Berita Utama
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Elmie prihatin masa depan anak Melayu/Islam di S’pura

May 1, 2025 | 9:58 PM
Calon baru pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP) bagi GRC Sengkang, Profesor Madya Dr Elmie Nekmat, berkata pasukannya akan memastikan pembangunan bandar Sengkang akan berterusan dan tidak terhenti, semasa berucap di rapat pilihan raya umum 2025 (GE2025) di Sekolah Menengah North Vista.
Calon baru pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP) bagi GRC Sengkang, Profesor Madya Dr Elmie Nekmat, berkata pasukannya akan memastikan pembangunan bandar Sengkang akan berterusan dan tidak terhenti, semasa berucap di rapat pilihan raya umum 2025 (GE2025) di Sekolah Menengah North Vista. - Foto TANGKAP LAYAR YOUTUBE

Pencapaian pendidikan di kalangan anak Melayu/Islam di Singapura telah meningkat, manakala peningkatan sosial untuk masyarakat juga telah bertambah secara keseluruhan, tetapi masih ada banyak lagi ketidaksamaan dan cabaran yang dihadapi masyarakat.

Menyatakan demikian semasa berucap di rapat pilihan raya umum 2025 (GE2025) di Sekolah Menengah North Vista, calon muka baru pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP) bagi GRC Sengkang, Profesor Madya Dr Elmie Nekmat, berkata sebagai bapa empat anak yang masih bersekolah, beliau amat prihatin tentang kejayaan dan masa depan anak Melayu/Islam di Singapura.

“Sebagai ibu bapa yang berwibawa, kita harus terus bekerjasama untuk mendorong lebih banyak lagi usaha yang memberi tumpuan kepada campur tangan awal, penglibatan dan sokongan masyarakat dan agensi-agensi yang bertujuan menyediakan peluang baik dan saksama untuk anak Melayu kita supaya terus maju di Singapura,” kata Dr Elmie semasa berucap dalam bahasa Melayu.

Beliau, yang mengajar bidang komunikasi dan media baru di Universiti Nasional Singapura (NUS), meminta sokongan penduduk GRC Sengkang dalam perjuangannya untuk terus berjasa demi memelihara bahasa, agama, dan juga budaya Melayu di kawasan undi itu dan di Singapura.

“Dengan sokongan anda bersama, kita akan memastikan anak Melayu kita akan terus menerima bimbingan dan mempunyai peluang yang setimpal untuk terus maju ke hadapan bersama bangsa lain di Singapura,” katanya.

Anggota pasukan PAP lain bagi GRC Sengkang ialah mantan Menteri Negara Kanan (Pengangkutan merangkap Kesihatan), Dr Lam Pin Min; dan dua muka baru iaitu Cik Theodora Lai dan Cik Bernadette Giam.

Pasukan PAP bersaing dengan pasukan Parti Pekerja (WP) terdiri daripada tiga anggota sedia ada iaitu Cik He Ting Ru, Profesor Madya Jamus Lim dan Encik Louis Chua, serta satu muka baru iaitu Encik Abdul Muhaimin Abdul Malik.

Pada Pilihan Raya Umum 2020 (GE2020), GRC Sengkang dimenangi WP dengan kemenangan tipis 52.12 peratus.

Dalam ucapannya, Dr Elmie berkongsi pengalaman membesar dalam keluarga tiga beradik di Tampines dan Pasir Ris serta pengalaman tinggal di rumah bapa saudaranya di Rivervale Street.

Beliau berkata pada waktu itu, hanya ada satu pusat beli-belah di Sengkang iaitu Rivervale Plaza.

Perkembangan bandar Sengkang dari sejak masa itu amat pesat sekali, tambahnya.

Jika dipilih, Dr Elmie berjanji beliau dan pasukannya akan memastikan pembangunan bandar Sengkang akan berterusan dan tidak terhenti.

“(Ini) supaya tempat kediaman Sengkang kita menjadi sebuah estet yang lebih meriah dan bersemangat, tempat yang diuruskan dan diselenggarakan dengan cara terbaik untuk semua orang,” kata Dr Elmie.

Beliau dan pasukannya akan juga mendorong dasar pemerintah yang lebih kukuh di Parlimen, dan membantu mengadakan lebih banyak program dan rangkaian sokongan di Sengkang untuk membantu menggalak tempat yang lebih selamat dan masa depan lebih cerah bagi warga emas dan kanak-kanak dalam Negara Bijak dan masyarakat digital hari ini.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg