Kaki Makan menyorot perkembangan tiga perniagaan burger halal – Burgs, Smashed, dan Ashes Burnnit. Burgs, yang mula dikenali di Old Airport Road Hawker Centre, kembali semula di Bussorah Street. Smashed pula menampilkan konsep baru patti leper. Sementara itu, Ashes Burnnit membuka cawangan baru di Canberra dan Sengkang.
Dari jauh, warna merah menyala yang menghiasi kedai Burgs di 16 Bussorah Street menarik perhatian sesiapa saja yang lalu-lalang di situ.
Burgs dengan burger gaya gourmet tempatan ini kembali semula dengan semangat baru, setelah menghadapi beberapa rintangan.
Diasaskan pada 2017 oleh sekumpulan cef muda, Burgs mula menawan hati dan selera penggemar burger menerusi cawangan penjaja yang menawarkan burger bermutu restoran pada harga mampu milik.
Namun perjalanan perniagaan tidak mudah.
“Lapan tahun lalu, kami cuma budak-budak awal 20-an tahun, tak ada mentor dalam perniagaan, tak tahu apa-apa pasal perniagaan,” kongsi pengasas Burgs, Encik Muhammad Shah Indra Jasni, 33 tahun.
“Kami terpaksa belajar dengan cara yang susah, rugi duit, hilang staf, hilang kawan dan kerjasama,” katanya.
Kini, Burgs kembali dengan versi baru yang beliau gelarkan sebagai version 3.1, di lokasi strategik iaitu di Kampong Gelam, berdekatan Masjid Sultan.
“Kalau satu hari nanti saya bawa jenama ini ke negera lain, saya boleh kata, inilah tempat asal kami.
“Semua orang kenal Masjid Sultan. Lokasi ini penting untuk membina cerita,” katanya.
Restoran dua tingkat itu boleh memuatkan sehingga 70 pelanggan dalam suasana yang sederhana dan selesa.
Konsep reka bentuk restoran itu juga ringkas, selari dengan menu yang padat dan fokus.
Menu Burgs kali ini terdiri daripada empat jenis burger utama, bersama beberapa pilihan sampingan dan pencuci mulut.
Antara yang wajib dicuba ialah The Original, gabungan daging lembu buatan sendiri, keju Amerika, relish atau sos cili hijau, jem bawang, kulit ayam dan sos khas Burgs, disempurnakan dengan roti yang turut dihasilkan sendiri yang berlemak dan agak lembut.
“Kami buat roti sendiri sekarang. Dulu apabila ambil daripada pembekal, kadang-kadang kualitinya lari daripada standard kami.
“Kami nak kawal semua aspek makanan kami,” kata Encik Indra.
Untuk penggemar rasa salai dan rangup, hidangan Bae Con pula mengetengahkan daging lembu, keju, sos barbeku yang dibuat sendiri bersama turkey bacon rangup.
Pelengkap hidangan seperti Nuggies dan Sig Fries merupakan menu istimewa Burgs.
Burgs Sig Fries merupakan kentang goreng rangup yang disaluti sos keju, bawang karamel dan green chilli relish yang memberikan gabungan rasa lemak dan sedikit pedas.
Sementara itu, Nuggies ialah potongan ayam bersalut yang rangup, berperisa lazat dan sesuai dipadankan dengan empat jenis sos celup, ranch, spicy nacho, curry dan spicy kicap manis.
Untuk pencuci mulut, cubalah Banana Peanut Butter Pie, pai mentega kacang bersama pisang atau Mango Sorbet, ais mengandungi buah mangga dengan rasa tropika yang menyegarkan.
“Kami sengaja kekalkan menu kecil supaya senang kawal dan boleh tambah produk bermusim nanti. Ramai juga yang minta burger brisket kami yang lama itu dikembalikan,” kata Encik Indra.
Kini, tumpuannya adalah untuk membina semula hubungan dengan penyokong setia Burgs.
“Saya rindu menjalin hubungan dengan pelanggan tetap kami.
“Tempat ini memang untuk mereka, kawan-kawan lama dan juga pelancong,” ujarnya.
Alamat: 16 Bussorah Street, Singapura 199437
Waktu Operasi: Isnin hingga Rabu, Ahad: 11 pagi hingga 10 malam; Khamis hingga Sabtu: 11 pagi hingga 1 pagi
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg