Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Cara ibu bapa galak hubungan positif adik-beradik

Ibu bapa main peranan penting bina asas hubungan positif sepanjang hayat
Sep 11, 2025 | 5:30 AM
DNA, Dunia Anak, parenting, adik-beradik, siblings
Salah satu cara ibu bapa boleh menggalakkan hubungan positif antara anak-anak mereka adalah dengan mengiktiraf kekuatan individu setiap anak dan mengelakkan persaingan tidak sihat antara adik-beradik. - Foto ADOBE STOCK

Hubungan antara adik-beradik merupakan antara hubungan yang paling lama dalam hidup seseorang.

Ini kerana adik-beradik sering membesar bersama dan berkongsi sejarah keluarga.

Semasa zaman kanak-kanak, seseorang menghabiskan lebih banyak masa dengan adik-beradik mereka berbanding sesiapa sahaja, termasuk ibu bapa mereka.

Satu kajian mendapati mutu hubungan adik-beradik semasa remaja adalah salah satu peramal terkuat terhadap kesejahteraan pada usia 65 tahun.

Hubungan adik-beradik berubah mengikut peringkat umur.

Semasa zaman kanak-kanak, ibu bapa memainkan peranan penting, meletakkan asas agar hubungan adik-beradik kekal positif sepanjang hayat.

Hubungan adik-beradik dan perkembangan kanak-kanak

Hubungan adik-beradik bukan sahaja unik, malah ia memainkan peranan penting dalam perkembangan kanak-kanak.

Kanak-kanak yang mempunyai adik-beradik cenderung untuk menjalin hubungan yang lebih baik dengan rakan sebaya, terlibat dalam permainan kreatif dan mempunyai tahap empati yang lebih tinggi serta pemahaman lebih baik tentang fikiran dan perasaan orang lain.

Mereka sering membangunkan kemahiran sosial lebih awal berbanding kanak-kanak tanpa adik-beradik.

Ia dapat membantu mereka membina persahabatan apabila memulakan sekolah.

Beberapa kajian menunjukkan hubungan adik-beradik yang positif turut memainkan peranan sebagai faktor pelindung semasa menghadapi masa sukar, seperti tekanan hidup yang tinggi dan konflik perkahwinan antara ibu bapa.

Tidak mengejutkan adik-beradik boleh memberi kesan besar terhadap perkembangan individu.

Sebagai contoh, kanak-kanak mungkin menyesuaikan personaliti mereka untuk mengelakkan konflik dan persaingan dengan adik-beradik.

Konflik dan persaingan adik-beradik

Semasa kecil, hubungan adik-beradik sering penuh persaingan.

Pada zaman remaja, hubungan adik-beradik cenderung menjauh apabila mereka meneroka hubungan baru dengan rakan sebaya dan mengenal pasti identiti sendiri.

Konflik antara adik-beradik agak biasa dan dalam sesetengah keadaan, ia sebenarnya baik untuk perkembangan kanak-kanak.

Hubungan adik-beradik menawarkan konteks unik untuk kanak-kanak menyelesaikan konflik.

Tidak seperti hubungan persahabatan, hubungan adik-beradik tidak boleh berakhir begitu sahaja selepas pertengkaran.

Melalui pengalaman menyelesaikan konflik dengan adik-beradik, kanak-kanak dapat mempelajari kemahiran berharga seperti memahami perspektif orang lain, membangun sikap empati, meningkatkan kemahiran mendengar, menetapkan batasan, dan mempertahankan kepentingan diri.

Adalah normal untuk adik-beradik berasa adanya persaingan.

Tetapi apabila ia menjadi ciri dominan dalam hubungan, ia boleh mencipta persekitaran negatif.

Secara khusus, kanak-kanak boleh menjadi cemburu dan mula menyimpan rasa tidak suka terhadap adik-beradik apabila mereka berasa perlu bersaing untuk mendapat perhatian dan pengiktirafan ibu bapa.

Cara tangani konflik adik-beradik

Walaupun kebanyakan ibu bapa mengatakan mereka tidak memilih kasih antara adik-beradik, sehingga 85 peratus kanak-kanak percaya ibu bapa mereka mempunyai anak kesayangan.

Salah satu peramal terbesar konflik antara adik-beradik ialah layanan berbeza oleh ibu bapa, termasuk perbezaan yang dirasai dalam cara mendidik.

Ini bermakna walaupun ibu bapa percaya mereka melayan semua anak secara sama rata, seorang anak biasanya berasa dirinya dilayan secara berbeza.

Sebagai contoh, jika terdapat dua anak berlari di rumah pada masa berbeza dan salah satu daripada mereka menerima hukuman, manakala seorang lagi tidak dibenarkan menghadiri majlis hari jadi rakan, anak yang kedua mungkin berasa ia tidak adil, dan menimbulkan ketegangan dalam hubungan adik-beradik.

Ibu bapa perlu berusaha seadil mungkin dengan memastikan hukuman tekal bagi kesalahan serupa dalam kalangan adik-beradik.

Satu lagi faktor penting ialah ibu bapa perlu mengiktiraf kekuatan setiap anak dan mengelakkan persaingan tidak sihat antara adik-beradik.

Sebagai contoh, jika seorang anak cemerlang dalam matematik dan seorang lagi cemerlang dalam sains, hargai kemampuan masing-masing dan elakkan membandingkan kekuatan seorang dengan kelemahan yang lain.

Galak hubungan positif

Dengan melaksanakan strategi ini, ibu bapa boleh membantu membina hubungan adik-beradik yang kukuh, positif dan menyokong, yang boleh menyumbang kepada kesejahteraan mereka sepanjang hayat.

1) Pilih kegiatan yang semua adik-beradik boleh nikmati bersama.

2) Hargai apabila adik-beradik saling menyokong, bekerjasama dan membantu antara satu sama lain.

3) Tonjolkan kekuatan unik setiap adik-beradik dalam kegiatan berpasukan.

4) Bantu anak mengenal pasti dan memproses emosi semasa menghadapi keadaan sukar.

5) Ajar anak cara agar berkongsi perasaan sendiri dan memahami serta menghormati perasaan adik-beradik.

6) Tangani tingkah laku negatif terhadap adik-beradik.

7) Jika seorang anak secara tidak sengaja melakukan sesuatu yang menyinggung perasaan anak yang lain, jelaskan kepadanya bahawa mereka tiada niat jahat.

8) Ibu bapa boleh menjadi orang tengah untuk menyelesaikan konflik secara adil.

9) Dengar pandangan anak apabila mereka rasa seolah-olah dilayan secara tidak adil, dan bincangkan bersama.

Dr Marissa Nivison ialah Felo Penyelidik Doktor Falsafah (PhD) di Jabatan Psikologi, Universiti Calgary, manakala Dr Sheri Madigan ialah Profesor di Pusat Owerko, Institut Kajian Hospital Kanak-kanak Alberta, Universiti Calgary. Artikel ini kali pertama disiarkan di ‘The Conversation’, sebuah laman web yang menerbitkan artikel berdasarkan penyelidikan dan pandangan pakar.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg