Topik diikuti
Pergi ke BHkuKafe sajian Orang Pulau terima sambutan hangat, terpaksa masak tiga kali ganda
Baru dibuka pada 23 Oktober, beberapa hidangan kafe ‘pop-up’ Terumbu habis dijual sebelum waktu tutup
Kafe sajian Orang Pulau terima sambutan hangat, terpaksa masak tiga kali ganda
Kafe ‘pop-up’ atau sementara yang menjual sajian warisan Orang Pulau di Clarke Quay terpaksa menyediakan makanan sehingga tiga kali ganda daripada jumlah asal selepas menerima sambutan hangat sejak dibuka secara rasmi pada 23 Oktober.
Dinamakan Terumbu, kafe itu turut menyaksikan beberapa hidangannya habis dijual seawal 6.45 petang pada 25 Oktober, meskipun waktu operasinya berakhir pada 9 malam.
Ketika dihubungi Berita Harian (BH), pengasas Terumbu, Encik Firdaus Sani, berkata:
“Kami sememangnya tidak menjangkakan makanan akan habis dijual menjelang waktu makan malam.
“Ibu saya sebenarnya terpaksa memasak tiga kali ganda daripada jumlah yang kami sediakan pada awalnya kerana makanan begitu cepat habis,” kata Encik Firdaus Sani, yang juga pengasas gerakan warisan Orang Laut SG.
Menurut beliau, sambutan pada 24 Oktober juga memberangsangkan, dengan pelanggan datang tanpa henti sejak waktu makan tengah hari sehingga pihaknya terpaksa menolak beberapa pelanggan.
“Kami amat terharu dengan sambutan ini tetapi pada masa yang sama berasa serba salah apabila ada pelanggan yang datang dari jauh untuk mendapati makanan sudah habis dijual,” ujar Encik Firdaus.
Beroperasi selama dua bulan hingga 26 Disember, Terumbu mengetengahkan hidangan warisan masyarakat Orang Pulau dan masyarakat Kepulauan Selatan, termasuk dari Pulau Semakau, berdasarkan resipi turun-temurun keluarga.
Ia terletak di Chef X, ruang niaga sementara di Clarke Quay Central, yang disediakan oleh Far East Organization bagi memberi peluang kepada pengusaha makanan menguji konsep perniagaan mereka.
Antara hidangan yang ditawarkan ialah ‘The Pulau Bowl’ ($15.90), yang menggabungkan asam pedas ikan karang, sotong hitam dan sambal udang, serta Bubur Lambuk Tenggiri ($11.90 hingga $13.90). Kafe itu juga menawarkan kuih tradisional seperti koleh-koleh dan puteri salat.
“Kami merupakan sebuah pasukan kecil yang masih dalam proses menyesuaikan diri, jadi kami amat menghargai kesabaran dan pengertian semua pelanggan,” kongsi Encik Firdaus, yang juga pengasas syarikat kreatif The Black Sampan.
Beliau menjelaskan bahawa kebanyakan hidangan disediakan dari awal menggunakan bahan segar, termasuk makanan laut yang perlu diperoleh, dibersihkan, dan disiapkan sebelum dimasak.
Ada kalanya, beliau dan keluarganya perlu ke pasar basah atau Pelabuhan Perikanan Jurong untuk mendapatkan bekalan.
“Selain memasak, terdapat juga kerja logistik, pembersihan dan penyediaan, serta cabaran menyesuaikan resipi keluarga kepada jumlah yang lebih besar tanpa menjejaskan rasa yang kami kenali sejak kecil,” terang Encik Firdaus, yang keluarganya berasal dari Pulau Semakau.
Walaupun mahu memenuhi permintaan pelanggan, Encik Firdaus tidak mahu membebankan ibunya, Cik Noraini Rani, dan anggota pasukan lain dengan kerja yang melebihi kemampuan mereka.
“Resipi ini memerlukan masa, perhatian dan kesabaran. Kami tidak mahu kehilangan semua itu hanya kerana cuba memenuhi permintaan,” tambahnya.
Encik Firdaus, yang giat mendokumentasikan dan berkongsi warisan Orang Pulau menerusi Orang Laut SG sejak 2020, berharap Terumbu dapat memperkenalkan warisan makanan masyarakat itu kepada khalayak lebih luas.
Beliau berharap Terumbu dapat membuktikan bahawa warisan makanan masyarakat Kepulauan Selatan masih mempunyai tempat dalam landskap makanan Singapura hari ini.
“Saya melihat peluang ini sebagai ruang untuk perwakilan, mengeratkan semula hubungan dan pertukaran budaya,” dedahnya.
Selain makanan, Terumbu turut menampilkan sudut bacaan yang menyediakan karya penulis tempatan, bahan dokumentasi masyarakat pesisir peribumi dan penerbitan bebas.
Menurut Encik Firdaus, dinding kafe itu pula dihiasi gambar dan kisah masyarakat Orang Pulau.
Ditanya mengenai kemungkinan meneruskan Terumbu selepas tempoh operasi sementaranya berakhir, beliau berkata keluarganya perlu menilai pengalaman mereka sebelum membuat keputusan.
“Sudah tentu kami berharap dapat mempunyai ruang tetap suatu hari nanti, jika masa dan peluang mengizinkan.
“Namun, ia perlu mampan, bukan sahaja dari segi komersial, tetapi juga bagi keluarga dan masyarakat yang terlibat,” katanya.