Topik diikuti
Pergi ke BHkuCelik kewangan sejak kecil, bijak belanja sepanjang hayat
Amalan menabung, berbelanja dengan hemah mampu bina daya tahan agar belajar buat pilihan
Celik kewangan sejak kecil, bijak belanja sepanjang hayat
Bagi kanak-kanak pada hari ini, ke mana-mana sahaja mereka pergi, mereka melihat wang digunakan dalam pelbagai cara.
Mereka menggunakannya untuk membeli makanan ketika waktu rehat di sekolah.
Mereka melihat ibu bapa membuat bayaran di pasar raya dengan telefon.
Mereka juga mungkin pernah ternampak ibu bapa membeli-belah dalam talian pada tengah malam.
Anak-anak memerhatikan semuanya.
Walaupun mereka belum memahami konsep baki dalam akaun bank atau belanjawan keluarga, mereka sebenarnya sedang memerhati dan belajar sesuatu daripada tindakan kita, seperti apakah yang dibeli, bagaimanakah keputusan dibuat dan bagaimanakah kita bertindak apabila mahukan sesuatu.
Justeru, celik kewangan perlu dipupuk sejak kecil kerana ia membina keyakinan, daya tahan, pertimbangan wajar serta tabiat baik sepanjang hayat.
Si anak perlu belajar bila hendak menyimpan, berbelanja atau berkongsi, serta membezakan keperluan daripada kehendak.
Bina asas sejak kecil
Dalam kajian, Habit Formation and Learning in Young Children (Pembentukan Tabiat dan Pembelajaran dalam Kalangan Kanak-Kanak) pada 2013, penyelidik daripada Universiti Cambridge, Dr David Whitebread dan Dr Sue Bingham, berkata:
“Menjelang usia tujuh tahun, beberapa konsep asas yang berkaitan dengan tingkah laku mengurus kewangan lazimnya sudah terbentuk.”
Ketika membeli barangan dapur, misalnya, ajak anak anda memilih barangan dengan peruntukan wang tertentu.
Apabila mereka meminta permainan baharu, cuba tanyakan kepada mereka soalan berikut:
“Kalau kita beli ini sekarang, apakah yang perlu kita tangguhkan?”
Soalan itu mengajak mereka menimbang pilihan.
Mereka juga belajar bahawa sesebuah keluarga perlu berbelanja mengikut kemampuan, dan ada kalanya mereka harus bersabar untuk mendapatkan sesuatu yang diingini.
Ruang selamat untuk mencuba
Pameran terbaharu Muzium Kanak-Kanak Singapura (CMSG) berjudul, Money Town: Make It Count!, yang dilancarkan pada 13 November dibangunkan dengan semangat ini.
Khusus untuk kanak-kanak berusia lima hingga sembilan tahun, pameran tersebut menyediakan ruang selamat untuk meneroka keputusan berkaitan wang melalui permainan.
Gelang digital menjadi dompet pengunjung sepanjang lawatan bagi tujuan mengumpul, menyimpan, berbelanja dan mendermakan wang pameran.
Melalui gelang ini, mereka juga dapat melihat bagaimana setiap urus niaga mempengaruhi baki wang masing-masing.
Kanak-kanak yang terburu-buru membelanjakan wang mereka mungkin akan menemui kegiatan lain yang lebih diminati kemudian.
Si anak yang menyimpan pula dapat melihat bagaimana kesabaran dapat membantu mereka menghampiri matlamat.
Pengalaman sebegini memberikan peluang untuk kanak-kanak mencuba, belajar dan mempertimbangkan semula keputusan tanpa menanggung akibat kewangan sebenar.
Ibu bapa boleh bertanya soalan-soalan berikut:
“Adakah kamu gembira dengan pilihan tadi?”
“Apakah yang kamu mahu lakukan secara berbeza?”
Dengarkan dahulu jawapan mereka sebelum memberikan pandangan.
Pameran ini dibangunkan bersama kanak-kanak, yang turut menguji konsep dan kegiatan pameran sepanjang proses pembangunannya.
Pandangan daripada pendidik, penjaga dan rakan masyarakat, termasuk individu berkeperluan khas turut diperoleh dalam proses pembangunannya, untuk memastikan pengalaman sesuai dengan pelbagai cara kanak-kanak belajar.
Fahami harga dan nilai
Namun, pendidikan kewangan tidak lengkap jika kita hanya bercakap tentang wang.
Sesuatu barang mungkin murah, tetapi amat bermakna kerana mengingatkan kita kepada seseorang.
Sebaliknya, barang yang mahal belum tentu memberikan kebahagiaan yang berkekalan.
Di Money Town, pengalaman bau, yang diinspirasikan oleh bantal atau selimut kesayangan, mengajak keluarga memikirkan hubungan antara benda, kenangan dan rasa selamat.
Dari situ, kita boleh berbincang tentang perkara lain yang berharga seperti kesihatan, masa bersama keluarga dan kasih sayang.
Perbualan ini turut membantu si anak memahami bahawa kemampuan setiap keluarga berbeza.
Harga hadiah tidak menentukan besarnya kasih sayang, dan barang yang dimiliki tidak menentukan nilai diri seseorang.
Begitu juga dengan konsep memberi.
Apabila si anak memilih untuk menderma, tanyakan siapakah yang ingin dibantu dan mengapa.
Ini dapat mengajar mereka bahawa wang boleh digunakan untuk memberi manfaat kepada orang lain.
Bijak dalam dunia digital
Kanak-kanak juga perlu membiasakan diri untuk berhenti dan berfikir sebelum bertindak dalam talian.
Cabaran mengenali penipuan turut diketengahkan dalam pameran ini untuk membuka perbualan tentang tawaran mencurigakan, mesej yang mendesak dan permintaan maklumat peribadi.
Di rumah, biasakan anak mendapatkan pandangan orang dewasa yang dipercayai sebelum membelikan sesuatu atau berkongsi maklumat.
Lebih penting, pastikan mereka selesa untuk memberitahu kita apabila mereka melakukan kesilapan.
Jika kesilapan sentiasa disambut dengan perasaan marah, mereka mungkin akan memilih untuk berdiam diri ketika mereka memerlukan bantuan.
Kita juga boleh menjelaskan mengapa kita menangguhkan sesuatu pembelian.
Pembelajaran berterusan
Bagi pengunjung berusia 48 bulan dan ke bawah, Money Barn, menawarkan ruang bermain khas yang membolehkan mereka melakukan kegiatan mengasingkan, mengira, memadankan objek serta bermain peranan.
Pengalaman mudah ini membina asas pembelajaran mengikut tahap perkembangan mereka.
Namun, perjalanan tersebut tidak seharusnya berakhir di pameran ini.
Ibu bapa ialah rakan penting dalam usaha ini.
Panduan sebelum dan selepas lawatan, yang dibangunkan bersama ahli terapi kanak-kanak, membantu keluarga memulakan perbualan lebih awal dan meneruskannya di rumah.
Rekod keputusan yang dibawa pulang juga boleh menjadi bahan perbincangan.
Anak boleh memilih satu matlamat simpanan kecil atau merancang cara membahagikan wang antara belanja, simpanan dan pemberian.
Ibu bapa tidak perlu sempurna dalam mengurus wang.
Kesediaan mendengar dan belajar bersama adalah permulaan yang baik.
Akhirnya, kejayaan bukan terletak hanya pada tabung yang semakin penuh, tetapi seorang anak yang mampu membuat pertimbangan, menghadapi kekecewaan dan memahami bahawa wang perlu diurus dengan bijaksana, sementara banyak perkara paling berharga dalam hidup tidak mempunyai tanda harga.
Penulis ialah pengarah di Muzium Kanak-Kanak Singapura. Beliau mempunyai hampir dua dekad pengalaman dalam bidang muzium, pendidikan warisan dan pembangunan program pembelajaran untuk kanak-kanak serta masyarakat umum. Sebelum ini, beliau pernah berkhidmat sebagai pengurus besar di Taman Warisan Melayu, Timbalan Pengarah (Pendidikan) di Lembaga Warisan Negara, serta Pensyarah di Politeknik Republic.
“
Akhirnya, kejayaan bukan terletak hanya pada tabung yang semakin penuh, tetapi seorang anak yang mampu membuat pertimbangan, menghadapi kekecewaan dan memahami bahawa wang perlu diurus dengan bijaksana, sementara banyak perkara paling berharga dalam hidup tidak mempunyai tanda harga.