Apabila dua kumpulan seni tradisional daripada kaum berbeza bersatu hati untuk meneroka kerjasama dalam bidang seni unik yang diperjuangkan, tema kerinduan itu timbul.
Mungkin ada perbezaan antara irama Asli dengan Nanyin yang merupakan muzik dari wilayah selatan Fujian di China. Ia dipersembahkan dalam dialek Minnan dan mempunyai tiga ciri utama iaitu permainan alat muzik instrumental, alat muzik instrumental bersama vokal dan balada yang diiringi dengan paduan suara sekumpulan penyanyi.
Bagaimanapun, apabila lagu disampaikan dalam suasana penuh mendayu-dayu, lirik bagi kedua-dua irama Asli dan Nanyin ini menggambarkan rasa rindu.
Sesuai dengan tema rindu ini, kumpulan muzik tradisional Melayu, Gendang Akustika, dan Persatuan Muzikal Siong Leng ini bakal menyajikan persembahan bersama bertajuk Longing di Black Box, Pusat Drama, pada Sabtu untuk menunjukkan di sebalik perbezaan budaya, kaum dan sejarah, mereka masih boleh bersatu hati dalam harmoni untuk menghasilkan bunyian baru dalam sebuah sajian santapan halwa telinga.
Disampaikan menerusi enam babak, persembahan sejam ini akan meneroka gaya unik vokal versi Nanyin dan Asli ini serta menawarkan perspektif segar tentang irama klasik tradisional.
Syafiqah ’Adha, 33 tahun, pengarah Gendang Akustika, berkata persembahan silang budaya melambangkan masyarakat berbilang budaya di Singapura.
“Kami berharap dengan kolaborasi ini, kami dapat memaparkan kededua seni tradisional kami secara murni dan menggalak dialog dan penghargaan terhadap bentuk seni satu sama lain,” ujarnya.
Persatuan Muzikal Siong Leng dibentuk pada 1941 bagi mengekalkan, menggalak dan membangun Nanyin yang memiliki sejarah 2,000 tahun.
Pada 2009, Nanyin disenaraikan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) dalam Senarai Warisan Kebudayaan Kemanusiaan Tersembunyi.
Siong Leng juga adalah penerima pertama Anugerah Sumbangan Kebudayaan Cina Singapura yang disampaikan Pusat Kebudayaan Cina Singapura pada 2017. Pada 2021, ia menerima Anugerah Pengemudi Warisan Kebudayaan Tersembunyi pemberian Lembaga Warisan Negara (NHB).
Gendang Akustika pula ditubuhkan pada 2009 sebagai kumpulan muzik tradisional dendang rakyat yang memberi kesegaran pada penyampaian dan susunan lagu Melayu tradisional.
Menyentuh tentang sejarah irama Asli, Syafiqah berkata ia sudah disajikan sejak tahun 1600-an sewaktu pemerintahan Sultan Melaka. Irama Asli dinyanyikan penuh jiwa dengan lirik lagu berpantun. Iramanya secara umum perlahan diiringi paluan rebana.
Menurutnya lagi, cabaran yang dihadapi adalah menyatukan bentuk dan unsur muzik Asli dan Nanyin ini kerana wujud halangan bahasa. Pastinya sesuatu yang lunak didengar telinga amat dinanti-nanti penonton.
“Saya berasakan beberapa ketetapan tradisi muzik kedua-dua kaum perlu diubah suai untuk kita hasilkan karya baru. Bagaimanapun, kita harus akur bahawa terdapat persamaan muzik Asli dan Nanyin seperti nyanyian dari jiwa, tempo perlahan dan tekstur heterofonik (persembahan serentak versi berbeza melodi yang sama oleh suara dan alat muzik berlainan),” tambahnya.
Penolong penerbit dan artis utama Siong Leng, Seow Ming Xian, 30 tahun, pula berkata penonton pasti terhibur dengan penyatuan irama Asli dan Nanyin yang julung-julung kalinya dilakukan.
“Menerusi kerjasama ini, penonton daripada dua kelompok pencinta muzik Asli dan Nanyin ini dapat lebih memahami satu sama lain menerusi muzik dan lirik serta mengetahui tentang bunyian unik bentuk seni kaum lain.
“Kami bekerjasama dengan semangat gotong-royong orang kampung bagi menyatukan dua genre ini untuk melambangkan jiwa masyarakat dan perpaduan kami. Tidak kira apa bezanya ciri-ciri muzik kami yang ketara, kami berusaha mewujudkan bunyian harmoni yang menggambarkan perbezaan kami.
“Apabila dua kumpulan seni tradisional bersatu hati meneroka kerjasama pertama tentang bentuk seni unik mereka, maka tema kerinduan itu muncul,” tambahnya.
Dua sesi persembahan di Black Box, Pusat Drama, Tingkat 5, Bangunan Perpustakaan Negara diadakan pada Sabtu (22 Julai) iaitu pada 2.30 petang dan 7 malam. Perbincangan selepas persembahan akan diadakan selepas sesi 2.30 petang. Tiket $28 boleh ditempah di laman, kaunter dan talian Sistic.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg