Topik diikuti
Pergi ke BHkuCara adakan perbualan terbuka, jujur dengan anak tentang dadah
Cara adakan perbualan terbuka, jujur dengan anak tentang dadah
Cara adakan perbualan terbuka, jujur dengan anak tentang dadah
Pada 2025, seorang kanak-kanak berumur 12 tahun menjadi penagih dadah paling muda yang diberkas tahun itu.
Dengan separuh penyalah guna dadah baru yang ditangkap pada 2025 berusia bawah 30 tahun, masalah dadah dalam kalangan belia kekal menjadi keprihatinan.
Ibu bapa memainkan peranan yang amat penting dalam membentuk sikap anak-anak terhadap dadah. Malah, Tinjauan Persepsi Dadah Kebangsaan 2025 melaporkan bahawa dalam kalangan belia yang pernah berbual dengan ibu bapa mereka mengenai dadah, 94.2 peratus menyatakan bahawa perbualan tersebut membantu menghalang mereka daripada menyalahgunakan dadah.
Namun begitu, ramai ibu bapa masih teragak-agak untuk memulakan perbualan itu kerana bimbang akan tersalah cakap atau merasakan mereka tidak mempunyai pengetahuan yang mencukupi tentang topik tersebut. Hampir dua daripada lima belia melaporkan bahawa ibu bapa atau penjaga mereka tidak pernah berbincang dengan mereka tentang bahaya dadah.
Anggota Majlis Mencegah Penyalahgunaan Dadah Kebangsaan (NCADA) Singapura, Encik Ahmad Firdaus Daud, yang hampir sedekad terlibat dalam usaha memperkukuh daya tahan belia terhadap penyalahgunaan dadah, berkongsi cara ibu bapa boleh memulakan perbincangan dengan anak-anak tentang bahaya dadah.
Bahaya pendedahan awal kepada kandungan berkaitan dadah
Golongan muda hari ini terdedah kepada kandungan berkaitan dadah jauh sebelum mereka berhadapan dengannya dalam kehidupan sebenar.
Melalui media sosial, platform penstriman, muzik, filem dan masyarakat dalam talian, mereka kerap melihat rujukan kepada dadah yang dikaitkan dengan keseronokan, kebebasan, persahabatan, kejayaan atau ekspresi diri.
Apa yang membimbangkan saya bukanlah satu kandungan tertentu, tetapi kesan kumulatif daripada pendedahan yang berulang kali.
Lama-kelamaan, golongan muda mungkin mula melihat penggunaan dadah sebagai sesuatu yang normal, biasa atau tidak begitu berbahaya.
Mereka juga mungkin membentuk salah tanggapan bahawa jika sesuatu itu sah di sisi undang-undang atau diterima masyarakat di luar negara, maka ia semestinya selamat.
Hakikatnya, sah di sisi undang-undang tidak semestinya bermaksud selamat.
Apabila mereka akhirnya berdepan dengan situasi sebenar yang melibatkan dadah, sikap dan pandangan mereka mungkin telah dipengaruhi oleh pendedahan dan mesej tidak langsung selama bertahun-tahun.
Sebagai seorang ibu bapa dan individu yang bekerja rapat dengan golongan muda, saya berpendapat penting untuk membantu mereka memahami bahawa media sosial dan kandungan hiburan sering hanya memaparkan gambaran yang sangat selektif.
Ia jarang menunjukkan ketagihan, hubungan yang rosak, masalah kesihatan mental dan kesan jangka panjang yang sering berlaku akibat penyalahgunaan dadah.
Perbezaan cabaran dadah dahulu, hari ini
Bagi generasi terdahulu, pendedahan pertama seorang kanak-kanak kepada dadah selalunya berlaku secara fizikal.
Ia mungkin melalui rakan, adik-beradik yang lebih tua atau seseorang di kawasan kejiranan.
Hari ini, pendedahan pertama sering berlaku secara digital.
Seorang remaja mungkin menemui perbualan tentang ganja atau penggunaan dadah rekreasi dalam talian bertahun-tahun sebelum mereka berdepan dengan dadah secara langsung.
Ini menjadikan cabaran yang dihadapi ibu bapa jauh berbeza.
Ibu bapa hari ini bukan sahaja membantu anak-anak menjauhi dadah. Mereka juga membantu anak-anak menavigasi aliran maklumat, pandangan dan pengaruh yang berterusan dalam dunia digital.
Platform pemesejan dan saluran dalam talian yang disulitkan juga berpotensi menjadikan dadah lebih mudah diperoleh.
Tanda-tanda awal yang biasa diperhatikan oleh ibu bapa kini semakin sukar dikesan.
Oleh itu, usaha pencegahan perlu bermula lebih awal melalui perbualan yang berterusan, bukan hanya apabila timbul kebimbangan.
Buat anak rasa didengari, bukan dikritik
Ramai ibu bapa teragak-agak untuk bercakap tentang dadah kerana mereka bimbang tersalah cakap, merasakan mereka tidak tahu secukupnya tentang topik tersebut, atau beranggapan anak-anak mereka masih terlalu muda.
Hakikatnya, ibu bapa tidak perlu menjadi pakar dalam isu penyalahgunaan dadah atau mengetahui setiap trend baru untuk mengadakan perbualan yang bermakna.
Apa yang sering dihargai oleh anak-anak ialah mengetahui bahawa mereka boleh mendekati ibu bapa secara terbuka dan jujur tanpa takut dihakimi.
Berdasarkan kajian dan pengalaman saya bekerja dengan golongan muda dalam usaha menentang penyalahgunaan dadah, belia yang akhirnya mengambil dadah sering memberikan pelbagai sebab mengapa mereka bermula:
(1) mereka ingin tahu tentang dadah dan telah menjadi kurang peka terhadap bahayanya;
(2) mereka dipengaruhi oleh tekanan rakan sebaya untuk mencuba dadah; dan
(3) akibat tekanan atau kebimbangan, serta kurang pengetahuan, mereka merasakan perlu mencuba dadah sebagai mekanisme untuk mengatasi masalah.
Oleh itu, satu pendekatan yang membantu ialah memulakan perbualan dengan empati dan bukannya memberi syarahan atau mencari kesalahan.
Daripada terus memberi amaran tentang bahaya dadah, ibu bapa boleh bermula dengan mengakui bahawa anak mereka mungkin telah membentuk salah tanggapan tentang dadah melalui media sosial, kandungan hiburan atau perbincangan bersama rakan-rakan, atau bahawa mereka mungkin sedang bergelut dengan tekanan rakan sebaya, tekanan hidup atau kebimbangan.
Ibu bapa boleh mengemukakan soalan terbuka seperti, “Apa yang kamu pernah dengar tentang dadah di Internet?” atau “Apa yang kawan-kawan kamu di sekolah katakan tentang perkara ini?” atau “Bagaimana kamu menghadapi tekanan kebelakangan ini?”.
Pendekatan ini mewujudkan perbualan dua hala yang membantu ibu bapa memahami dengan lebih baik apa yang dilihat dan didengar oleh anak-anak mereka, sambil membuatkan anak-anak berasa didengari dan bukannya dikritik.
Ia juga membolehkan ibu bapa membetulkan salah tanggapan dengan cara yang lebih relevan kepada pengalaman anak mereka.
Bila masa terbaik berbincang tentang dadah?
Perbualan seperti ini perlu bermula lebih awal daripada yang disangka oleh ramai ibu bapa.
Bagi kanak-kanak yang lebih muda, perbincangan itu tidak perlu tertumpu secara khusus kepada dadah.
Ia boleh berkisar tentang membuat pilihan yang sihat, menjaga keselamatan diri dan memahami bahawa sesetengah bahan boleh memudaratkan tubuh badan.
Apabila anak-anak semakin membesar, perbualan tersebut juga perlu berkembang.
Remaja mungkin berdepan tekanan rakan sebaya, perjalanan ke luar negara dan pendedahan kepada pelbagai pandangan tentang dadah di dalam talian.
Belia yang lebih dewasa pula boleh terlibat dalam perbincangan yang lebih mendalam mengenai tanggungjawab peribadi, akibat sesuatu tindakan dan proses membuat keputusan.
Matlamatnya bukanlah satu perbualan sahaja. Sebaliknya, ia adalah perbualan yang berterusan dan berkembang mengikut usia anak.
Perbualan tentang dadah boleh timbulkan rasa ingin tahu, galak percubaan?
Tiada bukti bahawa perbualan yang sesuai mengikut usia tentang dadah menggalakkan percubaan.
Malah, keadaan yang sebaliknya lebih kerap berlaku.
Apabila ibu bapa memberikan maklumat yang tepat dan mengekalkan komunikasi yang terbuka, anak-anak kurang cenderung untuk bergantung kepada maklumat yang salah daripada rakan sebaya atau media sosial.
Perasaan ingin tahu adalah sesuatu yang semula jadi. Persoalannya ialah sama ada anak-anak memenuhi rasa ingin tahu itu melalui perbualan yang dipercayai bersama ibu bapa atau melalui sumber yang tidak boleh dipercayai di dalam talian.
Bagaimana kalau anak timbul rasa ingin tahu tentang dadah?
Perkara paling penting ialah kekal tenang.
Dalam banyak keadaan, anak itu sudah mengetahui bahawa dadah menyalahi undang-undang dan berpotensi memudaratkan.
Rasa ingin tahu mereka selalunya bukan mengenai aspek undang-undang, tetapi untuk memahami apa yang mereka lihat, dengar atau diberitahu.
Apabila seorang anak membangkitkan topik ini, ia sering menjadi tanda bahawa mereka mempercayai ibu bapa mereka untuk membincangkan sesuatu yang mereka rasa mengelirukan atau membimbangkan.
Jika respons yang diberikan ialah kemarahan, panik atau terkejut, mereka mungkin kurang rela untuk membincangkan topik sukar pada masa hadapan.
Saya menggalakkan ibu bapa untuk berterima kasih kepada anak kerana membangkitkan perkara tersebut, bertanya soalan untuk memahami apa yang telah mereka dengar dan apa yang sedang mereka fikirkan.
Cuba memahami terlebih dahulu sebelum memberikan panduan yang tepat dan sesuai mengikut usia. Objektifnya ialah memastikan perbualan terus terbuka, bukannya menamatkannya.
Bagaimana mulakan perbualan tentang dadah?
Antara perbualan yang terbaik ialah yang berlaku secara semula jadi.
Laporan berita, filem, kiriman media sosial atau sesuatu yang dilihat semasa bercuti di luar negara boleh menjadi titik permulaan yang berguna.
Ibu bapa tidak perlu mengadakan sesi perbincangan rasmi dengan anak.
Soalan mudah seperti, “Apa pendapat kamu tentang perkara itu?” atau “Pernahkah kamu dengar orang bercakap tentang perkara ini sebelum ini?” boleh membuka ruang kepada perbualan yang bermakna.
Berdasarkan pengalaman saya, kepercayaan dibina melalui banyak perbualan kecil yang berlaku dari masa ke semasa, bukannya satu perbualan besar.
Ibu bapa tidak perlu menjadi sempurna. Mereka hanya perlu sentiasa hadir.
Faktor perlindungan yang paling kuat selalunya ialah hubungan ibu bapa dan anak yang kukuh, dibina atas kepercayaan, komunikasi dan nilai yang dikongsi bersama.
Anak-anak yang tahu mereka boleh mendapatkan panduan daripada ibu bapa biasanya lebih bersedia untuk menghadapi situasi sukar dan tekanan dari luar.
Perbualan itu tidak perlu sempurna. Yang penting, ia berlaku.
Sumber, sokongan sedia ada untuk ibu bapa
Ibu bapa perlu tahu bahawa mereka tidak perlu melakukan perbualan ini bersendirian.
Hampir sedekad melalui kerja saya bersama NCADA, antara keutamaan utama kami ialah menyokong keluarga dan memperkukuhkan pendidikan pencegahan dadah.
Saya telah melihat sendiri peranan penting yang dimainkan oleh ibu bapa dalam usaha pencegahan, dan kami bekerjasama rapat dengan Biro Narkotik Pusat (CNB), sekolah-sekolah dan rakan masyarakat untuk menyediakan sumber serta panduan praktikal kepada ibu bapa mengenai cara mengadakan perbualan yang sesuai mengikut usia tentang dadah.
Ibu bapa boleh memanfaatkan sumber daripada NCADA dan CNB, serta bahan yang dikongsi melalui sekolah, termasuk aplikasi ‘Parents Gateway’ Kementerian Pendidikan (MOE), yang melengkapi pendidikan pencegahan dadah yang diterima oleh anak-anak di sekolah.
Selain itu, NCADA terus bekerjasama dengan rakan seperti Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS) untuk membangunkan sumber yang melengkapkan ibu bapa dengan panduan dan sokongan praktikal bagi mengadakan perbualan seperti ini di rumah.
Yang penting ialah memulakan perbualan lebih awal, mengekalkan saluran komunikasi yang terbuka dan tidak menunggu sehingga timbul masalah sebelum mengadakan perbualan tersebut.
