Peserta Persidangan Adam & Hawa 2026 yang akan diadakan pada 4 Julai boleh menjangkakan pelbagai perkongsian dan perbincangan mengenai realiti kehidupan berumah tangga.

Ia termasuk cara berkomunikasi dengan lebih berkesan, mengurus emosi, memahami perspektif pasangan, serta menangani perbezaan dan konflik secara membina.

Selain sesi ceramah, mereka juga akan berpeluang menyertai perbincangan kumpulan kecil dan bertukar pandangan dengan individu lain yang mungkin berdepan cabaran serupa dalam perkahwinan dan kehidupan berkeluarga.

Persidangan yang dianjurkan Masjid Al-Falah itu bertujuan memperkukuh perkahwinan dan hubungan kekeluargaan dengan menyediakan ruang yang selamat dan bermakna untuk pasangan bermuhasabah tentang kehidupan rumah tangga, serta membincangkan cabaran yang dihadapi secara terbuka.

Persidangan itu juga bertujuan meneroka cabaran yang sering tidak diluahkan dalam perkahwinan dan kehidupan keluarga, selain membincangkan isu kepimpinan, kerjasama antara pasangan, serta kemudaratan dalam hubungan berdasarkan kerangka nilai Islam.

Ia merupakan sebahagian daripada siri dan kempen, Suami Baik dan Isteri Baik, anjuran Masjid Al-Falah, yang menggunakan agama sebagai panduan dalam membantu individu menjadi suami, isteri dan pasangan yang lebih baik.

“Keperluan untuk menganjurkan program sedemikian timbul sedang pasangan dan keluarga masa kini berdepan pelbagai tekanan, termasuk cabaran kewangan, perubahan jangkaan dalam hubungan, masalah komunikasi dan tuntutan kehidupan moden,” kata anggota lembaga pengurusan masjid, Masjid Al-Falah, Cik Shahrany Hassan.

“Banyak daripada cabaran tersebut tidak dibincangkan secara terbuka, menyebabkan sesetengah pasangan berasa terasing ketika cuba menghadapinya sendiri,” tambahnya.

Menurut Cik Shahrany, acara seperti Persidangan Adam & Hawa boleh berfungsi sebagai usaha pencegahan awal dengan menyediakan ruang untuk pembelajaran, refleksi dan sokongan sebelum sesuatu cabaran berkembang menjadi masalah lebih serius.

“Persidangan itu turut menekankan bahawa perkahwinan yang kukuh merupakan asas kepada keluarga yang kukuh dan masyarakat yang berdaya tahan.

“Pada masa yang sama, ia mengingatkan bahawa ajaran Islam masih relevan dalam membantu pasangan mengharungi kerumitan hubungan masa kini, serta memahami bahawa perkahwinan adalah satu amanah yang dibina atas dasar rahmat, belas ihsan dan tanggungjawab,” katanya.

Antara penceramah yang akan tampil ialah kaunselor di Concise Therapy & Counselling, Ustaz Sufian Hanafi, menerusi sesi bertajuk, Menemui Suami Dalam Diri Anda.

Beliau akan membincangkan konsep kepimpinan sebagai amanah, pengurusan emosi dan kemarahan dalam perkahwinan, serta pentingnya memahami pengalaman dan perspektif pasangan.

Turut berkongsi pandangan adalah pengasas dan Kaunselor Klinikal Utama Sacred Heartwork, Ustazah Dr Noraini Abdul Wahab, menerusi sesi Gandingan, Bukan Pertentangan.

Sesi itu akan menyentuh komunikasi yang sihat, kesedaran terhadap dinamik hubungan yang tidak sihat, serta cara pasangan boleh saling memahami dan menyokong antara satu sama lain.

Persidangan itu juga akan menampilkan forum bersama bertajuk, Perkahwinan Dalam Realiti: Kisah, Cabaran dan Panduan, yang menggabungkan perkongsian pengalaman serta pandangan pakar bagi menawarkan panduan amali dan dekat dengan realiti kehidupan.

Persidangan itu disasarkan kepada pasangan suami isteri, individu yang sedang membuat persediaan untuk berkahwin, pasangan yang sedang berdepan cabaran dalam rumah tangga serta sesiapa sahaja yang ingin memahami cara nilai Islam dapat membantu membina hubungan keluarga yang sihat, berdaya tahan dan penuh ihsan.

Individu yang ingin menyertai acara ini tetapi memerlukan bantuan kewangan boleh menghubungi masjid di talian 6235-3172.

Tarikh: 4 Julai
Masa: 8.30 pagi hingga 2 petang
Lokasi: Wisma Geylang Serai
Harga: $40 seorang untuk peserta datang bersendirian atau $30 seorang untuk peserta yang datang secara berpasangan
Dapatkan tiket di pautan: alfalah.sg/programmes/adamhawa