Tidak merancang untuk bercuti ke luar negara pada hujung tahun ini (2025)? Anda dan anak-anak tidak perlu pergi jauh untuk menikmati cuti sekolah yang penuh keseronokan.
Singapura menawarkan pelbagai kegiatan yang mampu mencetuskan rasa ingin tahu, menggalakkan pembelajaran, dan menghadiahkan kenangan manis buat seisi keluarga.
Berikut tujuh cadangan yang menghiburkan, sesuai untuk pelbagai peringkat umur, dan menyokong perkembangan kanak-kanak.
Dari dunia kreativiti, alam semula jadi, sehinggalah sejarah dan fantasi, senarai ini akan memastikan cuti sekolah anak anda terasa seperti satu pengembaraan baru.
1. Kelas buat aiskrim di Muzium Aiskrim S’pura
Muzium Aiskrim Singapura (MOIC) kembali menghidupkan kemeriahan hujung tahun dengan sambutan Pinkmas 2025, yang berlangsung dari 26 November hingga 6 Januari 2026.
Sebaik melangkah masuk ruang muzium seluas 60,000 kaki persegi itu, ibu bapa dan anak disambut suasana ceria penuh warna merah jambu, dan pelbagai perisa aiskrim bermusim.
Kelas membuat aiskrim MOIC kembali atas permintaan ramai, dan berlangsung setiap Isnin, Rabu dan Jumaat, dengan dua sesi sehari.
Kanak-kanak bukan sahaja dapat menikmati ais krim, malah juga mempelajari sejarah perkembangan ais krim, sains di sebalik pembuatannya, dan cara membuat ais krim sendiri langkah demi langkah.
Walaupun ais krim MOIC tidak mempunyai sijil halal pada masa ini, ia tidak mengandungi bahan berasaskan daging babi atau alkohol. Setiap stesen hidangan juga menyediakan pilihan berasaskan tumbuhan atau vegan sebagai alternatif tanpa tenusu.
Nilai perkembangan: Pancaindera, sains, motor halus.
Tip ibu bapa: Minta anak tulis resipi ringkas atau lukis langkah-langkah dalam bahasa Melayu.
Alamat: Muzium Aiskrim Singapura, 100 Loewen Road
Tarikh: Setiap Isnin, Rabu dan Jumaat, dari 26 November hingga 31 Disember
Waktu: 11 pagi dan 2.30 petang
Harga tiket ialah $60 seorang, termasuk kemasukan ke muzium. Kanak-kanak berusia dua tahun ke bawah masuk untuk percuma, manakala kanak-kanak di bawah 12 tahun perlu ditemani orang dewasa.
Untuk beli tiket dan maklumat lanjut, layari laman web, https://bh.sg/aiskrim.
2. Terokai tarikan alam baru Curiosity Cove
Jika si kecil peminat alam semula jadi atau suka mempelajari tentang flora dan fauna, tarikan dalam bangunan bertema alam baru di bawah Mandai Wildlife Reserve adalah lokasi tepat.
Digelar Curiosity Cove, ruang seluas 4,600 meter persegi itu menampilkan empat zon diilhamkan ekosistem dunia sebenar.
Setiap zon – Wetlands, Forestlands, Grasslands, dan Drylands – mempunyai unsur interaktif yang merangsang perkembangan kognitif, sosial, dan motor si cilik.
Di zon Wetlands, kanak-kanak boleh mempelajari bagaimana air menyokong ekosistem dan kehidupan semua makhluk, manakala zon Forestlands membawa mereka menyelami hutan Asia Tenggara.
Sementara itu, zon Grasslands membawa mereka meneroka hierarki sosial haiwan, termasuk tingkah laku pemangsa dan belajar bagaimana haiwan menyamar di savana.
Zon Drylands pula menampilkan cara flora dan fauna mengadaptasi hidup dalam persekitaran gurun.
Nilai perkembangan: Pembelajaran alam dan haiwan, motor kasar dan halus
Tip ibu bapa: Gunakan permainan di sini untuk memperkenalkan perkataan bahasa Melayu seperti terumbu karang dan gurun.
Alamat: Mandai Wildlife East, 80 Mandai Lake Road
Waktu: 10 pagi hingga 6.30 petang setiap hari
Sesi dua jam berharga $48 untuk seorang kanak-kanak dan seorang dewasa. Tambah $33 untuk kanak-kanak kedua atau$16 untuk dewasa kedua.
Untuk beli tiket dan maklumat lanjut, layari laman web, https://bh.sg/cove.
3. Jelajah budaya penjaja S’pura
Adakah anak anda suka bermain dengan Lego atau mereka bentuk binaan sendiri?
Bawa mereka ke bengkel Build the Change x Into the Hawkerverse, dianjurkan oleh Muzium Kanak-Kanak Singapura (CMSG) dengan kerjasama The Lego Group, sebagai sebahagian daripada pameran khas Into the Hawkerverse.
Dalam bengkel ini, kanak-kanak boleh membina model pusat penjaja sendiri menggunakan bongkah Lego, sambil mempelajari dan menghargai budaya penjaja Singapura.
Selain bengkel tersebut, kanak-kanak juga boleh menyelusuri zaman lampau penjaja jalanan dan memahami bagaimana mereka menjalankan perniagaan di tepi jalan.
Kanak-kanak turut dapat meneroka pelbagai hidangan penjaja, serta mengintai masa depan penjaja dengan mempelajari alat moden serta mesin kreatif.
Nilai perkembangan: Penyelesaian masalah, kreativiti, pemikiran reka bentuk.
Tip ibu bapa: Galakkan anak pilih makanan Melayu seperti lontong atau roti kirai sebagai inspirasi binaan.
Alamat: Muzium Kanak-Kanak Singapura, 23-B Coleman Street
Tarikh: 2, 3, 4, 10, 17 Disember
Waktu: 4:15 petang
Bengkel dan kemasukan muzium percuma untuk warganegara dan Penduduk Tetap (PR) Singapura.
Untuk tempah tiket dan maklumat lanjut, layari laman web, https://bh.sg/hawker.
4. Selami sejarah Nusantara menerusi sesi penceritaan interaktif
Bawa anak anda menyelami legenda klasik Melayu dalam sesi penceritaan interaktif yang mengikuti Raja Suran, seorang raja India yang berkuasa, dalam usahanya untuk menakluk China.
Diberi tajuk, Tales from the Nusantara: Raja Suran and the Kingdom of China, sesi ini dianjurkan Taman Warisan Melayu dan dikendali oleh pencerita, Encik Hafiz Rashid, yang menghidupkan kembali kisah dari Sulalatus Salatin dengan gaya yang menarik untuk kanak-kanak.
Selepas sesi penceritaan, keluarga boleh menelusuri keindahan Taman Sang Nila Utama di Fort Canning Park dalam lawatan berpandu, diikuti dengan pengalaman kreatif mewarna menggunakan dakwat yang dijalankan studio Wild Dot.
Untuk menutup pagi yang penuh pengembaraan, ibu bapa dan anak berpeluang menyaksikan demonstrasi memasak pengat oleh pengasas Dapur Cahaya, Cik Suria Insyirah, yang mengekalkan cita rasa asli masakan Melayu.
Nilai perkembangan: Imaginasi, pemahaman budaya
Tip ibu bapa: Bincangkan nilai keberanian dan kebijaksanaan wira dalam legenda itu.
Alamat: Lewin Terrace, Fort Canning Park, 21 Lewin Terrace
Tarikh: 10 Disember
Waktu: 10 pagi hingga 12.30 tengah hari
Harga tiket ialah $30 untuk seorang ibu bapa dan anak. Tambah $10 untuk kanak-kanak kedua. Sesi ini sesuai untuk kanak-kanak berusia antara lima hingga sembilan tahun.
Untuk beli tiket dan maklumat lanjut, layari laman web, https://bh.sg/nusantara.
5. Jejaki lokasi perang dan sejarah Changi
Anak anda suka berjalan dan mempelajari sejarah lama Singapura?
Bawa seisi keluarga menyusuri sejarah unik Changi dalam jejak warisan, Journey to the East: Changi Heritage Trail, untuk menambah pengetahuan sambil menikmati pengalaman luar.
Kegiatan ini, yang terbuka untuk semua peringkat umur, dikendali perunding warisan dan penulis, Encik Jerome Lim, yang akan membawa peserta menjejak beberapa lokasi perang dan sudut kurang diterokai di Changi.
Changi, sebuah tanjung strategik di Singapura, menyimpan kisah lama yang bergema lebih kuat berbanding di mana-mana sahaja di negara ini.
Dari perjuangan banduan perang dan orang awam semasa Pendudukan Jepun hingga ke kehidupan kampung yang meriah suatu masa dahulu, pelbagai naratif berlapis menceritakan kisah ketabahan, perubahan, dan identiti masyarakat.
Nilai perkembangan: Empati, penghargaan sejarah, pemerhatian.
Tip untuk ibu bapa: Bawa topi, kasut selesa dan air minuman. Kegiatan ini sesuai untuk anak-anak yang ingin belajar sejarah secara interaktif dan meneroka lokasi sejarah sebenar.
Alamat: Muzium dan Gereja Kecil Changi, 1000 Upper Changi Road North
Tarikh: 7 Disember
Waktu: 9 pagi hingga 11.30 pagi
Harga tiket ialah $20 bagi setiap dewasa dan kanak-kanak.
Untuk beli tiket dan maklumat lanjut, layari laman web, https://bh.sg/jejak.
6. Raikan musim Krismas di Gardens by the Bay
Bayangkan wajah anak anda berseri apabila mereka melangkah masuk Flower Dome di Gardens by the Bay dan disambut oleh Pokok Krismas Lego setinggi 4.5 meter.
‘Pokok’ itu dibina daripada 104,768 bongkah Lego dan dihiasi dengan hiasan unik yang diilhamkan oleh ikon tempatan seperti Merlion, Supertrees, dan bunga kebangsaan, orkid Vanda Miss Joaquim.
Di dalam Flower Dome, setiap sudut dipenuhi seni pemasangan Lego dan kegiatan kreatif, membolehkan kanak-kanak dan ibu bapa bermain, bereksperimen, dan mencipta bersama-sama.
Selain itu, jangan lepaskan peluang menyertai kegiatan stem poskad secara percuma, di mana anda sekeluarga boleh membawa pulang poskad itu sebagai cenderahati istimewa.
Bagi keluarga yang ingin terus berhibur, kedai ‘pop-up’ turut menawarkan promosi menarik untuk set permainan Lego tertentu.
Nilai perkembangan: Kreativiti, imaginasi
Tip ibu bapa: Ajak anak membina versi mini instalasi menggunakan Lego di rumah.
Alamat: Flower Dome, Gardens by the Bay, 8 Marina Gardens Drive
Tarikh: 23 November 2025 hingga 4 Januari 2026
Untuk maklumat lanjut, layari laman web, https://bh.sg/gbtb.
7. Belajar tentang tumbuhan dan flora di Taman Halia
Si kecil gemar berpura-pura menjadi detektif? Ajak mereka menyertai The Ginger Garden Hunt, sebuah kegiatan interaktif yang membawa anda sekeluarga menjelajahi Taman Halia di Kebun Bunga Singapura.
Cari dan pelajari tumbuhan yang jarang ditemui dan cerita tersembunyinya. Dengan setiap langkah, kanak-kanak boleh belajar bagaimana spesies berbeza membentuk sains dan perubatan.
Kanak-kanak ditugas menjawab 12 soalan sambil memerhati daun, bunga, dan struktur tumbuhan yang unik, menjadikan setiap langkah satu peluang belajar yang menyeronokkan.
Setelah menjawab semua 12 soalan, mereka akan digelar Ginger Garden Ranger dan memenangi hadiah edisi terhad.
Pengalaman ini bukan sahaja menggalakkan pergerakan fizikal, tetapi juga mengasah kemahiran pemerhatian, penyelesaian masalah dan keyakinan diri, sambil memperkenalkan mereka kepada kepelbagaian flora tropika.
Nilai perkembangan: Sains alam, pemerhatian, kesabaran
Tip ibu bapa: Gunakan flora sebagai cara mengajar nama warna dalam bahasa Melayu.
Alamat: Taman Halia, Kebun Bunga Singapura, 1 Cluny Road
Tarikh: 4 Disember
Waktu Sesi 1: 10 pagi hingga 10.45 pagi
Waktu Sesi 2: 10.15 pagi hingga 11 pagi
Kegiatan ini percuma dan sesuai untuk kanak-kanak di peringkat tadika dan ke atas.
Untuk pendaftaran, layari laman web, https://bh.sg/ginger1, atau https://bh.sg/ginger2.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg