Selepas menimba pengalaman dalam dapur yang mengetengahkan masakan moden dan santapan mewah, beberapa cef tempatan kini memilih untuk memberi tumpuan kepada cita rasa Melayu.

Di GENI, dua bekas cef The Black Hole Group, Cef Muhammad Zulfadli Normedi dan Cef Muhammad Fadzil Abdul Kadir, mengetengahkan hidangan yang mengambil inspirasi daripada pelbagai pelosok Nusantara.

Nasi Mangkreng Ayam Bakar, $35 disertai lauk seperti babat goreng Madura, udang sambal Kalimantan, lemak pucuk paku, urap timun, ulam raja, ikan kering dan sambal belacan mangga.
Nasi Mangkreng Ayam Bakar, $35 disertai lauk seperti babat goreng Madura, udang sambal Kalimantan, lemak pucuk paku, urap timun, ulam raja, ikan kering dan sambal belacan mangga. - Foto ihsan GENI

Antaranya NASCAM Garing Madura Fried Tripe, $10.90, nasi campur dengan babat lembu gaya Madura yang digoreng sehingga rangup keemasan.

Pilihan tanpa daging, NASCAM Garing Jackfruit Gudeg, $11.90, pula menggunakan nangka muda yang dimasak perlahan bersama rempah gudeg yang sinonim dengan masakan Jawa.

Antara tarikan utama GENI ialah Nasi Mangkreng yang direka untuk dikongsi.

Nasi Mangkreng Ayam Bakar, $35 disertai lauk seperti babat goreng Madura, udang sambal Kalimantan, lemak pucuk paku, urap timun, ulam raja, ikan kering dan sambal belacan mangga.

GENI kini dibuka untuk makan tengah hari pada Selasa dan Jumaat, dari 11.30 pagi hingga 2.30 petang.

Sementara itu, Cef Nazrin Shah menerusi CUBA pula mahu mendekatkan kembali pengunjung dengan Nasi Ulam, hidangan yang dipelajarinya ketika bekerja di restoran Candlenut.

“Kami pernah menghidangkannya kepada tokoh-tokoh terkenal seperti pemimpin politik, tetapi hidangan ini sentiasa di luar menu,” katanya.

Baginya, Nasi Ulam yang menggabungkan pengaruh Peranakan dan cita rasa Melayu mempunyai tempat istimewa dalam perjalanan kulinarinya.

“Saya tidak mahu melakukan sesuatu yang sudah biasa dilakukan oleh masyarakat Melayu, seperti makanan Barat.

“Saya mahu membawa balik hidangan seperti ulam, walaupun saya telah bekerja di restoran mewah,” katanya.

Nasi Ulam Asam Pedas Ikan Cencaru, $19.50.
Nasi Ulam Asam Pedas Ikan Cencaru, $19.50. - Foto ihsan CUBA

Antara hidangan CUBA ialah Nasi Ulam Ayam Percik Buah Keluak, $18.50 dan Nasi Ulam Asam Pedas Ikan Cencaru, $19.50, yang disajikan bersama telur masin, sambal belacan mangga dan keropok belinjau.

CUBA akan menawarkan hidangan tersebut di Singapore Night Festival di Armenian Street pada 4 dan 5 September, dari 6 petang hingga 10 malam.

Cef Nazrin juga bakal mengadakan kelas Nasi Ulam bersama Kebon Dapur pada hujung September atau awal Oktober, dengan peserta berpeluang memetik herba serta mempelajari cara menghiris dan menyediakan hidangan klasik itu.

Kelas itu juga diadakan sebelum Kebon Dapur perlu mengosongkan tapaknya di Punggol East selepas tanah milik negara itu dikembalikan kepada Penguasa Tanah Singapura (SLA) bagi pembangunan semula kediaman pada masa depan.