Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Choi Min-sik teruja filem ‘Exhuma’ gali kisah bomoh Korea di zaman moden

Feb 28, 2024 | 4:05 PM
Walaupun berpengalaman selama 35 tahun, pelakon Choi Min-sik (kiri) menjayakan filem alam ghaib pertamanya, ‘Exhuma’, yang turut dibintangi Lee Do-hyun, Kim Go-eun dan Yoo Hae-jin (kanan).
Walaupun berpengalaman selama 35 tahun, pelakon Choi Min-sik (kiri) menjayakan filem alam ghaib pertamanya, ‘Exhuma’, yang turut dibintangi Lee Do-hyun, Kim Go-eun dan Yoo Hae-jin (kanan). - Foto SHOWBOX

Sebagai pelakon Korea Selatan terkemuka dengan pengalaman 35 tahun dalam dunia filem dan televisyen, Choi Min-sik berusaha membawa kisah pengamal ilmu ‘shaman’ (pawang) Korea seperti tukang ramal dalam filem pertamanya tentang alam ghaib, Exhuma.

Apa yang cuba disampaikan dalam filem itu adalah bagaimana tukang tilik berupaya mendesak orang ramai berfikir tentang kesan ramalan dalam dunia seharian.

Mengikut laman Korea Herald, Choi berharap penonton yang terpukau dengan pembawaan watak bomoh atau dukun seperti tukang tilik akan lebih terdedah dan peka dengan kesan yang terhasil daripada tanggapan masyarakat terhadap penggunaan tanah sekeliling.

Filem itu diterajui pengarah filem alam ghaib Korea terunggul, Jang Jae-hyun.

Ia mengisahkan tentang kumpulan pakar feng syui (kepercayaan Cina mengenai kedudukan dan reka bentuk bangunan), pengurus mayat dan dua bomoh ilmu sihir yang dibayar sejumlah wang yang banyak jika berjaya mencari tanah perkuburan baru bagi mayat itu.

Choi membawa watak seorang pakar feng syui berpengalaman 40 tahun, Sang-deok, yang diarahkan mencari tapak baru yang sesuai untuk mengalihkan tempat pengebumian mayat tersebut.

Pada 24 Februari, filem itu berjaya melepasi jualan tiket melebihi sejuta.

Ini merupakan rekod terpantas untuk sebuah filem meraih pencapaian sedemikian pada 2024, menurut pengedar filem itu, Showbox.

Choi membuat keputusan berlakon dalam filem alam ghaib kerana percaya dengan potensi Jang, yang menampilkan kemahiran mengetengahkan konsep metafizik seperti kepercayaan agama dari segi sinematik.

Exhuma adalah filem alam ghaib pertama bagi pelakon itu sejak mula terlibat dalam dunia seni.

“Saya suka bagaimana cita-cita dan nilai Jang diterapkan sekali dalam hasil karyanya.

“Karya Jang pula menggambarkan dasar fikiran dan idea subjektifnya mengenai konsep metafizik dan ghaib.

“Walaupun karya sebelumnya seperti, The Priest dan Svaha: The Sixth Finger, dikatakan menggambarkan kepercayaan Jang secara nyata, Exhuma meneroka tema sedemikian dalam gaya yang lebih lembut, fleksibel dan menghiburkan,” kata Choi.

Choi menambah bahawa beliau memilih untuk melibatkan diri dalam Exhuma kerana kebiasaan yang dapat dirasakan bersama pengamal ilmu sihir di Korea dan keyakinan peranan bomoh kekal hingga ke zaman moden.

“Sebagai contoh, ketika saya berusia 10 tahun, saya berjaya melawan penyakit batuk kering. Walaupun doktor sudah berputus asa, ibu saya berkunjung ke kuil Buddha lantas berdoa dan yang anehnya, saya pun pulih,” kata Choi.

“Saya rasa seperti kejadian ajaib seperti itu berlaku disebabkan dedikasi ibu saya dan bukanlah kerana doanya kepada dewa.

“Dalam kehidupan kita, terwujudlah aspek yang kita tidak dapat fahami secara bernas atau rasional.

“Emosi dan adat sedemikian masih wujud sampai sekarang.

“Bagi saya, amalan seperti feng syui dan adat pawang sudah dibiasakan dan menyeronokkan,” tambahnya.

Choi menjelaskan bahawa Exhuma lebih daripada sekadar filem hantu atau seram.

Exhuma bukan dihasilkan dengan niat menghiburkan semata-mata.

“Ia lebih berupa filem yang membuat penonton merenung tentang cara manusia melihat tanah serta bagaimana tanah, roh, hantu dan tuhan dapat mempengaruhi masyarakat,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg