Mendapat cetusan inspirasi daripada kembara makanan di London, dua usahawan muda tempatan, Encik Kaleemullah Saffarullah dan rakan kongsinya, Encik Muhammad Asyraf Mohamed Rasheed, memperkenalkan konsep smashed burger (patti dileperkan) menerusi jenama Smashed di kawasan Arab Street.
“Semasa kami berada di London, kami mencuba burger dengan daging yang dipadatkan di atas pemanggang sehingga membentuk lapisan yang garing di luar.
“Ia mempunyai tekstur yang rangup di luar dan kekal berjus di dalam.
“Kami nampak ada kekosongan konsep itu di pasaran tempatan,” kata Encik Kaleemullah.
Burger di Smashed menggunakan daging lembu yang telah diperap, ditimbang dan dipadatkan di atas pemanggang panas untuk menghasilkan dua lapisan patti yang garing di luar tetapi lembut di dalam.
Ia dihidangkan bersama roti brioche yang gebu dan berlemak bersama keju, jeruk, bawang karamel serta sos istimewa mereka.
“Kami memang tekankan kualiti. Daripada pemilihan roti, cara kami perap daging, hinggalah sos yang kami cipta sendiri, semuanya bertujuan memberikan alternatif yang memuaskan kepada pelanggan,” tambahnya.
Selepas sambutan hangat semasa Ramadan di Bazar Kampong Gelam, mereka memutuskan untuk membuka cawangan fizikal di kawasan Arab Street meskipun kadar sewanya tinggi.
“Kami tahu risikonya, tapi kami juga tahu potensi kawasan ini. Waktu malam dan musim sibuk, ramai pelanggan cari pilihan takeaway (bawa pulang) kerana restoran penuh.
“Kami yakin dengan jualan yang konsisten,” jelas Encik Kaleemullah.
Jenama itu juga menarik pelbagai lapisan umur dari golongan muda berusia 20-an tahun hingga pelanggan berkeluarga, yang akan membuat tempahan pukal untuk majlis atau kenduri.
“Minggu ini, kami terima tempahan 40 burger untuk sambutan hari jadi.
“Ini beri kami semangat untuk terus cipta menu baru dan tawaran menarik,” katanya.
Mereka turut bekerjasama dengan jenama tempatan SGFR untuk minuman edisi khas Quench serta memperkenalkan promosi untuk pelajar.
“Kami juga beri peluang kepada usahawan tempatan lain melalui kolaborasi.
“Kami mahu berkembang bersama masyarakat daripada industri makanan dan minuman (F&B) halal tempatan,” ujar Encik Kaleemullah sambil menambah bahawa mereka akan terus aktif di bazar dan acara tempatan yang lain, agar dapat menperkenalkan konsep baru kepada umum.
Alamat: 21 Baghdad Street, Singapura 199066
Waktu Operasi: Isnin hingga Khamis, Ahad: 12 tengah hari hingga 9.30 malam; Jumaat dan Sabtu: 12 tengah hari hingga 10 malam
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg