Setiap kali Profesor Madya Dr Elmie Nekmat keluar, anak-anaknya sering bertanya beliau mahu ke mana.
Beliau akan menjawab: “Yaya (ayah) ingin keluar untuk tolong orang”.
Calon Parti Tindakan Rakyat (PAP) bagi GRC Sengkang dan bapa empat anak perempuan yang berusia antara empat dengan 14 tahun itu menyifatkan tugas yang telah dilakukannya di Sengkang sejak 2021, sebagai satu cara untuk membantu orang ramai.
Ia wadah untuk mendengar luahan dan keperluan penduduk di Sengkang serta cara menyediakan penyelesaian.
Demikian dikongsi Dr Elmie, 43 tahun, yang mengajar bidang komunikasi dan media baru di Universiti Nasional Singapura (NUS), semasa satu wawancara bersama Berita Harian (BH) pada 20 April di Pusat Makanan Buangkok Village.
Dr Elmie merupakan anak sulung dalam keluarga empat beradik yang telah membesar di Tampines Street 21, sebelum berpindah ke Pasir Ris.
“Kehidupan saya serba sederhana tetapi sempurna,” kata beliau yang dibesarkan oleh bapanya, pesara teknisyen Singapore Airlines (SIA), dan ibunya, pengendali kantin.
Dr Elmie berkongsi bahawa perjalanannya menjadi pakar dalam bidang komunikasi dan media baru penuh berliku.
Beliau pernah gagal dalam Peperiksaan Sijil Am Pelajaran (GCE) peringkat ‘A’ dan tidak mendapat tempat ke universiti setempat.
“Pada masa itu saya tidak fokus kepada pelajaran dan saya rasa saya betul-betul telah menghampakan ibu bapa, terutama ibu saya.
“Ketika itu tidak banyak laluan alternatif jika gagal dalam peperiksaan peringkat ‘A’. Saya cuba sedaya upaya untuk memperbaiki diri dan terpaksa mengulangi lagi secara privet,” katanya.
Kerja keras dan azam beliau membuahkan hasil apabila beliau berjaya mendapatkan tempat di NUS pada 2003 dan meraih ijazah Sarjana Muda (Kepujian) dan kemudiannya ijazah Sarjana.
Dr Elmie juga penerima Biasiswa Siswazah Luar Negara NUS (NUS-OGS) bagi pengajian Doktor Falsafah (PhD) di Universiti Alabama.
Beliau juga banyak terlibat dalam perkhidmatan untuk masyarakat sebagai anggota Jawatankuasa Pembelajaran dan Penggalakan Penggunaan Bahasa Melayu (MLLPC), Jawatankuasa Media dan Perhubungan bagi AMP Singapore, Jawatankuasa Pemandu Forum Pemimpin Masyarakat Skim Kepimpinan dan Dermawan Yayasan Mendaki, dan juga Lembaga Perpustakaan Negara (NLB).
Pertama kali menjadi sukarelawan PAP pada 2016, Dr Elmie tidak pernah berfikir beliau akan suatu hari menjadi calon yang bertanding untuk Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025).
“Sebenarnya memang saya ada banyak niat nak bantu tetapi apabila saya baru pulang dari Amerika Syarikat pada 2015, saya ke Universiti Nasional Singapura sebagai pembantu profesor.
“Saya tidak ada niat mahu jadi ahli politik tapi saya tahu bidang yang saya ceburi iaitu bidang komunikasi dan media baru, dan banyak yang harus dilakukan untuk memperbaiki serta membantu lindungi masyarakat daripada keburukan media sosial,” kongsinya yang juga penerima Anugerah Pascakedoktoran Luar Negara NUS (NUS-OPF), Universiti California, Santa Barbara.
Dr Elmie berkata ia bukan perkara baru bagi pembangkang berkata jika penduduk Sengkang undi Parti Pekerja (WP), mereka akan dapat memastikan tindakan parti pemerintah di Parlimen akan dapat dipantau.
“Ia adalah amanah untuk menjalankan tanggungjawab menjaga penduduk Sengkang dan kami hanya melakukan tugasan dengan niat baik setulusnya.
“Pada akhirnya, kita serahkan pilihan kepada pengundi,” kata beliau yang merupakan anggota pasukan PAP di GRC Sengkang bersama Dr Lam Pin Min, Cik Theodora Lai dan Cik Bernadette Giam.
Antara isu yang ingin beliau perjuangkan ialah memastikan penduduk Sengkang berasa lebih selamat di alam maya.
Menurutnya, maklum balas yang dikongsi oleh penduduk golongan generasi terhimpit ialah keprihatinan ibu bapa mengenai ketagihan masa skrin oleh anak kecil dan jenayah penipuan atau scammer terutama secara dalam talian bagi mereka dengan ibu bapa yang lanjut usia.
Jika dilantik sebagai Anggota Parlimen (AP), Dr Elmie ingin mengutarakan langkah yang boleh diterapkan dalam dasar nasional bagi melindungi kanak-kanak daripada keburukan alam maya.
Beliau antara lain menyarankan supaya melewatkan atau meningkatkan pengesahan yang diperlukan sebelum warga emas dapat mengeluarkan atau memindahkan wang daripada akaun mereka kepada akaun lain, dalam menangani isu jenayah penipuan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg