Keharuman bawang putih yang ditumis dalam minyak zaitun mula memenuhi udara, membawa bersamanya aroma wangi.
Tidak lama kemudian, bau cili yang sedikit pedas bercampur dengan kemanisan tomato yang sedang mendidih mencipta gabungan yang begitu menyelerakan.
Ketika ketulan isi ketam dimasukkan ke dalam kuali, udara semakin kaya dengan bau laut yang segar, seakan-akan membawa semua yang hadir ke sebuah dapur Italy tulen.
Demikian aroma yang dihidu seramai 15 peserta bengkel membuat pasta anjuran Kaki Makan Berita Harian di ruang peribadi Kucina Italian Restaurant di pusat beli-belah Kinex di Tanjong Katong Road pada 28 Januari.
Sepanjang bengkel kira-kira dua jam itu, mata peserta tidak lepas daripada memerhatikan tangan lincah Cef Gero Di Maria Mohammed Omar, pemilik restoran makanan Italy itu.
Peserta menyaksikan bagaimana Cef Gero menguli doh dengan teliti, meratakannya menjadi helaian nipis menggunakan mesin khas, lalu memotongnya menjadi helaian tagliolini halus.
Menurut Cef Gero, tagliolini ialah sejenis pasta yang lebih halus daripada spageti.
Jika tidak berniat memasak dengan segera, Cef Gero menasihati peserta agar menyalut pasta dengan sedikit tepung semolina sebelum menyimpannya di dalam peti sejuk, supaya ia tidak melekat pada satu sama lain.
“Kalau dalam peti sejuk, pasta boleh tahan antara tiga hingga empat hari. Kalau dalam peti beku, boleh tahan kira-kira sebulan,” jelasnya.
Seorang peserta, Cik Siti Omairah Amrhan, 31 tahun, berpeluang memotong doh pasta menggunakan mesin itu. Beliau biasanya memasak pasta di rumah tetapi tidak pernah membuat pasta sendiri.
“Saya tidak pernah menggunakan mesin pembuat pasta sebelum ini, jadi ini satu pengalaman menarik.
“Cef Gero membimbing saya cara memotong pasta menggunakan mesin itu. Saya rasa jika saya akan menggunakan mesin itu lagi pada masa depan, saya akan lebih biasa dengan proses memotong pasta.
“Tekstur pasta agak kering, saya jangkakan ia lebih melekit, tetapi ia masuk ke dalam mesin dengan senang,” ujar Cik Omairah.
Kemudian, Cef Gero memasak pasta sambil menyediakan sos istimewanya, iaitu sos daging ketam.
Saat wap masakan perlahan-lahan naik dari kuali, ada yang menarik nafas, dan ada yang tersenyum lebar kerana tidak sabar menikmati masakan Cef Gero.
Sementara sos ketamnya semakin pekat dan berkilauan, Cef Gero berkongsi beberapa panduan penting.
“Jangan sekali-kali patahkan pasta ketika memasak. Jika tidak, sukar untuk anda memutar pasta menggunakan garpu kerana ia terlalu pendek.
“Dan pastikan air rebusan cukup masin. Untuk air kira-kira empat liter, guna lebih kurang dua sudu besar garam. Ini supaya pasta menyerap sos,” ujar beliau.
Akhirnya, saat yang dinantikan tiba apabila Cef Gero menghidang pasta yang baru dimasak kepada peserta yang tidak sabar hendak merasainya.
Selain hidangan pasta itu, peserta juga dihidangkan beberapa sajian lain, termasuk bruschetta (sejenis pembuka selera Italy yang terdiri daripada roti bakar dengan bawang putih, minyak zaitun dan garam) dan gnocchi (pelbagai ladu dalam masakan Italy).
Bengkel berakhir dengan peserta bergambar berkumpulan dan kemudian beramah-tamah antara satu sama lain, sambil bertanyakan soalan mengenai masakan kepada Cef Gero.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg