Tanya kecerdasan buatan (AI), fikir sendiri, baiki dengan hikmah.

Itulah pendekatan tiga langkah yang digunakan mantan guru dan sasterawan, Cikgu Karmin Abbas, dalam mencari keseimbangan terhadap penggunaan AI dalam pembelajaran pelajar, yang kian meluas dewasa ini.

Beliau, yang telah membangunkan beberapa aplikasi AI untuk kegunaan pelajar, guru dan ibu bapa, menekankan masa depan bukan milik orang yang sekadar tahu menggunakan AI.

Ia milik orang yang tahu menilai, memilih dan menggunakan AI dengan hikmah, ujar beliau.

Menurutnya, AI bukan sekadar teknologi baru. Ia alat yang boleh membantu masyarakat menghidupkan semula minat terhadap bahasa, budaya dan warisan Melayu.

“Sebagai pendidik, saya percaya bahasa bukan hanya untuk lulus peperiksaan. Bahasa ialah jiwa bangsa.

“Dalam bahasa ada adab, dalam budaya ada hikmah dan dalam warisan ada petunjuk untuk masa depan,” kata Cikgu Karmin, 63 tahun.

“Jadi saya membangunkan aplikasi AI ini supaya teknologi tidak menjauhkan anak-anak kita daripada akar budaya, sebaliknya membawa mereka kembali mengenal bahasa dan warisan dengan cara yang lebih segar, interaktif dan dekat dengan dunia mereka,” tambah beliau.

Cikgu Karmin membangunkan beberapa aplikasi AI, dengan empat daripadanya bakal dilancarkan dalam masa beberapa bulan akan datang.

Semasa wawancara di rumahnya di Tampines baru-baru ini, beliau menunjukkan kepada wartawan produk yang dihasilkannya dengan bantuan alat AI seperti ChatGPT dan AI Studio.

Mantan guru dan sasterawan, Cikgu Karmin Abbas, menghasilkan beberapa aplikasi kecerdasan buatan (AI) yang sesuai digunakan pelajar, guru dan ibu bapa. Salah satu daripadanya ialah PIQIR yang membolehkan guru atau ibu bapa menjana kertas ujian atau latihan bagi mata pelajaran Bahasa Melayu dalam masa beberapa saat sahaja.
Mantan guru dan sasterawan, Cikgu Karmin Abbas, menghasilkan beberapa aplikasi kecerdasan buatan (AI) yang sesuai digunakan pelajar, guru dan ibu bapa. Salah satu daripadanya ialah PIQIR yang membolehkan guru atau ibu bapa menjana kertas ujian atau latihan bagi mata pelajaran Bahasa Melayu dalam masa beberapa saat sahaja. - Foto TANGKAP LAYAR PIQIR

Salah satu daripadanya ialah PIQIR, yang membolehkan guru atau ibu bapa menjana kertas ujian atau latihan bagi mata pelajaran Bahasa Melayu dalam masa beberapa saat sahaja.

Pengguna boleh memilih tahap kesukaran, bilangan soalan dan komponen seperti imbuhan atau peribahasa.

Menurut Cikgu Karmin, idea bagi aplikasi AI yang dihasilkannya itu tercetus daripada pengalaman sendiri sebagai pendidik dan penggiat bahasa.

“Saya melihat ramai murid sebenarnya ada idea, tetapi mereka tidak tahu bagaimana hendak memulakan ayat.

“Ada yang takut menulis. Ada yang berasa pantun itu susah. Ada yang menganggap budaya Melayu itu jauh daripada kehidupan mereka,” ujar bapa empat anak itu.

“Di situlah saya mula berfikir: bagaimana kalau AI digunakan sebagai ‘pencetus’, bukan ‘pengganti’?

“AI boleh membantu murid membuka pintu pertama – memberi rangka, contoh, soalan panduan, atau pilihan kata.

“Tetapi selepas itu, murid tetap perlu memilih, menyusun, menilai dan memasukkan suara mereka sendiri,” tambah beliau.

Memberi contoh penggunaan produknya, Cikgu Karmin berkata dalam bilik darjah, guru boleh menggunakan aplikasi AI untuk memulakan kegiatan penulisan.

“Contohnya, guru boleh minta murid memilih satu tema seperti ‘kasih ibu’, ‘kampung halaman’ atau ‘gotong-royong’.

“AI boleh membantu mencadangkan rangka karangan, kosa kata, atau soalan panduan.

“Tetapi murid tidak terus menyalin. Mereka perlu berbincang, memilih idea terbaik, menambah pengalaman sendiri dan membaiki ayat,” katanya.

Tidak sekadar sesuai digunakan pelajar dan guru di dalam bilik darjah, Cikgu Karmin berkata aplikasi dan alat bantu AI yang dihasilkannya itu juga sesuai digunakan ibu bapa.

Ia boleh membantu ibu bapa membimbing anak-anak di rumah walaupun mereka sendiri mungkin tidak begitu yakin dengan kaedah mengajar bahasa, ujarnya.

“Di rumah, ibu bapa boleh menggunakan aplikasi itu sebagai kegiatan santai.

“Misalnya, minta anak mencipta cerita pendek lima ayat, kemudian AI membantu mencadangkan perkataan yang lebih baik.

“Atau ibu bapa boleh bermain kuiz peribahasa, teka pantun, atau mencipta cerita rakyat moden bersama anak,” kata Cikgu Karmin.

“Yang penting, AI digunakan untuk mengajak anak bercakap, berfikir dan berkarya, bukan sekadar menekan butang dan menerima jawapan,” tambahnya.

Cikgu Karmin menekankan, beliau tidak mahu pelajar yang menggunakan aplikasi AI menjadi penyalin jawapan.

Ini boleh berlaku jika AI digunakan tanpa bimbingan, katanya, sekali gus murid berisiko menjadi pasif dan hanya mengambil jalan mudah.

“Saya selalu tekankan AI mesti digunakan sebagai alat pembelajaran, bukan alat menipu.

“Murid boleh gunakan AI untuk bertanya, mencari idea, memahami struktur, menyemak kelemahan ayat atau mendapatkan cadangan. Tetapi kerja akhir mesti ada suara murid sendiri,” kata Cikgu Karmin.

“Murid tidak boleh berhenti pada jawapan AI. Mereka mesti bertanya: ‘Betulkah ini? Sesuaikah dengan pengalaman saya? Di mana nilai dan suara saya?’

“Bagi saya, pendidikan masa depan bukan melarang AI sepenuhnya, tetapi mengajar murid menggunakannya dengan jujur, kritis dan beradab,” tambahnya.

Memandang ke hadapan, Cikgu Karmin berkata beliau merancang membangunkan lebih banyak alat AI yang berkaitan dengan pendidikan, bahasa dan budaya Melayu.

Beliau juga berminat membangunkan alat yang membantu guru menyediakan bahan pengajaran dengan lebih cepat, tetapi tetap bermutu.

“Jika digunakan dengan betul, AI boleh membuka peluang besar untuk masyarakat Melayu di Singapura,” katanya.

Pertama, AI boleh membantu memperkukuh bahasa Melayu.

Anak-anak boleh belajar menulis, membaca, berpantun, bercerita dan memahami peribahasa dengan cara yang lebih interaktif, kata Cikgu Karmin.

Kedua, menurutnya, AI boleh membantu merakamkan warisan.

Cerita orang lama, lagu, pantun, makanan, adat, permainan tradisional dan sejarah kecil masyarakat boleh disusun semula supaya tidak hilang begitu sahaja.

Ketiga, AI boleh membuka peluang ekonomi kreatif.

Anak muda Melayu boleh menghasilkan kandungan digital, aplikasi pendidikan, bahan seni, animasi, lagu, buku kanak-kanak dan pelbagai produk budaya dengan lebih mudah.

Keempat, AI boleh membantu guru dan ibu bapa.

Ia boleh menjadi pembantu dalam menyediakan bahan, latihan dan kegiatan yang sesuai dengan tahap anak-anak.

“Tetapi semua ini hanya bermakna jika kita ada asas nilai. Teknologi mesti dipandu oleh adab. Kemajuan mesti berpijak pada akar.

“Bagi saya, masa depan masyarakat Melayu bukan memilih antara warisan atau teknologi. Kita boleh memiliki kedua-duanya,” kata Cikgu Karmin.

Arahan AI bagi menghasilkan kertas latihan

Cikgu Karmin Abbas berkongsi prom (prompt) atau arahan kecerdasan buatan (AI) yang boleh digunakan ibu bapa untuk menghasilkan sendiri kertas latihan bagi mata pelajaran Bahasa Melayu menggunakan alat bantu AI, ChatGPT.

Arahan yang jelas membantu AI memberi jawapan lebih tepat.

Buka laman web, chatgpt.com dan taip:

1) Siapkan satu single HTML yang ada latihan lima peribahasa untuk Darjah 6, PSLE, Singapura. Pastikan ada soalan dan semakan automatik. Bincang dulu.

Tunggu jawapan, kemudian taip:

2) Okey awak buat yang lengkap dan saya nak download fail HTML itu.

Hasilnya nanti seperti berikut:

Dengan prom (prompt) atau arahan yang tepat, ibu bapa boleh menghasilkan sendiri kertas latihan menggunakan alat kecerdasan buatan (AI) ChatGPT.
Dengan prom (prompt) atau arahan yang tepat, ibu bapa boleh menghasilkan sendiri kertas latihan menggunakan alat kecerdasan buatan (AI) ChatGPT. - Foto TANGKAP LAYAR FAIL HTML CHATGPT

Ibu bapa akan mendapat satu fail HTML yang tidak memerlukan Internet untuk digunakan. Ia boleh dibuka terus di komputer atau telefon bijak.

Anak-anak yang menggunakannya akan mendapat semakan jawapan serta markah secara automatik.

“Tetapi semua ini (manfaat AI) hanya bermakna jika kita ada asas nilai. Teknologi mesti dipandu oleh adab. Kemajuan mesti berpijak pada akar. Bagi saya, masa depan masyarakat Melayu bukan memilih antara warisan atau teknologi. Kita boleh memiliki kedua-duanya.”
Cikgu Karmin Abbas.