Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Perbezaan buli siber, buli secara bersemuka

Aug 28, 2025 | 5:30 AM
buli, media sosial, siber
Kandungan dalam talian boleh menular dengan pantas dan menjangkau khalayak lebih meluas, boleh disimpan dan diakses semula pada bila-bila masa, sekali gus meningkatkan kesannya kepada mangsa. - Foto fail

Sepanjang kerjaya klinikal saya di Institut Kesihatan Mental (IMH), buli siber kerap berlaku dalam kalangan kes buli dilaporkan bagi pesakit kanak-kanak dan remaja yang mendapatkan rawatan.

Buli secara bersemuka dan buli siber di media sosial mendatangkan cabaran dan mempunyai ciri yang berbeza.

Cabaran dengan buli siber

Tidak seperti buli secara bersemuka, yang terhad pada waktu sekolah sahaja contohnya, buli siber boleh berterusan sepanjang masa dan berlaku melalui peranti mangsa.

Ini menjadikan buli siber amat sukar untuk dielakkan.

Selain itu, kandungan dalam talian boleh menular dengan pantas dan menjangkau khalayak yang lebih meluas.

Ia boleh disimpan dan diakses semula pada bila-bila masa, meningkatkan kesannya kepada mangsa.

Bukti tidak jelas

Buli secara bersemuka sering berlaku di tempat lokasi fizikal tertentu dan selalunya mempunyai saksi.

Manakala buli siber meninggalkan kesan digital yang boleh didokumenkan, walaupun sesetengah platform membenarkan kandungan hilang selepas tempoh yang singkat.

Namun begitu, ini tidak bermakna buli secara fizikal tidak boleh dikongsi di media sosial.

Banyak kes yang terjadi apabila saksi di tempat kejadian merakam dan memuatnaikkannya di media sosial untuk tontonan umum.

Ia memburukkan lagi kesan gangguan terhadap mangsa dan mengaburkan garis antara buli secara bersemuka dengan dalam talian.

Kesan kepada mangsa

Kededua jenis buli, sama ada secara siber atau bersemuka menyebabkan tekanan emosi, kebimbangan dan kemurungan yang ketara.

Namun, buli siber boleh meninggalkan kesan lebih mendalam terhadap mangsa disebabkan ciri-cirinya yang berterusan dan jangkauannya yang lebih luas.

Ketidakupayaan untuk melepaskan diri daripada gangguan dalam talian, walaupun di rumah, boleh menyebabkan perasaan tidak berdaya.

Selain itu, kekekalan kandungan dalam talian boleh menyebabkan kerosakan psikologi jangka panjang disebabkan mangsa akan sentiasa dihantui kebimbangan tentang implikasi terhadap masa depan mereka.

Buli secara bersemuka pula lebih mengancam diri dan menakutkan secara fizikal.

Kedudukan sosial di sekolah

Pembuli baik yang membuli mangsa secara bersemuka atau dalam talian, selalunya dalam kalangan pelajar popular.

Mereka boleh berkomunikasi dan mempunyai kemahiran sosial yang baik serta berpengaruh.

Golongan ini akan menggunakan kelebihan mereka untuk menyisih, mengusik atau mendominasi orang lain melalui penyebaran khabar angin atau mengecil-ngecilkan golongan yang lebih lemah.

Mereka melakukan ini semua kerana ingin mengekalkan status sosial mereka dan mahu kelihatan ‘cool’ dalam kalangan rakan sebaya.

Kesimpulan

Walaupun buli secara bersemuka biasanya bergantung pada kekuatan fizikal atau status sosial dalam persekitaran sekolah, buli siber boleh melibatkan penyerang tanpa nama dan penglibatan lebih ramai orang.

Ini membuatkan mangsa berasa mudah terjejas dan mewujudkan kesan psikologi yang berbeza.

Untuk buli dalam talian khususnya, pembuli menggunakannya sebagai saluran untuk kemarahan, dendam atau cemburu.

Malah ada juga pembuli yang mendapat kepuasan daripada membuli orang lain kerana berasa diri berkuasa.

Penulis ialah Pengetua Kanan Pakar Psikologi Klinikal yang juga Ketua Jabatan Psikologi di Institut Kesihatan Mental (IMH).

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg