Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

‘Blood Brothers: Bara Naga’ terus cipta sejarah dengan versi novel

May 28, 2025 | 12:23 PM
Blood Brothers: Bara Naga, Yusof Haslam, Syafiq Yusof, Skop Productions
Datuk Yusof Haslam dan anaknya, Syafiq Yusof, pada majlis pelancaran novel ‘Blood Brothers: Bara Naga’ di Pentas Dunia Ilmu, Dewan Merdeka, WTC Kuala Lumpur pada 25 Mei. - Foto BHM

Lazimnya, apa dilihat adalah novel yang diadaptasikan kepada filem.

Namun, syarikat produksi Skop Productions dengan kerjasama WhiteCoat Group, mengambil langkah berbeza apabila menerbitkan novel yang diangkat daripada filem pecah panggung, ‘Blood Brothers: Bara Naga’.

Namun, bagi pemilik empayar Skop Productions, Datuk Yusof Haslam, langkah itu bukanlah baru kerana pernah mengambil tindakan sama apabila naskhah popular terbitannya, Sembilu, pada era 1990-an, melalui proses sama.

“Alhamdulillah, Blood Brothers: Bara Naga yang diarah anak saya, Syafiq dan rakannya, Abhilash Chandra, menjadi sejarah apabila daripada filem, kini jadi novel.

“Sama seperti ketika Sembilu ditayangkan, kita jadikan naskhah itu dalam bentuk novel. Seingat saya, kira-kira 30,000 naskhah novel itu. Selepas itu, ramai orang (pembikin filem) sudah tidak buat (terbitkan filem kepada novel),” katanya ditemui pada majlis pelancaran novel, Blood Brothers: Bara Naga, di Pentas Dunia Ilmu, Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur pada 25 Mei.

Filem Blood Brothers: Bara Naga yang mula ditayang pada 10 April lalu, mengutip RM62 juta ($18.8 juta) dalam tempoh 20 hari tayangan, sekali gus meleburkan rekod kutipan filem Sheriff: Narko Integriti pada 2024, lapor Berita Harian Malaysia.

Selain tayangan di Malaysia, filem Blood Brothers yang mengangkat kisah kehidupan kumpulan mafia itu turut dipertontonkan di Singapura dan Brunei.

Yusof berkata inisiatif menerbitkan novel Blood Brothers: Bara Naga dianggap baik kerana tidak semua orang suka menonton filem.

“Ada orang lebih suka baca novel. Bagi saya, budaya membaca harus diteruskan supaya ingatan kita boleh tajam,” katanya.

Yusof berterima kasih kepada penulis, iaitu Dr Anwar Fazal dan Amshida Ahmad Rani, yang menghasilkan novel Blood Brothers: Bara Naga dengan baik.

“Sebenarnya, Dr Anwar yang menulis buku ini adalah anak saudara. Saya tidak sangka dia ada bakat menulis novel. Dia juga penulis lagu buat filem Syafiq sebelum ini. Banyak lirik dalam filem Syafiq terdahulu, Dr Anwar yang hasilkan,” katanya.

Yusof bangga dan bersyukur apabila satu demi satu kejayaan diperoleh syarikatnya dalam kerja penghasilan filem.

“Saya bersyukur Skop Productions yang saya asaskan pada 1985, iaitu ketika usia saya 29 tahun mencipta satu lagi sejarah. Sekarang Skop Productions sudah berusia 40 tahun, iaitu empat dekad sudah saya usahakan daripada pelakon, pengarah dan kemudian penerbit.

“Namun, apa yang dikecapi hari ini adalah atas usaha dan izin Allah. Saya tidak pernah anggap anak saya dan pasukannya hebat.

“Allah yang gerakkan penonton pergi menonton filem kami. Kita sebagai pembikin filem, sehabis daya kita buat yang terbaik,” katanya.

Yusof berkata Syafiq akan tampil dengan filem Sheriff 2 dan berharap usahanya itu dipermudahkan.

“Saya harap anak saya, iaitu Syamsul dan Syafiq kuat semangat untuk teruskan perjuangan saya. Janganlah patah semangat kerana dalam perjuangan ini, tiada noktah,” katanya.

Sementara itu, pengarah, Syafiq terharu apabila filem Blood Brothers: Bara Naga yang memaparkan sisi gelap kehidupan manusia, mendapat sambutan positif. Justeru, Syafiq berharap novel filem itu akan mendapat sambutan yang sama.

Blood Brothers: Bara Naga adalah filem mengenai dunia gelap, iaitu berkisar orang jahat. Saya pun tak tahu kenapa filem begini orang suka. Tetapi, bagi saya, Blood Brothers: Bara Naga adalah kisah manusia. Tiada manusia bangun pagi hendak jadi jahat.

“Macam-macam sebab menjadikan mereka begitu. Jadi, saya fikir, ini adalah cerita berkenaan manusia. Novel ini boleh memberi intrepretasi yang lebih mendalam dan saya fikir, anda semua akan suka.

“Selalunya, novel diangkat kepada filem. Tetapi, kali ini, filem diolah kepada novel. Syabas kepada Dr Anwar, saya harap novel ini berjaya supaya selepas ini kami boleh terus hasilkan buku berkualiti,” katanya.

Dr Anwar dan Amshida masing-masing mengakui hanya mengambil tempoh dua minggu untuk menyiapkan novel berkenaan.

Dr Anwar yakin melalui pembacaan novel terbabit dapat menghasilkan kesan visual sama seperti menonton filem Blood Brothers: Bara Naga.

“Ini bukanlah kali pertama novel diadaptasikan daripada filem. Misalnya filem One Two Jaga juga diadaptasikan daripada filem kepada novel. Sebenarnya, idea tercetus selepas kami melihat kejayaan filem Blood Brothers: Bara Naga dan ramai yang tidak dapat ke panggung wayang untuk menonton.

“Jadi, kami fikir mengapa tidak kami zahirkan dalam bentuk tulisan untuk mereka yang tidak dapat menonton.

“Kami hasilkan buku ini sejak akhir April lalu. Alhamdulillah, novel ini dapat siapkan untuk dijual pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur,” katanya.

Novel Blood Brothers: Bara Naga terbitan WhiteCoat Group mula dijual pada 23 Mei lalu. Novel ini boleh didapati di reruai WhiteCoat pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025. PBAKL 2025 yang bermula pada 26 Mei berlangsung sehingga 1 Jun.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg