Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bintang Beverly Hills, 90210, Shannen Doherty meninggal dunia

Jul 15, 2024 | 7:45 PM
Mendiang Shannen Doherty menjalani pembedahan membuang tumor otak dan mendedahkan bahawa barahnya merebak ke tulang pada 2023.
Mendiang Shannen Doherty menjalani pembedahan membuang tumor otak dan mendedahkan bahawa barahnya merebak ke tulang pada 2023. - Foto AFP

Pelakon Shannen Doherty yang cukup dikenali dengan watak pelajar bernama Brenda Walsh dalam drama televisyen (TV) popular era 1990-an, iaitu Beverly Hills, 90210, meninggal dunia akibat barah buah dada pada usia 53 tahun pada 13 Julai.

Majalah People melaporkan, jurucakap mendiang Doherty, Cik Leslie Sloane mengesahkan kematian pelakon itu.

“Dengan hati yang berat, saya mengesahkan pemergian pelakon Shannen Doherty. Pada 13 Julai, beliau tewas dalam perjuangan melawan barah selepas bertahun-tahun berdepan dengan penyakit itu,” katanya.

Doherty secara terbuka berkongsi mengenai jerih payahnya mengharungi barah pada 2015.

Pada 2023, mendiang Doherty menjalani pembedahan membuang tumor otak dan mendedahkan bahawa barahnya merebak ke tulang.

Doherty yang sebelum ini membintangi filem Heathers, meraih populariti meluas dalam drama Beverly Hills, 90210 melalui watak Brenda, iaitu pelajar cemerlang dari Minnesota yang bergelut untuk menyesuaikan diri dengan rakan sekelas.

Watak mendiang dalam drama itu turut membabitkan babak cinta tiga segi dengan Dylan McKay (lakonan mendiang Luke Perry) dan Kelly Taylor (Jennie Garth).

Dalam kehidupan nyata, Doherty dilaporkan mengalami konflik dengan Garth dan pelakon lain serta meninggalkan Beverly Hills, 90210 pada musim keempat pada 1994.

Bagaimanapun, drama popular itu diterbitkan sehingga 2000 tanpa Doherty.

Pada 1998, penerbit Beverly Hills, 90210, Aaron Spelling, memilih Doherty untuk siri ‘supernatural’ iaitu Charmed di mana mendiang membawa watak sebagai Prue Halliwell, iaitu kakak sulung daripada tiga beradik yang memiliki kuasa ajaib.

Drama itu menjadi hit, namun, mendapat liputan meluas gara-gara kekecohan yang berlaku di belakang tabir.

Majalah People dilapor menyifatkan Doherty sebagai gadis nakal ikonik era 1990-an, dengan reputasi suka berpesta, datang lewat ke set penggambaran dan berkonflik dengan pelakon lain serta pihak atasan.

Pada 2023, dalam podcast Let’s Be Clear with Shannen Doherty, mendiang memberitahu beliau mengambil tanggungjawab penuh atas tindakannya dan mengakui kelakuan menjadi keterlaluan akibat sering mengunjungi kelab malam pada usia 20-an tahun.

Mendiang Doherty juga menyebut beliau lebih berani bersuara berbanding wanita lain yang bekerja di stesen TV, ketika itu, termasuk memberitahu penerbit, Spelling, apabila merasakan skrip perlu diperbaiki.

“Saya dibesarkan untuk mempunyai pendapat di mana ia perlu dihargai. Jadi, saya terus melawan sistem itu dan mana-mana lelaki yang tidak mahu mendengar pendapat saya.

“Saya belajar seni diplomasi yang mudah. Saya belajar bahawa mungkin ada cara yang lebih baik untuk menyatakan beberapa perkara,” katanya.

Doherty kembali membawa peranan Brenda untuk Beverly Hills, 90210 terbitan 2008 dan 2019.

Sebelum ini, Doherty dilapor mengesahkan dirinya dan Garth sudah berdamai selepas menjadi dewasa dan meninggalkan konflik remaja mereka.

Mendiang Doherty dilahirkan di Memphis, Tennessee, Amerika Syarikat, pada 12 April 1971 dan berlakon sejak kecil.

Doherty berkahwin tiga kali dengan yang terbaru, bersama jurugambar, Kurt Iswarienko.

Namun, Doherty memfailkan perceraian terhadap lelaki itu pada 2023.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg