Topic followed successfully
Go to BHkuTinjauan Kaki Jalan: Pengembara muda lebih berjimat tapi penginapan selesa tetap diutama
Tinjauan Kaki Jalan: Pengembara muda lebih berjimat tapi penginapan selesa tetap diutama
Dapatan tinjauan Kaki Jalan menunjukkan Sikap Pengembara Muda terhadap bajet percutian dan aspek yang boleh ditolak ansur dalam percutian
Tinjauan Kaki Jalan: Pengembara muda lebih berjimat tapi penginapan selesa tetap diutama
Dalam kancah konflik global yang masih berpanjangan, para pelancong, khususnya generasi muda, semakin teliti dalam merancang percutian tahunan mereka.
Bajet kini lebih terkawal, pilihan destinasi dipertimbangkan dengan lebih cermat, namun satu faktor kekal menjadi keutamaan: keselesaan.
Tinjauan Kaki Jalan Berita Minggu (BM) mengenai sikap pengembara muda berusia antara 23 hingga 35 tahun mendedahkan bagaimana mereka menyesuaikan gaya melancong dengan realiti kos semasa, tanpa mengorbankan sepenuhnya kualiti pengalaman. Seramai 33 responden terlibat dalam tinjauan ini.
Dapatan tinjauan menampakkan corak perbelanjaan yang agak berdisiplin.
Hampir separuh responden memperuntukkan bajet percutian lima hingga tujuh hari dalam lingkungan $1,000 hingga $2,000, manakala lebih 30 peratus sanggup membelanjakan sehingga $3,500.
Selebihnya pula tidak gentar melabur lebih tinggi demi pengalaman yang dianggap amat berbaloi.
Namun, apabila ditanya di mana titik kompromi paling utama untuk berjimat, jawapannya jelas - sektor pengangkutan menjadi sasaran nombor satu.
Ramai memilih penerbangan atau perjalanan darat yang lebih menjimatkan, diikuti dengan pengurangan kos aktiviti dan lawatan tarikan pelancong.
Strategi seperti membuat tempahan awal, memburu promosi, dan melancong di luar musim melancong juga menjadi amalan biasa.
Menariknya, meskipun mereka fleksibel dalam banyak aspek lain, satu elemen kekal tidak boleh disentuh: tempat penginapan.
Keselesaan ruang rehat menjadi keutamaan yang paling sukar dikompromi; ia mengatasi kepentingan makanan, aktiviti, malah tempoh percutian itu sendiri.
Pilihan seperti Airbnb dan homestay lebih diminati berbanding hostel atau kapsul, menunjukkan keseimbangan antara penjimatan dan privasi masih diletakkan di hadapan.
Dalam soal makan, responden cenderung mengamalkan pendekatan yang lebih praktikal. Kebanyakan mereka akan mencari makanan mampu milik, mencuba hidangan jalanan (street food), atau memasak sendiri jika menginap di tempat yang membenarkan.
Hanya segelintir kecil yang terus kekal dengan gaya makan di restoran tanpa banyak perubahan.
Apabila berdepan dengan kos destinasi yang melampaui kemampuan, majoriti memilih pendekatan yang realistik – sama ada menukar destinasi ke pilihan yang lebih murah, atau bersabar menunggu waktu yang lebih sesuai seperti musim promosi perjalanan.
Secara keseluruhan, gambaran ini menzahirkan satu generasi pengembara yang semakin bijak merancang. Mereka bukan sekadar berjimat, tetapi memilih dengan strategi di mana perlu berbelanja dan di mana perlu berkompromi.
Dalam erti kata lain, mereka tidak mengharapkan cuti yang mahal – tetapi juga tidak sanggup bercuti dalam keadaan yang tidak selesa.
Percutian moden, bagi mereka, bukanlah soal berbelanja besar atau berjimat habis-habisan – tetapi mencari titik keseimbangan harmoni antara pengalaman yang bermakna dengan keselesaan yang terjamin.
