Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Perkembangan positif si cilik susulan campur tangan awal meski tengkorak pernah retak

Program ‘Mission I’mPossible 2 (MIP2)’ beri sokongan bawah satu bumbung, golongan pakar bimbing ibu bapa
Nov 13, 2025 | 5:30 AM
Mission I’mPossible 2 (MIP2), perkembangan kanak-kanak, campur tangan awal
Cik Nurdiana Abdul Rahim bersyukur setelah dapat melihat perubahan besar dalam perkembangan anaknya, Aufi Azirwan, yang sebelum ini tidak mampu duduk tegak disebabkan kecederaan pada otaknya setelah terjatuh dari katil. Aufi merupakan antara 3,500 kanak-kanak yang dipantau Mission I’mPossible 2 (MIP2), sebuah program campur tangan awal yang ilancarkan KKH, PCF Sparkletots, dan Yayasan Lien pada 2022. - Foto BH oleh KHALID BABA

Apabila bayi mereka terjatuh dari katil dan mengalami keretakan di tengkoraknya, pasangan suami isteri, Encik Azirwan Mastan dan Cik Nurdiana Abdul Rahim, bagaikan hilang arah.

Anak bongsu mereka, Aufi Azirwan, yang ketika itu baru berusia sembilan bulan, mengalami kecederaan dalaman menyebabkan pembekuan darah di otaknya.

Disebabkan kecederaan tersebut, pasangan itu berkata Aufi tidak mampu duduk tegak, memusingkan badan secara sendiri, atau menyahut apabila namanya dipanggil.

“Sebagai ibu bapa, kami rasa sangat bersalah dan bimbang.

“Doktor beritahu bahawa kesan darah beku itu mungkin menjejaskan keupayaan Aufi untuk berjalan atau mengekalkan keseimbangan,” ujar Cik Nurdiana, 35 tahun.

Pada September 2024, Aufi menjalani pembedahan bagi mengeluarkan darah beku tersebut.

Aufi, kini 19 bulan, merupakan antara 3,500 kanak-kanak yang berada di bawah pemantauan Mission I’mPossible 2 (MIP2), sebuah program campur tangan awal yang dimulakan oleh Yayasan Lien, Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK (KKH) dan Yayasan Masyarakat PAP (PCF) Sparkletots.

Dilancarkan pada 2022, program itu bertujuan memperkenal campur tangan lebih awal di prasekolah, dari lima tahun kepada seawal dua bulan.

Dengan itu, kelewatan perkembangan dapat dikesan dan ditangani dengan lebih cepat.

Di bawah MIP2, lebih 250 pendidik awal kanak-kanak telah dilatih untuk memerhati dan memantau kanak-kanak prasekolah dari segi perkembangan.

Mereka dibimbing pasukan klinikal pelbagai disiplin yang merangkumi jururawat, pakar pemakanan, ahli psikologi, pakar kurikulum, serta ahli terapi.

Pasukan itu, yang dikenali sebagai Unit Perkembangan Kanak-Kanak berasaskan Sekolah (SCDU), akan bergerak dari satu prasekolah ke prasekolah yang mengambil bahagian dalam MIP2.

Sokongan tersebut, yang terletak di bawah satu bumbung, memudahkan komunikasi dan penyelarasan antara keluarga, guru dengan pakar, sekali gus memastikan kanak-kanak menerima bantuan tepat pada masanya.

Menurut Cik Nurdiana, MIP2 memainkan peranan penting dalam membantu beliau dan suaminya memahami keadaan Aufi, serta langkah yang perlu diambil bagi menyokong perkembangannya.

“Kami sentiasa dimaklumkan tentang apa yang berlaku di sekolah, apa yang diperhatikan guru dan apa pelan tindakan seterusnya.

“Itu membuat kami yakin dan lebih tenang kerana kami tahu Aufi di bawah jagaan yang baik,” kata Cik Nurdiana, seorang guru prasekolah.

Encik Azirwan, 34 tahun, juruteknik, juga berkata mereka dibimbing tentang cara membantu Aufi di rumah, termasuk jenis permainan, cara memberi makan dan kegiatan yang sesuai untuk menguatkan ototnya.

Selain itu, mereka kerap melawat pakar fisioterapi di KKH selepas pembedahan Aufi untuk mempelajari senaman yang sesuai baginya, terutama dalam mengurangkan kekakuan pada kaki kanannya dan meningkatkan kemahiran motornya.

Pasangan itu, yang juga mempunyai seorang anak perempuan berusia lima tahun, tidak pernah berhadapan dengan pengalaman sebegitu, maka mereka menghargai sokongan daripada MIP2.

Mengulas tentang sokongan tersebut, Encik Azirwan, berkata:

“Kami terima bimbingan yang jelas untuk membantu perkembangan Aufi.

“Ini memberi kami hala tuju, supaya kami tahu apa yang perlu dilakukan, bukannya hanya meneka.”

Hasil campur tangan awal dan sokongan berterusan daripada MIP2 kini mula kelihatan.

Selepas pembedahan, latihan fisioterapi, serta kegiatan fizikal yang disyorkan, Encik Azirwan dan Cik Nurdiana berkata keupayaan Aufi semakin meningkat.

“Aufi kini boleh duduk dengan tegak, merangkak dan berjalan.

“Dia juga seorang yang ceria dan gemar bersosial. Kalau nampak cikgu atau orang yang dikenali, dia akan tersenyum gembira.

“Kadang-kadang bila saya tunggu di luar sekolahnya, saya nampak dia bermain dan berbual dengan rakan sebaya.

“Kami sangat bersyukur dengan perkembangannya sekarang,” kata Cik Nurdiana sambil tersenyum.

Berdasarkan pengalaman mereka, Encik Azirwan dan Cik Nurdiana percaya campur tangan awal boleh membawa perubahan besar.

“Nasihat saya kepada ibu bapa lain yang mungkin melalui pengalaman serupa… jangan takut bila guru atau pakar maklumkan tentang kelewatan perkembangan anak.

“Buka minda anda dan terima bantuan,” kata Encik Azirwan.

Cik Nurdiana menambah: “Bak pepatah Inggeris, It takes a village to raise a child (Membesarkan anak adalah tanggungjawab ramai).

“Dalam hal ini, village atau ‘kampung’ kami ialah guru sekolah, pihak MIP2 dan semua yang membantu Aufi.”

Daripada 3,500 kanak-kanak yang dipantau di bawah MIP2, seramai 20 peratus dikenal pasti memerlukan sokongan perkembangan tambahan, 9 peratus didapati mempunyai berat badan berlebihan, manakala 22 peratus mempunyai kerosakan gigi.

Pada masa ini, MIP2 dilaksanakan di 16 prasekolah PCF Sparkletots di Sengkang dan Punggol.

Dibiayai oleh Yayasan Lien dengan peruntukan $5.9 juta, MIP2 bakal diperluaskan kepada semua prasekolah PCF Sparkletots iaitu kira-kira 350 buah prasekolah.

Sementara itu, pengendali utama (AO) prasekolah lain seperti NTUC First Campus dan Skool4Kidz, kini sedang berbincang dengan KKH dan Yayasan Lien untuk melaksanakan MIP2 di prasekolah mereka.

MIP2 merupakan kesinambungan kepada Mission I’mPossible 1 (MIP1) yang dilancarkan oleh Yayasan Lien, KKH dan PCF Sparkletots pada 2009.

Pemerintah kemudian mengadaptasi MIP1 sebagai Program Sokongan Pembangunan dan Pembelajaran (DS-LS).

Program DS-LS kini dibiayai pemerintah dan dilaksanakan di lebih 800 prasekolah, merangkumi sekitar 60 peratus kanak-kanak prasekolah.

Sekilas Program Mission I’mPossible 2 (MIP2)

  1. Dilancarkan pada 2022 oleh KKH, Yayasan Lien dan PCF Sparkletots, MIP2 bertujuan memperkenal campur tangan lebih awal di prasekolah, dari lima tahun kepada seawal dua bulan.
  2. Sejak dilancar, seramai 3,500 kanak-kanak di 16 prasekolah PCF Sparkletots di Sengkang dan Punggol telah dipantau dan lebih 250 pendidik awal kanak-kanak dilatih untuk memerhati perkembangan kanak-kanak.
  3. MIP2 bakal diperluas ke semua prasekolah PCF Sparkletots, serta prasekolah NTUC First Campus dan Skool4Kidz.
  4. Sebuah pasukan pelbagai disiplin, yang dipanggil Unit Perkembangan Kanak-Kanak berasaskan Sekolah (SCDU), ditubuhkan di PCF Sparkletots.
  5. SCDU terdiri daripada pakar penjagaan kesihatan dan pendidikan awal kanak-kanak, termasuk jururawat, pakar pemakanan, ahli terapi pertuturan dan bahasa, ahli terapi pekerjaan, ahli psikologi pendidikan, pakar kurikulum dan pakar campur tangan awal.
  6. Pasukan SCDU disokong pasukan KKH-MIP2, yang terdiri daripada pakar pediatrik, jururawat, ahli psikologi, ahli terapi pertuturan, ahli fisioterapi, ahli terapi pendidikan, ahli terapi pekerjaan, serta kakitangan penyelidikan dan pentadbiran.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg