Sesuap bubur lambuk ikan tenggiri bersama udang memberikan rasa amat menyenangkan, seolah-olah menikmati masakan air tangan ibu di rumah.

Teksturnya lembut, dengan rasa lemak dan kehangatan lada hitam yang tidak terlalu kuat, dilengkapi kemanisan semula jadi udang segar dan ikan.

Namun, di sebalik hidangan sederhana itu tersimpan kisah masyarakat Orang Laut yang suatu ketika dahulu bergantung pada hasil laut untuk menyara keluarga.

Kini, hidangan itu bersama asam pedas ikan karang dan sotong hitam diperkenalkan menerusi restoran sementara, Terumbu, di Clarke Quay Central, hingga 26 Disember.

Encik Firdaus Sani, bersama ibunya, Cik Nooraini Rani, yang membesar di Pulau Semakau. Melalui Terumbu, pasangan ibu dan anak itu berusaha mengekalkan resipi turun-temurun sambil memperkenalkan cita rasa masyarakat pulau kepada generasi baharu.
Encik Firdaus Sani, bersama ibunya, Cik Nooraini Rani, yang membesar di Pulau Semakau. Melalui Terumbu, pasangan ibu dan anak itu berusaha mengekalkan resipi turun-temurun sambil memperkenalkan cita rasa masyarakat pulau kepada generasi baharu. - Foto BH oleh ADAM MIFZAL FAIZAL

Diusahakan pengasas Orang Laut SG, Encik Firdaus Sani, bersama ibunya, Cik Nooraini Rani, yang membesar di Pulau Semakau, restoran itu mengetengahkan resipi keluarga yang diwarisi turun-temurun.

Nama Terumbu, yang bermaksud terumbu karang, dipilih kerana kepentingannya kepada ekosistem laut dan kehidupan masyarakat pulau.

“Terumbu adalah kehidupan, nyawa laut. Ia sebahagian daripada ekologi yang menjadi tempat ikan hidup dan tempat masyarakat kami bergantung,” jelas Encik Firdaus kepada Berita Harian (BH).

Menurutnya, peluang membuka restoran itu tercetus selepas seorang peserta kegiatan berjalan kaki pesisir anjuran Orang Laut SG di West Coast Park merupakan penyewa Far East Organization dan memperkenalkan mereka kepada inisiatif Chef X @ Clarke Quay.

Ia merupakan satu inisiatif oleh Far East Organization yang menyediakan ruang percubaan bagi cef yang beroperasi dari rumah serta cef peribadi untuk mengendalikan restoran komersial yang lengkap.

Setelah enam tahun menerima tempahan makanan dari rumah pada hujung minggu, operasi restoran lima hari seminggu merupakan peluang baharu.

Gerakan tangan Cik Nooraini yang pantas dan cekap menyiang ikan tenggiri untuk hidangan asam pedas di Terumbu. Kemahiran itu diasah sejak beliau membesar di Pulau Semakau.
Gerakan tangan Cik Nooraini yang pantas dan cekap menyiang ikan tenggiri untuk hidangan asam pedas di Terumbu. Kemahiran itu diasah sejak beliau membesar di Pulau Semakau. - Foto BH oleh ADAM MIFZAL FAIZAL

“Mak saya memang mahu mencuba, tetapi agak takut kerana skala memasak untuk restoran jauh lebih besar.

“Ini peluang untuk melihat sama ada konsep ini boleh diteruskan pada masa depan,” katanya.

Menurut Encik Firdaus, keunikan masakan Orang Pulau terletak pada pemilihan bahan dan teknik memasak yang dibentuk oleh kehidupan di laut.

Misalnya, asam pedas dan sotong hitam keluarganya lebih menonjolkan penggunaan cili kering dan lada hitam berbanding sesetengah herba yang lazim digunakan.

“Masakan Orang Pulau agak berbeza walaupun kita serumpun. Ada kelainannya, tetapi rasanya tidak lari daripada masakan Melayu,” jelasnya.

Sotong hitam menggunakan sotong nos, atau sotong bermata hijau, yang secara tradisional ditangkap menggunakan tali pancing.

“Memang nak buat sotong hitam ini mengambil masa. Kena siang, cuci tiga hingga empat kali, kemudian masak sampai lembut sebelum masukkan bahan lain dan tunggu kuahnya pekat,” kongsi Cik Norani sambil gaul lauk itu.

Sotong hitam antara hidangan istimewa Terumbu, dengan kuah hitam yang pekat dan kaya dengan rasa.
Sotong hitam antara hidangan istimewa Terumbu, dengan kuah hitam yang pekat dan kaya dengan rasa. - Foto BH oleh ADAM MIFZAL FAIZAL

Hasilnya, sotong hitam mempunyai kuah pekat dan kaya dengan rasa, manakala asam pedas ikan karang menawarkan keseimbangan rasa masam dan pedas.

Bubur lambuk pula mengingatkan Encik Firdaus kepada neneknya, Cik Ninah Gap, yang sering menyediakan hidangan tersebut ketika beliau kecil.

“Dulu, apabila ada lebihan ikan, mereka tidak ada peti sejuk. Jadi, ikan itu ditumbuk dan dilenyek supaya tidak membazir.

“Bubur lambuk kami tidak menggunakan bunga lawang atau kayu manis. Kami gunakan lada hitam, serai dan ikan,” katanya.

Cik Nooraini menambah bahawa resipi ibunya turut menggunakan santan, halia dan daun salam, manakala ikan direbus, diasingkan tulang dan dikisar halus.

Hubungan masyarakat pulau dengan laut turut tercermin dalam cara mereka mendapatkan makanan.

“Kena ikut angin, kena ikut arus. Bukan campak pancing terus dapat ikan. Kena tahu kawasan mana yang sesuai,” kata Encik Firdaus.

“Kami memang anak laut. Dulu, walaupun mengandung enam bulan, masih berdayung keluar menangkap ikan,” kenang Cik Nooraini.

Sehingga kini, Terumbu turut menyokong nelayan bekas penduduk pulau yang masih menggunakan bubu untuk menangkap ikan di perairan Singapura.

Bagaimanapun, kebanyakan bekalan makanan laut diperoleh daripada pasar, manakala hasil tangkapan nelayan tersebut didapati apabila bekalannya mencukupi.

“Masih ada pak cik-pak cik nelayan yang turun ke laut setiap minggu. Kalau ada ikan, kami minta mereka bawa ke kedai.

“Kami mahu menyokong mereka, tetapi tidak mahu memberi tekanan kerana hasil tangkapan bergantung pada cuaca, terutama menjelang musim tengkujuh,” jelas Encik Firdaus.

Seawal 5 pagi, Cik Nooraini yang tinggal di Jurong sudah tiba di dapur Terumbi di Clarke Quay untuk mula memasak dengan periuk-periuk besar.
Seawal 5 pagi, Cik Nooraini yang tinggal di Jurong sudah tiba di dapur Terumbi di Clarke Quay untuk mula memasak dengan periuk-periuk besar. - Foto BH oleh ADAM MIFZAL FAIZAL

Di dapur, Cik Nooraini menyediakan masakan berdasarkan resipi ibu mereka, dengan kerja persiapan bermula seawal 5 pagi.

“Ada tanggapan bahawa makanan Melayu mesti murah. Tetapi penyediaannya mengambil masa dan memerlukan banyak tenaga.

“Kalau kita sendiri tidak menghargai makanan kita, siapa lagi yang akan menghargainya?” ujar Encik Firdaus.

Usaha itu turut dibantu anggota keluarga dan bekas penduduk pulau, sekali gus menghidupkan semangat gotong-royong yang menjadi sebahagian daripada kehidupan masyarakat tersebut.

Bagi beliau, yang keluarganya berpindah dari Pulau Semakau ke tanah besar pada 1977, Terumbu bukan sekadar perniagaan, malah jambatan memperkenalkan sejarah masyarakat Orang Laut.

“Perwakilan itu penting, tetapi penyertaan juga penting. Apabila orang ramai mengenali budaya kami melalui makanan dan cerita, mereka akan lebih memahami kehidupan masyarakat ini,” katanya.

Malah, beliau menyimpan cita-cita lebih besar untuk membangunkan pusat pembelajaran budaya pesisir di West Coast.

“Kami sudah berbincang dengan beberapa pihak dalam sektor pemerintah. Harap-harap ia dapat menjadi kenyataan.

“Kami mahu ada tempat untuk berkongsi dan bercerita tentang budaya kami,” katanya.

Bagi Encik Firdaus, usaha itu penting agar warisan masyarakat Orang Laut tidak hilang bersama perubahan persekitaran pesisir.

Alamat: 6 Eu Tong Sen Street, #03-103/104, Singapura 059817

Waktu Operasi: Selasa hingga Sabtu (hingga 26 Disember 2026), 11 pagi hingga 9 malam

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti