Mendengar tentang kes penderaan kanak-kanak di tempat yang dipercayai seperti pusat jagaan kanak-kanak adalah mimpi ngeri bagi setiap ibu bapa.
Jadi, apakah cara terbaik untuk kita berbincang dengan anak-anak mengenai isu ini, agar mereka berasa lebih selamat dan terlindung?
Meskipun mustahil untuk menghapuskan risiko penderaan sepenuhnya, terdapat cara yang praktikal dan bersesuaian mengikut usia untuk membantu anak mempercayai gerak hati mereka serta berani bersuara.
Perbincangan mengenai topik ini boleh dijalankan secara santai, kerana matlamatnya adalah untuk mengajar anak tentang keselamatan tubuh badan, batasan diri dan kepercayaan, tanpa rasa segan.
Berikut adalah langkah-langkah mudah yang boleh diambil oleh ibu bapa dan penjaga untuk membantu anak memahami topik ini, serta beberapa sumber yang boleh membantu memperkukuh pemahaman mereka.
Ramai antara kita dibesarkan dalam keluarga yang menggunakan gelaran tertentu untuk anggota sulit atau langsung tidak membincangkannya.
Fungsi tubuh yang asas pula sering dianggap memalukan atau dijadikan bahan gurauan.
Namun, apabila kita menunjukkan rasa segan atau bergurau tentang perkara ini, kita secara tidak langsung mengajar anak bahawa topik seperti ini tidak patut dibincangkan.
Sebaliknya, kita perlu bercakap tentang tubuh badan dengan jelas.
Penggunaan istilah yang betul membolehkan kanak-kanak bertanya soalan dan memberitahu orang dewasa yang dipercayai sekiranya mereka berasa tidak selesa atau ada sesuatu yang ‘tidak kena’.
Kita boleh menggunakan waktu rutin seperti ketika mandi atau berpakaian untuk memperkenalkan istilah bagi bahagian tubuh tertentu, sambil menegaskan bahawa itu adalah kawasan peribadi yang perlu dijaga dengan sebaiknya.
Selain itu, penting juga untuk menerangkan kepada anak, dengan cara yang mudah difahami, bahawa ada perkara tertentu yang khusus untuk orang dewasa.
Ini bukan untuk menakut-nakutkan anak, tetapi untuk menetapkan batas yang selamat.
Seperti contoh, ibu bapa boleh mengingatkan anak bahawa “hubungan intim adalah untuk orang dewasa sahaja”.
“Ia bukan untuk kanak-kanak dan tidak pernah dibenarkan bagi orang dewasa atau kanak-kanak lain melibatkan anda dalam perkara sebegitu.”
Jika anda kurang pasti cara untuk memulakan perbincangan, buku kanak-kanak tentang tubuh badan dan sentuhan boleh menjadi panduan yang berguna.
Berikut antara buku dalam Bahasa Inggeris mengenai topik berkenaan yang sesuai untuk kanak-kanak kecil hingga pelajar sekolah rendah:
Antara buku yang sesuai mengikut peringkat umur termasuk My Underpants Rule untuk kanak-kanak tadika dan prasekolah; Respect, Consent, Boundaries and Being in Charge of You untuk murid sekolah rendah; serta Welcome to Your Period bagi kanak-kanak pra-remaja.
Terdapat buku dalam Bahasa Melayu yang boleh dimuat turun dalam format PDF di laman web Pusat Kesedaran Wanita (WCC) di https://www.wccpenang.org/books/.
Antara judulnya ialah Yusri dan Rahsianya, Nina dan Rahsianya, dan Sara Kata ‘Tak Nak’, yang menyentuh isu keselamatan diri dan cara menangani penderaan seksual.
Buku-buku ini sesuai dibaca dan dibincangkan bersama anak berumur 8 hingga 12 tahun.
Kanak-kanak sering diajar supaya beradab dan mengikut arahan orang dewasa.
Meskipun adab itu penting, ia kadangkala boleh menyebabkan mereka tidak mempercayai gerak hati sendiri.
Adalah penting untuk anak tahu bahawa mereka berkuasa ke atas tubuh badan sendiri dan berhak menentukan apa yang berlaku ke atas diri mereka.
Ini mengukuhkan mesej bahawa hak tubuh mereka penting, justeru mereka tidak perlu memeluk, mencium atau menyentuh sesiapa pun jika mereka tidak selesa, termasuk anggota keluarga terdekat.
Ibu bapa boleh menawarkan alternatif seperti memberi ‘high five’, melambai, atau hanya mengucapkan ‘hai’.
Apabila kita mempercayai anak kita, ia membantu mereka belajar untuk mempercayai diri sendiri.
Galakkan mereka untuk dengar gerak hati sendiri dan apabila sesuatu perkara rasa ‘tidak kena’.
Beri mereka jaminan dengan kata-kata seperti: “Kalau ada sesiapa yang buat kamu rasa tidak sedap hati atau pelik, kamu boleh beritahu ibu/ayah, walaupun orang itu suruh rahsiakan. Ibu/Ayah akan sentiasa dengar dan percaya cakap kamu.”
Ini membantu membina keberanian untuk anak bersuara apabila sesuatu tidak kena berlaku ke atas diri mereka.
Paling penting, ia menyampaikan mesej bahawa orang dewasa akan mendengar, percaya, dan akan melindungi mereka.
Sejak kecil, kanak-kanak perlu diajar bahawa orang dewasa yang boleh dipercayai tidak akan meminta mereka menyimpan rahsia.
Begitu juga, terdapat perbezaan antara rahsia dengan kejutan.
Kejutan biasanya menyeronokkan dan bersifat sementara, seperti merahsiakan hadiah hari lahir yang akan diberikan pada hari tersebut.
Rahsia pula melibatkan sesuatu yang perlu disembunyikan untuk tempoh yang lama, dan boleh menyebabkan seseorang berasa takut, sedih atau tertekan.
Penting untuk memberitahu anak perkara seperti: “Anda boleh cerita apa saja pada ibu/bapa. Anda takkan dimarahi, walaupun ada orang dewasa yang suruh rahsiakan.”
Kadangkala, kanak-kanak tidak tahu cara untuk meluahkan apa yang berlaku atau terlalu takut untuk bersuara.
Malah, terdapat kanak-kanak yang hanya benar-benar memahami situasi yang telah terjadi ke atas diri mereka apabila mereka menginjak dewasa.
Salah satu cara untuk membuatkan anak rasa dilindungi adalah mengingatkan mereka bahawa tidak pernah terlalu lewat untuk berkongsi dengan ibu bapa jika ada perkara yang merisaukan mereka.
Jika anak memberitahu sesuatu yang telah berlaku pada masa lalu, kekal tenang, dengar dengan penuh perhatian dan ucapkan terima kasih kerana mempercayai anda.
Sekiranya anak anda berkongsi sesuatu yang membimbangkan:
Dapatkan bantuan profesional jika perlu, sama ada dengan berjumpa doktor, menghubungi talian perlindungan kanak-kanak, atau berbincang dengan pakar kesihatan mental yang dipercayai.
Namun, tidak semua kanak-kanak akan bercakap secara langsung tentang penderaan, justeru penting untuk memperhatikan beberapa petanda.
Ini termasuk perubahan mendadak dalam tingkah laku, penggunaan bahasa yang terlalu ‘matang’, ketakutan terhadap orang tertentu atau tempat tertentu dan perubahan tabiat seperti kencing malam atau mimpi buruk.
Tanda-tanda ini tidak semestinya bermakna penderaan berlaku, tetapi ia isyarat untuk bertanya secara lembut dan terbuka serta dapatkan bantuan jika perlu.
Anda tidak perlu melakukan semua ini dengan sempurna.
Perbualan ringkas yang diulang dari semasa ke semasa sudah memadai untuk membantu melindungi anak dan meyakinkan mereka bahawa anda sentiasa ada untuk mendengar.
Penulis ialah pakar psikologi klinikal bertauliah dan Profesor Madya dalam bidang Psikologi di Universiti Deakin, Australia. Artikel ini kali pertama disiarkan di ‘The Conversation’, sebuah laman yang menerbitkan artikel berdasarkan penyelidikan dan pandangan pakar.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg