Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Cabaran unik persiap anak keperluan khas untuk peperiksaan

PENULIS TAMU
Oct 7, 2024 | 5:21 PM
Penulis Cik Kartina Rosli
Penulis Cik Kartina Rosli - Foto ihsan KARTINA ROSLI

Demam Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) baru sahaja berakhir. Bagi anak-anak dan ibu bapa yang melalui fasa ini, mereka akhirnya dapat menarik nafas lega setelah berbulan-bulan membuat persediaan.

Namun, bagi ibu bapa yang mempunyai anak-anak berkeperluan khas yang akan menduduki peperiksaan buat kali pertama, perjalanan mereka baru sahaja bermula.

Persediaan yang perlu dibuat bukan sekadar melibatkan bahagian akademik, tetapi juga pengurusan emosi dan cabaran unik yang dihadapi anak-anak ketika membuat persiapan menduduki peperiksaan buat kali pertama.

Sepanjang musim PSLE, ramai rakan-rakan saya yang merupakan ibu bapa berkongsi di media sosial tentang pengalaman mereka dan antara lain mereka mendapati diri mereka terlalu tegas ketika mempersiapkan anak-anak mereka.

Keinginan untuk melihat anak-anak berjaya sering membuat mereka bertindak dengan keras, sehingga ada yang memberi kesan emosi yang mendalam kepada anak-anak mereka. Saya sendiri tidak terkecuali dan perkongsian mereka membawa kesedaran pada saya juga.

Dalam usaha mempersiapkan anak saya untuk peperiksaannya, tanpa saya sedari, saya berubah menjadi ‘Godzilla Mum’. Ada kala saya terlalu tegas, malah meninggikan suara setiap kali anak saya terlupa fakta atau gagal menyelesaikan tugasan yang kelihatan mudah pada pandangan saya.

Hinggalah pada suatu masa, anak saya meluahkan perasaannya sambil menitiskan air mata kerana berasa dirinya tidak cukup bijak.

Perasaan kesal dan sedih tiba-tiba menyelubungi saya. Pada saat itulah saya sedar bahawa dalam membesarkan anak-anak istimewa, sokongan moral dan meraikan pencapaian kecil memberi kesan besar.

Seharusnya, setelah sebelas tahun membesarkan anak istimewa, saya sudah memahami bahawa setiap anak mempunyai proses pembelajaran yang berbeza, apatah lagi yang di dalam aliran khas.

Saya juga sedar pentingnya untuk meraikan setiap kemajuan kecil yang dicapai, daripada sekadar mengejar kesempurnaan akademik.

Fokus pada sokongan moral

Daripada pengalaman saya dan cerita rakan-rakan, saya mula menyesuaikan jangkaan saya terhadap kebolehan anak saya.

Ini bukan bermaksud saya tidak berharap yang terbaik untuk dia, tetapi saya mula menerima bahawa setiap anak diberikan keistimewaan yang tersendiri dan cara mereka menerima sesuatu pelajaran itu memerlukan masa dan cara yang tepat.

Saya mula menghargai setiap kemajuan kecil yang dicapai—walaupun hanya sekadar berjaya menyelesaikan satu soalan yang sukar.

Fokus utama saya kini adalah memberi sokongan moral dan pujian atas usahanya dan cara berinteraksi dengan mereka.

Berikut adalah beberapa pelajaran yang saya peroleh, yang mungkin bermanfaat bagi ibu bapa lain yang menghadapi situasi serupa.

Panduan untuk ibu bapa dengan anak-anak yang akan menduduki peperiksaan buat kali pertama

  1. Sediakan ruang dan suasana belajar yang tenang di rumah. Kurangkan gangguan dan pastikan anak-anak mendapat rehat dan pemakanan yang mencukupi untuk membantu mereka berfikir dengan jelas. Kurangkan gangguan dari persekitaran seperti televisyen atau peranti lain yang boleh mengalih perhatian.
  2. Pecahkan tugasan kepada bahagian kecil yang lebih mudah diurus agar mereka tidak merasa terbeban. Dengan cara ini, anak-anak akan lebih yakin dan mampu menyelesaikan kerja dengan baik. Guna alat bantuan seperti carta visual dengan gambar. Ini dapat membantu memperjelaskan konsep, terutama bagi anak-anak yang lebih mudah memahami melalui penglihatan. Pendekatan ini akan membantu mereka merasa lebih terkawal dan membina keyakinan untuk meneruskan pembelajaran mereka tanpa rasa tertekan.
  3. Pujian yang diberikan terhadap usaha adalah lebih bermakna untuk anak-anak kita. Dengan memberi penghargaan kepada usaha mereka, walaupun hasil akhirnya tidak sempurna, kita membina motivasi dalaman mereka. Menghargai setiap langkah kecil akan membantu mereka memahami proses pembelajaran itu lebih penting daripada mencapai kesempurnaan. Ini memberi mereka keyakinan untuk terus berusaha tanpa rasa takut akan kegagalan, kerana mereka tahu bahawa usaha mereka dihargai dan bukannya hanya keputusan yang dinilai.
  4. Sebagai ibu bapa, kita juga perlu bertenang secara mental, emosi, dan fizikal ketika membantu anak-anak bersiap-sedia untuk peperiksaan. Tekanan yang kita alami boleh secara tidak sedar dipindahkan kepada mereka, menyebabkan suasana menjadi lebih tegang. Oleh itu, penting untuk kita mengambil masa berehat, mengawal emosi, dan menjaga kesihatan diri agar dapat kekal tenang. Dengan cara ini, suasana belajar akan lebih positif, dan anak-anak akan lebih mudah memberi tumpuan serta berasa disokong sepanjang persiapan mereka.

Kebahagiaan anak adalah keutamaan

Sebagai ibu bapa kepada anak istimewa, kita sering terperangkap dengan keinginan melihat mereka cemerlang dalam peperiksaan.

Namun, kebahagiaan dan kesejahteraan emosi mereka jauh lebih penting daripada hanya pencapaian akademik.

Menerima keunikan setiap anak istimewa dan meraikan setiap usaha kecil yang dicapai adalah penting untuk membina keyakinan mereka.

Kesimpulannya, mengenalkan emosi bahagia pada anak-anak istimewa adalah kunci untuk kesejahteraan holistik mereka di masa akan datang.

Dengan cara ini, kita boleh menciptakan kehidupan yang lebih bahagia, sihat, dan bermakna bagi mereka.

Penulis pengasas dan ketua strategik firma perunding pemasaran digital, Tin Communications. Beliau mempunyai dua anak, berusia 18 dan 11 tahun. Anak bongsunya, yang mengalami autisme ringan, merupakan murid darjah tiga di Sekolah Pathlight. Dia kini sedang menduduki peperiksaan pertamanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg