Sedang pemerintah berusaha gigih menangani masalah vape yang turut menjejas belia dan remaja, secara menyeluruh, ibu bapa turut memainkan peranan penting dalam membantu mencegahnya.

Ibu bapa boleh berbual tentang vape bersama anak dengan cara santai dan sesuai dengan peringkat umur, sebelum anak-anak terpengaruh dengan salah tanggapan tentang vape.

Dalam wawancara bersama Berita Harian (BH), Ketua Pekerja Sosial di Pusat Khidmat Keluarga Allkin @ Cheng San 445, Cik Lim Hui Wen, berkata ibu bapa selalu bertanya tentang bilakah masa sesuai untuk bercakap tentang vape bersama anak.

“Ibu bapa bertanya apakah mereka perlu memperkenalkan anak kepada vape, atau apakah mereka perlu tunggu hingga pendedahan pada vape berlaku?

“Saya rasa, ibu bapa boleh bercakap tentang vape apabila anak mereka berada di peringkat sekolah rendah atas atau di peringkat sekolah menengah rendah.

“Itulah masanya anak lebih mudah terdedah kepada pengaruh rakan sebaya.

“Mereka mungkin melihat penggunaan vape di sekolah, dalam talian atau tempat awam.

“Di peringkat umur itu juga kawan-kawan mula menjadi penting untuk mereka.

“Jadi adalah baik untuk ibu bapa memulakan perbualan itu awal agar anak mendengar dan memahami kenyataan tentang vape sebelum salah tanggapan terbentuk,” kata Cik Lim.

Antara lain, ibu bapa boleh menanyakan soalan secara santai kepada anak, seperti, “Pernahkah kamu melihat kawan-kawan kamu, atau orang di sekeliling kamu, menggunakan vape?” atau “Apakah yang kamu tahu tentang vape? Kamu ada apa-apa soalan tentangnya?”.

Cik Lim mengesyorkan agar ibu bapa memberi tumpuan kepada fakta dan elak daripada berasa cemas dan membuat tuduhan.

“Ada ibu bapa yang agak risau dan mereka terus bertanya apakah anak mereka mengikut kawan-kawan menggunakan vape.

“Atau mereka terus melarang anak-anak mereka daripada berkawan dengan kawan-kawan yang menggunakan vape.

“Sebaik-baiknya, ibu bapa bertanya soalan dan menunjukkan keprihatinan daripada sudut yang neutral, tanpa menuduh dan menghakimi.

“Cuba tanya tentang apakah yang biasa berlaku dalam kumpulan kawan-kawan anak.

“Kemudian ibu bapa boleh perbetulkan tanggapan atau pemahaman tidak tepat yang mereka ada,” tambahnya.

Cik Lim turut berkongsi tentang pentingnya ibu bapa melengkapi anak dengan kemahiran membuat keputusan dan menghuraikan masalah.

“Anak-anak mungkin akan cuba mengambil vape disebabkan pengaruh atau tekanan rakan sebaya.

“Ibu bapa boleh membantu dengan melatih anak-anak untuk bertindak balas dengan betul terhadap tekanan sedemikian,” katanya.

Bagi ibu bapa yang mengesyaki anak mereka mungkin menggunakan vape, Cik Lim menasihatkan agar ibu bapa kekal tenang dan mencari masa sesuai untuk bertanya kepada anak.

Ibu bapa disyorkan memilih perkataan dan nada yang sesuai, serta elak daripada bersemuka dengan anak secara agresif, membuat tuduhan atau membongkar barangan anak.

“Ibu bapa boleh menggunakan fakta dan pengamatan untuk memulakan perbualan.

“Tanyakan soalan yang bersifat terbuka, dan dengarkan apakah yang anak-anak mahu kata serta berusaha memahami daripada sudut pandangan mereka.

“Ini bermakna ibu bapa perlu menjalinkan hubungan dengan anak terlebih dahulu sebelum mendapatkan maklumat.

“Ibu bapa juga boleh bertanya soalan untuk memahami sebab anak mereka menggunakan vape – apakah kerana rasa ingin tahu, pengaruh kawan-kawan atau tekanan yang dialami.

“Selepas itu baru ibu bapa boleh menyasarkan isu itu, berbincang dengan lebih mendalam dan bercakap tentang bagaimana untuk menyokong anak-anak mereka,” katanya.

Cik Lim berpesan kepada ibu bapa pencegahan bermula dengan hubungan.

“Hubungan baik antara ibu bapa dengan anak adalah sangat penting dan membentuk asas kritikal, kerana hubungan perlu dijalin dengan anak sebelum ibu bapa boleh membetulkan mereka.

“Ia bukan mengenai mengawal atau mengehadkan mereka.

“Ia mengenai menjalin hubungan dengan mereka supaya kita boleh membetulkan mereka dan membantu mereka tahu apakah sempadan selamat serta kelakuan dan nilai yang ingin dibentuk dalam diri mereka,” katanya.

Ketua Pekerja Sosial di Pusat Khidmat Keluarga Allkin @ Cheng San 445, Cik Lim Hui Wen.
Ketua Pekerja Sosial di Pusat Khidmat Keluarga Allkin @ Cheng San 445, Cik Lim Hui Wen. - Foto ALLKIN SINGAPORE

Pihak berkuasa Singapura telah mempertingkatkan usaha penguatkuasaan terhadap vape sejak 2025, menyusuli laporan terdapat sebilangan alat tersebut dicampur dengan dadah.

Pada Ogos 2025, Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, berkata sepertiga pengguna vape pada waktu itu berumur bawah 18 tahun.

Pada April, Encik Ong berkata pihak berkuasa sedang memberi perhatian khusus kepada pengguna vape muda yang melakukan kesalahan berulang.

Menurutnya, pihak berkuasa sedar terdapat sekumpulan pengguna vape muda yang ‘degil’, dengan ada di antara mereka ditangkap hingga tiga kali walaupun sedang menjalani proses pemulihan.

Encik Ong berkata pemerintah memberi perhatian khusus itu kerana tidak mahu mereka “terjerumus ke dalam tabiat tersebut, menjadi ketagih dan kemudian merosakkan hidup mereka”.

Pada bulan sama, seorang kanak-kanak berumur 11 tahun didenda kerana menggunakan vape.

Sejak 1 Mei, pengguna vape boleh dikenakan denda hingga $10,000, manakala penjual boleh didenda hingga $200,000 dan dipenjara hingga enam tahun di bawah Akta Kawalan Tembakau dan Alat Pengewap baru.

Ibu bapa boleh mendapatkan panduan tentang vape di pautan berikut: https://bh.sg/panduan