Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Inisiatif baru galak pelajar autistik hidup berdikari

Program ‘Good Life Boarding’ selama 10 minggu latih pelajar dengan rutin harian
Oct 3, 2024 | 4:29 PM
Pelajar Sekolah Admiral Hill, Hirdani Adrean Abdul Halim, mencuci piringnya sendiri di dapur ‘Good Life Boarding’, sebuah kemudahan makmal gaya apartmen untuk pelajar belajar hidup berdikari.
Pelajar Sekolah Admiral Hill, Hirdani Adrean Abdul Halim, mencuci piringnya sendiri di dapur ‘Good Life Boarding’, sebuah kemudahan makmal gaya apartmen untuk pelajar belajar hidup berdikari. - Foto RAINBOW CENTRE

Sebuah kemudahan makmal gaya apartmen disediakan untuk membantu melengkapkan pelajar berkeperluan khas dengan kemahiran hidup berdikari dan menyelaraskan pelan pembelajaran sekolah dengan persekitaran rumah.

Dinamakan Asrama Kehidupan Baik, atau Good Life Boarding, kemudahan tersebut adalah antara ciri menarik Sekolah Admiral Hill (AHS) Rainbow Centre (RC), untuk pelajar berumur 15 tahun ke atas.

Menurut kenyataan RC, ia adalah sekolah pendidikan khas (Sped) pertama yang direka dengan ciri mesra autisme dan konsep Bandar Sosial, atau Social Town, bagi menggalak interaksi antara pelajar autistik dengan masyarakat.

Terletak di Sembawang, AHS, yang dibuka pada 3 Oktober, akan menampung 300 pelajar autistik berumur tujuh hingga 18 tahun di kampus seluas 13,500 meter persegi (sqm).

Sebelum berpindah ke kampus baru itu pada Mac 2023, pelajar belajar di tapak sementara di Marsiling Lane yang sebelum ini diduduki oleh Sekolah Menengah Si Ling dari 2018.

Dalam tempoh 10 minggu, pelajar dalam program itu akan mengambil bahagian dalam latihan selepas sekolah dan tinggal di kediaman itu, bermalam sebanyak tiga kali.

Bagi latihan selepas sekolah, mereka akan membeli makan tengah hari, mandi, melakukan kerja rumah seperti membersihkan rumah menggunakan pembersih vakum, melipat dan membasuh pakaian, serta menyediakan makanan ringkas.

Mereka juga akan dibimbing oleh pembimbing kehidupan (life coach) yang akan melawat rumah pelajar berkenaan untuk memahami rutin rumah mereka dan kemahiran hidup harian yang memerlukan sokongan.

Perunding Kanan di RC, Cik Fauziah Ahmad, menekankan peranan ibu bapa dalam memastikan keberkesanan program berasrama itu.

“Selama 10 minggu ini, kami akan memulakan dengan latihan di rumah untuk ibu bapa dan menyusun pelan kehidupan pelajar itu bersama ibu bapa mereka.

“Ini adalah untuk mengenal pasti kemahiran tertentu yang kami ingin ajar kepada pelajar.

“Justeru, komponen penting dalam Good Life Boarding ini adalah kerjasama rapat dengan ibu bapa.

“Ia sangat penting kerana ibu bapa perlu komited dan bersedia memberi peluang untuk latihan di rumah,” ujar beliau.

Sejumlah tujuh pelajar telah mengambil bahagian dalam program tersebut sejak ia bermula pada Mac 2024.

Selain itu, pelajar juga boleh menikmati kemudahan lain di sekolah itu termasuk ruang persiapan latihan perjalanan yang dilengkapi dengan lampu isyarat, mesin tambah nilai kad ez-link dan replika dalaman bas dan kabin MRT.

Terdapat juga ruang untuk melatih pelajar dalam kemahiran latihan amali seperti pembungkusan, logistik dan rumah hijau untuk menanam sayur-sayuran.

Untuk suasana bilik darjah pula, pelajar akan berada di ‘tapak pembelajaran’ yang menampilkan kawasan umum.

Pelajar boleh berinteraksi dengan rakan mereka daripada kelas lain dan guru untuk menjalankan kegiatan bersama.

Setiap tapak pembelajaran tersebut disertakan dengan bilik tenang (calm room) dengan dinding berkusyen, menawarkan ruang selamat bagi mereka yang cenderung memukul diri sendiri atau orang lain sekiranya mereka marah.

Mengulas tentang kedudukan Sekolah Admiral Hill dalam landskap pendidikan khas di Singapura, Pengarah Eksekutif di RC, Cik Tan Sze Wee, berkongsi bahawa sekolah itu sengaja diletakkan sebagai platform yang “mendidik pelajar untuk penyertaan yang lebih baik dalam masyarakat”.

“Dengan pengalaman 24 tahun dalam sektor pendidikan khas, saya percaya kita perlu merancang ruang pembelajaran yang melampaui bilik darjah.

“Sekolah-sekolah khas sering mengumpulkan pelajar berdasarkan keupayaan mereka, tetapi pendekatan ini boleh menyekat peluang penglibatan.

“Oleh itu, sekolah harus berfungsi sebagai jambatan yang menghubungkan pelajar dengan masyarakat untuk mencipta pengalaman yang lebih inklusif,” ujar beliau.

Dalam pada itu, pelancaran sekolah Sped ketiga RC ini diwujudkan dengan ekoran peningkatan bilangan kanak-kanak dengan keperluan pembelajaran di Singapura.

Menurut angka terbaru Kementerian Kesihatan (MOH), lebih 7,000 kanak-kanak berumur enam tahun ke bawah didiagnos dengan masalah perkembangan pada 2023, meningkat 32 peratus dari 5,300 pada 2019.

Daripada jumlah tersebut, kira-kira 20 peratus mempunyai autisme.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg