Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Berkat rezeki jaga ayah, anak Ridzuan Hashim terima tajaan majlis kahwin

Jun 23, 2023 | 1:21 PM
TAJAAN TIDAK DIDUGA: Anak Allahyarham Ridzuan Hashim, Muhammad Dhanial Ridzuan (menggendong bayi), mendapat rezeki apabila majlis resepsinya ditaja Temu Jelatek The Event Space dengan nilai separuh juta ringgit.
TAJAAN TIDAK DIDUGA: Anak Allahyarham Ridzuan Hashim, Muhammad Dhanial Ridzuan (menggendong bayi), mendapat rezeki apabila majlis resepsinya ditaja Temu Jelatek The Event Space dengan nilai separuh juta ringgit. - Foto INSTAGRAM DIDIE ALIAS

Pelakon dan pengacara serba boleh, Didie Alias, bersyukur apabila anaknya Muhammad Dhanial Ridzuan mendapat tajaan majlis perkahwinan bernilai melebihi RM500,000 ($144,184).

Katanya, rezeki yang diperolehi daripada Temu Jelatek The Event Space itu adalah berkat asbab menjaga arwah bapa Dhanial, Allahyarham Ridzuan Hashim, sejak sakit sehingga dijemput Allah pada 4 Mei lalu.

“Memang saya terharu dan bersyukur apabila pengendali dewan gah itu mengemukakan pelawaan untuk saya mengadakan kenduri sambut menantu di sini. Sudah tentu anak saya, Dhanial yang baru mendirikan rumah tangga pada 20 Mei lalu juga terkejut kerana tidak menyangka menerima rezeki seindah ini.

“Saya katakan ini rezeki jaga ayah sebab Dhanial anak paling rapat selain sabar menjaganya ketika sakit dan di sisi Allahyarham sampai detik Ridzuan meninggal dunia,” katanya kepada laman Kosmo! Online.

Didie ditemui pada majlis pengumuman tajaan majlis resepsi Muhammad Dhanial dan Nur Khairunnisa Zulkifli serta pembukaan rasmi Temu Jelatek The Event Space di Datum Mall baru-baru ini.

Menurut Didie atau nama sebenarnya Nur Fadzilah Ali, 52 tahun, pada acara persandingan tersebut, anaknya itu merancang untuk menggayakan sut milik Allahyarham sebagai tanda ingatan.

“Sebenarnya sut berkenaan dijumpai Dhanial ketika dia dan semua adik-beradiknya mengemas rumah sewanya beberapa hari selepas pemergian arwah. Semua menangis sebab banyak kenangan di rumah itu terutama kepada Dhanial yang menemankan bapanya sepanjang sakit.

“Jadi apabila terjumpa sut itu, terus Dhanial meluahkan hasrat untuk memakainya di hari bersejarah dia dan isteri pada 2 September nanti,” kongsi Didie.

Tambahnya lagi, sebagai kelainan, pengantin akan diarak menaiki tren LRT dari stesen Setiawangsa menuju ke stesen Jelatek bersebelahan dewan terbabit.

Terdahulu, Allahyarham Ridzuan yang juga pelakon popular meninggal dunia akibat serangan jantung pada 4 Mei lalu iaitu kira-kira dua minggu sebelum pernikahan Dhanial.

Selain Dhanial, 29 tahun, perkahwinan Ridzuan dan Didie pada 1991 sebelum bercerai 2002, dikurniakan empat cahaya mata lain.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg