Sejarah tercipta pada 2023 bagi anggota kumpulan K-pop terkenal Blackpink, Lisa.
Beliau bukan sahaja mengorak langkah sebagai penyanyi solo dan bekerjasama dalam lagu Shoong! bersama legenda Korea Selatan, Taeyang, malah terlibat dalam pelbagai acara lain seperti persembahan kabaret, Crazy Horse, di Paris.
Laman Forbes juga melaporkan Lisa kini membangun agensi pengurusannya sendiri yang dikenali sebagai LLOUD.
Dalam satu hantaran di Instagram ‘wearelloud’ pada 8 Februari, Lisa mengisytiharkan akaun tersebut sebagai “wadah mempersembahkan visi dalam muzik dan hiburan”.
Hantaran Instagram itu disertakan dengan gambar Lisa berbaju sut hitam manakala kuku jarinya pula dihias rapi.
Lisa turut berkongsi pautan ke laman web, LLOUD, yang merangkumi akaun media sosial rasmi Facebook, Twitter, Instagram, YouTube dan TikTok, serta pernyataan misi berikut:
“GABUNGAN SUARA & INOVASI”
Di LLOUD, hasrat kami sebagai agensi pengurusan artis adalah untuk mencipta pengalaman yang meliputi genre dan menghubungkan generasi. Inti pati kami terletak pada inovasi yang tidak henti-henti dan iltizam kepada ketulenan. Kami tidak sekadar menentang batasan; kami mentakrifkannya semula, mencipta muzik yang mendominasi carta dan merangkumi pelbagai genre. Sertai permulaan era LLOUD bersama kami.”
Justeru, kerjaya Lisa sebagai artis solo di luar kegiatan kumpulannya sebagai anggota Blackpink dibuktikan hebat setakat ini.
Lagu pertamanya, Lalisa, berjaya sampai ke tangga pertama carta, Jualan Lagu Digital Dunia Billboard.
Baru-baru ini juga, Lisa membuktikan kebolehannya sebagai pelakon berbakat selepas diumumkan menyertai barisan pelakon daripada musim ketiga siri TV HBO Original, The White Lotus, yang pernah diiktiraf dengan Anugerah Emmy.
Dalam pada itu, hanya dengan tiga barisan gambar bertema hitam putih, akaun Instagram LLOUD memperolehi lebih 850,000 pengikut dalam masa 12 jam sahaja.
Nama LLOUD kemungkinan merujuk kepada nama penuh Lisa, Lalisa Manobal.
Dua huruf L di permulaan LLOUD itu menandakan kaitan dengan dua huruf L dalam ‘Lalisa’.
Pengumuman LLOUD itu menyusuli laporan agensi Blackpink, YG Entertainment, pada Disember yang mendedahkan bahawa kempat-empat anggota kumpulan Blackpink akan meneruskan kontrak bersama agensi berkenaan buat masa akan datang.
Jennie merupakan anggota Blackpink pertama yang mengumumkan beliau menubuhkan agensinya sendiri.
Beliau turut melancarkan satu agensi yang dinamakan ‘OA’ dan turut mengekalkan kesetiannya kepada Blackpink pada Disember 2023.
Hal yang sama boleh dilihat dengan kumpulan K-pop lain seperti Girls’ Generation, 2PM, Infinite, GOT7 dan MAMAMOO.
Sesetengah anggota berpindah ke agensi baru atau menubuhkan agensi label mereka sendiri sambil kekal aktif bersama kumpulan masing-masing.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg