menggalakkan perbincangan antara ibu bapa dengan anak-anak, melalui soalan seperti:

“Apakah satu perkara yang kita tidak mahu orang tidak dikenali tahu tentang keluarga kita? Apakah perkara yang kita gembira untuk kongsi dengan semua orang di dalam talian?”

Ia juga mengandungi panduan daripada remaja untuk ibu bapa yang mahu memulakan perbincangan tentang keselamatan seperti “percayakan saya”, “hormati privasi saya” dan “bantu saya memahami peraturan”.

Ada juga panduan daripada ibu bapa untuk remaja mengenai mengimbangi kebebasan daya kreatif dan keselamatan dalam talian seperti “bantu saya memahami trend ini” dan “bantu saya lihat bahawa kamu menguruskan kesejahteraan diri kamu dengan berkesan”.

Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam, dan Ketua Dasar Awam, TikTok Singapore, Encik David Cai, meneliti Panduan Semakan Digital Keluarga TikTok semasa pelancarannya pada 25 Mei.
Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam, dan Ketua Dasar Awam, TikTok Singapore, Encik David Cai, meneliti Panduan Semakan Digital Keluarga TikTok semasa pelancarannya pada 25 Mei. - Foto ST

“Bagi kebanyakan keluarga hari ini, kehidupan digital bukan lagi sesuatu yang terpisah daripada kehidupan seharian.

“Ia merupakan ruang di mana golongan muda belajar, bergaul, berkarya dan mengenali diri mereka sendiri,” kata Pengurus Jangkauan dan Kerjasama, Kepercayaan & Keselamatan TikTok, Cik KahnJi Siriprapa Weerachaising.

“Sebab itulah membangunkan tabiat digital yang sihat memerlukan lebih daripada sekadar peraturan.

“Ia memerlukan perbualan yang terbuka, persefahaman bersama dan alat praktikal yang boleh diterokai bersama oleh keluarga,” tambahnya.

Keluarga boleh memuat turun panduan itu di Hab Digital TikTok Singapore di pautan, https://bitly.cx/T4Kh atau di aplikasi TikTok apabila pengguna mencari terma berkaitan keselamatan digital.