Sesiapa pun bebas bersuara dan tidak perlu berselindung dalam bab hati.

Justeru, kalau Cik Kak dan Cik Adik di luar sana nak sakit hati dengan saya dan kaum Adam lain kerana terlalu berterus terang, silakanlah.

Kami sebenarnya paling menyampah dengan kaum Hawa yang suka berdolak-dalik dan berbahasa berbunga-bunga ni!

Bila nak game? Silap hari bulan, jadi macam bicara kucing dengan anjing pula. Dua-dua tak faham!

Sebenarnya, leceh nak berbual beralas dalam menyuarakan pendapat kami. Bagi kami lebih baik cakap terus terang sahaja.

Cuma kerana suka sangat berbual direct, kami ni dianggap lelaki yang celupar dan tidak sensitif langsung!

Sebenarnya, lebih ramai kaum Adam lagi selesa bersikap jujur, bukan hanya terhadap kaum wanita ber-skirt, tetapi juga dalam kalangan sesama kaum Adam sendiri.

Ego kami ni tak besar... jangan salah sangka. Ia realistik.

Kembali pada zaman sejarah Hang Tuah dahulu, kita boleh saksikan betapa Hang Jebat lebih senang berterus terang sebagai respons pada tindakan Sultan.

Pada masa yang sama, impian kami adalah untuk melihat lebih ramai kaum wanita bersikap lembut bak Tun Teja. Tak ke elok namanya tu?

Ini tidak! Ramai yang nakkan kami lebih beralas dalam budi bicara tapi mereka sendiri bermulut laser!
Teringat pula saya alkisah seorang teman. Namanya Jamil. Alah! Yang sibuk cari butang baju kurung tu! Er... Jamil Madu Tiga!

Ini bab nak kahwin lagi. Soalan yang bermain di mindanya – wajarkah dia berterus terang atau kahwin lari saja kerana bimbang isteri tidak faham?

Salah satu topik perbincangan saya dan isteri adalah dalam menangani perihal si Jamil yang nak kahwin satu lagi!

Saya akur tidak ramai dalam kalangan kaum Hawa yang dapat berbincang tentang topik ini dengan hati yang terbuka.

Bab poligami ni biasanya disorok bawah permaidani atau menjadi perkara larangan untuk dibicangkan walaupun secara umum.

Mulalah, mereka sindir menyindir kaum Adam, yang dikatakan tak sedar diri dek kubur kata mari, nak berbini lagi!

“Jangan dicucuk sarang tabuan. Nanti, binasa badan!” ujar si Hawa, mengancam si Adam.

Baru nak diajak berbincang, sudah tidak boleh diajak berunding. Belum sampai bab Z, dah nak bertengkar kerana timbul prasangka buruk pada si Adam.

Masalahnya, si Hawa tidak boleh dengar penjelasan terus terang si Adam dalam hal ini atau hal-hal lain yang membabitkan soal hati.

Kaum Hawa ni kompleks dan sensitif. Pantang dicuit, meradangnya berpanjangan!

Mereka tak faham erti sabar, rela dan reda. Asyik nak melenting saja! Belum dengar penjelasan, dah nak menerpa. Cakap berbunga-bunga. Ini bukan kelas Sastera Melayu, dik oi!

Harapan kami dengan berterus terang, komunikasi akan dibiarkan terbuka lagi lebih jelas

Hubungan persaudaraan antara si Adam dan Hawa juga akan lebih rapat untuk mengelakkan pertelingkahan.

Pendek kata, yang membosankan kami adalah jawapan Cik Adik. Mereka biasanya tidak bermaksud apa yang mereka nyatakan dan meminta kami bermain teka-teki.

Kalau dah malas dan bosan dengan kenyataan direct kami, Cik Adik akan menyatakan salah satu daripada kata-kata berikut:
A) “Entahlah...” (jawapan terbiar tergantung tetapi maknanya, malas nak layan)
B) “Suka hatilah... ‘gasak’ you!” (jawapan bingit dan kibar bendera putih)
C) “Ewah...bab nak kahwin lagi, pandai ikut Nabi. Bab sembahyang, tak payah ikut!” (jawapan membantah keras tapi berbentuk sindiran).
D) “Ni-lah orang lelaki. Habis madu, sepah dibuang!” (jawapan emo bagi meminta belas kasihan atau bermaksud, kalau berani... ceraikan aku saja!)
E) “You ni sibuk bual pasal poligami, nak kahwin lagi ke?” (andaian bak penampar ke muka lelaki).
F) “You pilih antara I atau perempuan gatal tu!” (satu ancaman tetapi sebenarnya, Cik Adik ni takut ditinggalkan).
G) “Eleh... you cuma nak kahwin dengan perempuan biasa-biasa tu? Kalau I, cari orang kayalah! Janji, boleh pergi Eropah dan shopping sakan!” (bimbotiknya jawapan!).

Alahai, Cik Adik. Awak bikin kami pusinglah. Ada kalanya, terasa macam main Mastermind untuk meneka kod warna yang terpancar di fikiran anda.

Kalau nak berbual tu, boleh tak jelas sikit? Jangan pusing-pusing macam gasing!

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti