Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Komunikasi terbuka perlu seiring kawalan ibu bapa kendali peranti teknologi anak

Bantu anak bina daya tahan, kurangi risiko hadapi kesan negatif, bahaya dalam talian
Jul 10, 2025 | 5:30 AM
Komunikasi terbuka antara ibu bapa dengan anak mengenai topik keselamatan memupuk kepercayaan, yang meningkatkan kemungkinan anak akan meminta bantuan ibu bapa apabila sesuatu yang berbahaya berlaku, kata penulis.
Komunikasi terbuka antara ibu bapa dengan anak mengenai topik keselamatan memupuk kepercayaan, yang meningkatkan kemungkinan anak akan meminta bantuan ibu bapa apabila sesuatu yang berbahaya berlaku, kata penulis. - Foto ISTOCKPHOTO

Keibubapaan dalam era digital boleh membawa tekanan dan menuntut banyak perkara daripada ibu bapa.

Institut Keselamatan Dalam Talian Keluarga (Fosi) yang berpangkalan di Amerika Syarikat, baru-baru ini mengeluarkan hasil Tinjauan Keselamatan Dalam Talian tahunan.

Ia mendapati hampir 50 peratus ibu bapa yang ditinjau tidak menggunakan kawalan ibu bapa untuk menguruskan peranti anak mereka.

Ini adalah peralatan yang boleh membantu ibu bapa menapis kandungan tidak sesuai atau interaksi tidak diingini pada peranti anak mereka.

Pengarang Fosi menyimpulkan sebab mengapa ibu bapa tidak menggunakan alatan tersebut adalah kerana mereka berasa “terbeban”.

Beliau mngesyorkan ibu bapa mendidik diri sebagai langkah pertama yang baik ke arah penggunaan lebih luas.

Sedang rasa terbeban adalah perkara nyata, kami mengemukakan bahawa masalah yang lebih besar dengan kawalan ibu bapa ialah cara ia direka bentuk.

Ini termasuk betapa sedikitnya perhatian diberikan untuk menyokong komunikasi terbuka antara ibu bapa dengan anak-anak.

Setahun sekali selama tiga tahun sebelum ini, kami telah bertanya kepada 33 kanak-kanak yang sama (pada mulanya berumur enam hingga 12 tahun) tentang pendapat mereka terhadap penilaian kandungan, keselamatan dalam talian, permainan berbayar dan isu privasi.

Gabungan kepakaran pasukan kami dalam komunikasi, pendidikan, dasar dan kajian permainan menganalisis jawapan mereka.

Kami juga bertanya ibu bapa mereka bagaimana mereka menjadi pengantara bagi permainan anak-anak mereka.

Hampir separuh daripada mereka tidak menggunakan kawalan ibu bapa.

Mereka berkata kawalan ibu bapa tidak selalu berfungsi seperti yang dijanjikan, menawarkan sedikit konteks tentang bagaimana tetapan mempengaruhi permainan dan memaksa pilihan yang tidak selaras dengan peraturan isi rumah atau dengan tahap kematangan kanak-kanak.

Ibu bapa yang kami tanya berkata mereka bukannya mengelak kawalan ibu bapa kerana mereka berasa terbeban dengannya, tetapi kerana reka bentuk alat itu disifatkan kurang baik.

Kawalan boleh timbulkan lebih banyak masalah

Pada masa sama, ramai ibu bapa menggambarkan diri mereka sebagai sangat terlibat dalam permainan anak mereka; bercakap dengan anak mereka dengan kerap atau menggalakkan permainan dalam ruang yang dikongsi dan dipantau.

Sebahagian ibu bapa berkata mereka memilih untuk mempercayai anak mereka daripada menetapkan had yang mereka tentukan.

Dapatan kami sejajar dengan kajian terdahulu mengenai keibubapaan digital.

Dalam satu kajian di Britain, ibu bapa berpendapat meskipun beberapa kawalan membawa manfaat, sebahagian daripadanya pula membawa lebih banyak masalah ekoran reka bentuknya.

Penggunaan kawalan ibu bapa tidak semestinya bermakna terdapat peningkatan dalam keselamatan kanak-kanak.

Malah, menggunakan kawalan ibu bapa boleh mewujudkan hubungan yang terputus antara ibu bapa dengan anak mengenai isu keselamatan utama.

Kesedaran tentang risiko

Seramai enam kanak-kanak yang kami temu bual tidak menyedari ibu bapa mereka menggunakan kawalan.

Sekurang-kurangnya dua kanak-kanak mendedahkan mereka tidak tahu mengapa ibu bapa akan menggunakan kawalan sebegitu.

Dalam konteks ini, usaha ibu bapa untuk melindungi anak mereka mempunyai kesan sampingan iaitu mengaburkan pengetahuan penting.

Ia menyebabkan anak tidak menyedari beberapa risiko utama berkaitan dengan bermain permainan dalam talian.

Kawalan ibu bapa boleh melepaskan peluang untuk mengajar anak tentang keselamatan.

Kami percaya bahawa perlindungan di sebalik tabir boleh menjejas komunikasi ibu bapa dan anak tentang keselamatan dalam talian.

Apakah risikonya? Bagaimanakah kanak-kanak boleh mengelakkan tingkah laku yang tidak sepatutnya?

Apakah yang perlu mereka lakukan apabila atau jika mereka menghadapi bahaya?

Sementara itu, ibu bapa biasanya, tidak begitu arif dengan ciri dan kegiatan yang sekat atau benarkan.

Sangat sedikit kawalan ibu bapa mengandungi maklumat tentang bagaimana permainan akan dipengaruhi oleh tetapan (settings) mereka.

Banyak yang mengandungi istilah yang hanya difahami oleh seseorang yang biasa dengan permainan itu, manakala yang lain sukar difahami.

Semua itu boleh menyebabkan salah tafsir dan konflik antara ibu bapa dengan anak, menjadikan alat tersebut lebih sukar digunakan.

Kuasa komunikasi

Komunikasi terbuka antara ibu bapa dengan anak mengenai topik keselamatan memupuk kepercayaan.

Ia meningkatkan kemungkinan anak akan meminta bantuan ibu bapa mereka apabila sesuatu yang berbahaya berlaku.

Dalam masa yang sama, ia membolehkan kanak-kanak membina daya tahan, sekali gus mengurangkan risiko bahaya ekoran kejadian dalam talian yang negatif.

Kajian turut mencadangkan bahawa komunikasi ibu bapa dan anak mungkin lebih berkesan dalam membantu mengelakkan bahaya berbanding sekatan yang disediakan oleh kawalan ibu bapa.

Pentingnya komunikasi terbuka juga ditekankan dalam laporan Fosi.

Dalam isi rumah yang menyaksikan perbualan tentang keselamatan dalam talian berlaku secara kerap (enam kali atau lebih setahun), ibu bapa dan anak lebih berkemungkinan melihat kawalan ibu bapa sebagai alat yang berguna dan berharga demi keselamatan dalam talian.

Penulis membuat kesimpulan, “menyokong pandangan bahawa keselamatan dalam talian adalah usaha sama berbanding satu keutamaan yang diletakkan oleh ibu bapa ke atas anak mereka”.

Kami sangat bersetuju dengan perkara ini.

Keluarga akan meraih manfaat dengan menjadikan kawalan ibu bapa dan tetapan keselamatan sebagai urusan keluarga.

Kanak-kanak dan ibu bapa perlu banyak belajar daripada satu sama lain tentang dunia digital.

Usaha meninjau semula sistem ini bersama-sama boleh membuka laluan yang sangat diperlukan iaitu perbualan penting tentang risiko, keselamatan dan perkara yang kanak-kanak dapati bermakna tentang permainan digital.

Fikirkan semula alat keselamatan

Banyak kawalan ibu bapa mengandungi kekurangan dan had reka bentuk yang serius.

Sangat sedikit yang secara menyeluruh menangani keperluan dan kebimbangan kanak-kanak atau ibu bapa mereka.

Memandangkan penggubal undang-undang sedang mula menjadikan kawalan ibu bapa sebagai bahagian wajib dalam perundangan keselamatan kanak-kanak, kita perlu mula melihat dengan lebih dekat dan terperinci tentang perkara yang boleh dan tidak boleh mereka lakukan.

Kawalan ibu bapa boleh menjadi alat berguna apabila ia direka bentuk dengan baik, digunakan dengan ketelusan.

Ia memberi keluarga pilihan yang mencukupi supaya bukan sahaja sesuai, malah memupuk peraturan isi rumah dan komunikasi terbuka.

Terdapat banyak usaha yang perlu dilakukan sebelum ia menjadi standard.

Terdapat juga dorongan yang semakin meningkat untuk syarikat permainan dan teknologi lain mewujudkannya.

Sara M. Grimes ialah Profesor Jabatan Pengajian Komunikasi dan Sejarah Seni di Universiti McGill di Canada sementara Riley McNair ialah calon Doktor Falsafah (PhD) dalam Pengajian Maklumat di Universiti Toronto. Artikel ini kali pertama diterbitkan dalam, ‘The Conversation’, iaitu penerbit berita dan analisis berasas penyelidikan yang terkemuka di dunia.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg