Saat sebahagian besar tetamu kapal persiaran Genting Dream masih lena dibuai mimpi, sekumpulan peserta sudah pun memulakan hari di dek atas kapal tersebut.

Dalam gelap pagi, ditemani deruan ombak, mereka tekun mendengar perkongsian motivasi yang disampaikan mantan Timbalan Mufti Singapura, Ustaz Dr Hannan Hassan.

Walaupun perlu bangun seawal jam 5.30 pagi, semangat peserta program ‘Cruise Healing’ anjuran Berita Harian (BH) buat julung kalinya ini begitu membara.

Malah, detik ini menjadi antara kenangan yang paling tidak dapat dilupakan bagi sebahagian rombongan BH.

Encik Shakil Mika’il Simon menaiki kapal persiaran Genting Dream bersama isterinya, Cik Suri Hassanah Hassan, dan anaknya, Ean Mateen Shakil Mika’il Simon.
Encik Shakil Mika’il Simon menaiki kapal persiaran Genting Dream bersama isterinya, Cik Suri Hassanah Hassan, dan anaknya, Ean Mateen Shakil Mika’il Simon. - Foto ihsan SHAKIL MIKA’IL SIMON

Antara penumpang ialah Encik Shakil Mika’il Simon, 46 tahun, yang belayar bersama isteri dan anak mereka.

Walaupun Encik Shakil sudah biasa belayar, pelayaran ini yang pertama untuk isteri dan anak mereka yang berusia tiga tahun.

“Alhamdulillah, ini pengalaman yang amat baik buat saya. Di samping bersantai, kami juga dapat beribadah. Pihak BH bijak memilih ustaz yang santai, manakala pengacara pula begitu menghiburkan,” ujar pegawai keselamatan marin itu.

Peserta ‘Cruise Healing’ mendengar ceramah motivasi yang disampaikan oleh mantan Timbalan Mufti Singapura, Ustaz Dr Hannan Hassan.
Peserta ‘Cruise Healing’ mendengar ceramah motivasi yang disampaikan oleh mantan Timbalan Mufti Singapura, Ustaz Dr Hannan Hassan. - Foto BM oleh KHALID BABA

Dalam perkongsian rohani di subuh hari, Ustaz Hannan sering mengingatkan kita tentang pentingnya mengeratkan silaturahim dan menghargai setiap anugerah dalam kehidupan.

Beliau juga mengambil kesempatan itu untuk menyentuh hati rombongan BH agar mensyukuri kehadiran insan tersayang – ibu bapa dan pasangan – serta memanfaatkan sisa usia dengan penuh makna.

“Berinteraksi dan berbual santai dengan pembaca BH adalah pengalaman yang paling berharga. Dapat saya menyelami pandangan dan denyut nadi masyarakat.

“Ini sesuatu yang sentiasa saya sanjungi. Apatah lagi, saya bertemu semula dengan teman dan jiran sekampung yang terpisah lebih 40 tahun.

“Harapan saya, pelayaran ini benar-benar membawa ‘kedamaian’ serta peluang untuk bermuhasabah diri, dan yang paling utama, mengukuhkan ikatan antara kita,” ujar Ustaz Hannan.

Ceramah motivasi disampaikan oleh Ustaz Dr Hannan Hassan.
Ceramah motivasi disampaikan oleh Ustaz Dr Hannan Hassan. - Foto BM oleh KHALID BABA

Seorang peserta, Cik Azhanani Kamis, 53 tahun, berkata hal paling menyentuh hati daripada ceramah motivasi itu adalah bahawa jalan menuju keampunan dan syurga Allah, yang seluas langit dan bumi, mesti dilalui melalui dunia ini, terutamanya menerusi perhubungan dan interaksi kita sesama manusia.

“Dan yang paling menusuk jiwa – memaafkan itu bukan sekadar kata-kata, ia benar-benar mengangkat bebanan dari hati, dan diibaratkan sebagai langkah awal untuk penyembuhan (termasuk apabila seseorang mencari ruqyah/ketenangan),” kongsi kaunselor keluarga itu, yang pertama kali menaiki kapal persiaran bersama sahabatnya.

Cik Azhanani Kamis (kanan) bergambar berlatarbelakangkan matahari terbit di atas kapal bersama sahabatnya, Suliha Yusoff.
Cik Azhanani Kamis (kanan) bergambar berlatarbelakangkan matahari terbit di atas kapal bersama sahabatnya, Suliha Yusoff. - Foto ihsan SULIHA YUSOFF

Dari 26 hingga 28 April, lebih 250 pembaca BH menyertai pelayaran pertamanya dengan Genting Dream, hasil kerjasama bersama Dream Cruises.

Ini adalah sebahagian inisiatif ruangan pelancongan Berita Minggu, Kaki Jalan, untuk mendekati masyarakat, melangkaui sempadan akhbar fizikal.

Peserta menerima lanyard serta beg galas ketika mendaftar masuk kapal persiaran.
Peserta menerima lanyard serta beg galas ketika mendaftar masuk kapal persiaran. - Foto BM oleh KHALID BABA
Peserta menerima lanyard serta beg galas ketika mendaftar masuk kapal persiaran.
Peserta menerima lanyard serta beg galas ketika mendaftar masuk kapal persiaran. - Foto BM oleh KHALID BABA

Pelayaran bermula kira-kira jam 8 malam dari Pusat Kapal Persiaran Marina Bay Singapura menuju ke Melaka pada hari pertama.

Selepas menjamu selera di restoran bufet halal, Lido, para peserta berkumpul untuk sesi pengenalan dan suai kenal bersama tiga personaliti istimewa – Ustaz Hannan; penyanyi, pelakon dan pengacara Malaysia, Elly Mazlein, yang lebih mesra disapa Kak Lina Pom Pom; dan personaliti terkenal Singapura, Suhaimi Yusof.

Peserta bergambar bersama Kak Lina Pom Pom (dua dari kiri).
Peserta bergambar bersama Kak Lina Pom Pom (dua dari kiri). - Foto BM oleh KHALID BABA

Keesokan hari, para peserta berkumpul sewaktu subuh untuk mendengar ceramah motivasi sebelum kapal berlabuh di Melaka kira-kira jam 7 pagi.

Setelah sarapan, sebahagian rombongan BH turun kapal untuk menaiki feri melalui Sungai Melaka ke Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS).

Peserta turun kapal untuk berjalan-jalan di sekitar Melaka.
Peserta turun kapal untuk berjalan-jalan di sekitar Melaka. - Foto BM oleh KHALID BABA
(Dari kiri) Ustaz Hannan, Suhaimi dan Kak Lina Pom Pom meneroka sekitar Melaka.
(Dari kiri) Ustaz Hannan, Suhaimi dan Kak Lina Pom Pom meneroka sekitar Melaka. - Foto BM oleh KHALID BABA

Di situ, peserta dapat berinteraksi dengan Ustaz Hannan, Kak Lina Pom Pom dan Suhaimi secara santai, dan mereka bebas berjalan-jalan di sekitar Melaka sepanjang kapal berlabuh.

Beberapa daya tarikan Melaka yang berdekatan termasuk Jonker Street, Mahkota Parade, Dataran Pahlawan Melaka Megamall dan bangunan kolonial merah, Dutch Square.

(Dari kiri) Cik Bibi Zohrah Haider Shah, Cik Junaidah Ayoob dan Cik Saadiah Ayoob menikmati cendol di Cendol Jambesar Bandar Hilir Melaka.
(Dari kiri) Cik Bibi Zohrah Haider Shah, Cik Junaidah Ayoob dan Cik Saadiah Ayoob menikmati cendol di Cendol Jambesar Bandar Hilir Melaka. - Foto BM oleh KHALID BABA

Keluarga bertiga, Cik Bibi Zohrah Haider Shah, Cik Junaidah Ayoob dan Cik Saadiah Ayoob, kesemuanya 63 tahun, antara yang seronok membeli-belah di Melaka.

Dalam nada ceria, Cik Saadiah berkongsi:

“Keistimewaannya ialah ceramah motivasi daripada ustaz. Acara ini amat baik, dapat ‘healing’ untuk kita yang senja-senja ini.

“Rentaknya pun perlahan, sungguh sesuai bagi kami yang sudah berumur.

“Sepupu saya bersungguh-sungguh ingin mencari gula melaka, jadi itulah yang kami buru!”

Setelah puas menerokai tarikan di Melaka, pada 4 petang, peserta berhibur dan bergelak tawa dalam program Melodi Santai yang menampilkan ketiga-tiga personaliti di atas pentas.

Bahagian pertama, ‘SuHannan Show – Irama Ceramah’, menyaksikan Suhaimi mendendangkan lagu Mustika nyanyian M Nasir serta ‘Kau Ilhamku’ nyanyian Man Bai.

Ustaz Hannan pula akan menyelitkan kata-kata mutiara serta pengajaran yang dapat diambil daripada lirik lagu yang disampaikan.

Suhaimi Yusof dan Ustaz Hannan membuat persembahan di pentas.
Suhaimi Yusof dan Ustaz Hannan membuat persembahan di pentas. - Foto BM oleh KHALID BABA
Peserta melibatkan diri dalam permainan atas pentas bersama Suhaimi Yusof (paling kiri), Kak Lina Pom Pom (tiga dari kiri) dan Ustaz Hannan (paling kanan).
Peserta melibatkan diri dalam permainan atas pentas bersama Suhaimi Yusof (paling kiri), Kak Lina Pom Pom (tiga dari kiri) dan Ustaz Hannan (paling kanan). - Foto BM oleh KHALID BABA
Kak Lina Pom Pom mendendangkan lagu di pentas Zodiac Theatre.
Kak Lina Pom Pom mendendangkan lagu di pentas Zodiac Theatre. - Foto BM oleh KHALID BABA

Kak Lina Pom Pom kemudian menyemarakkan lagi suasana di dalam Zodiac Theatre dengan kemunculan yang cukup memukau menerusi dendangan lagu Usah Ditambah Bara yang Tersimpan.

Ketiga-tiga personaliti kemudian berkongsi secebis tentang pengalaman hidup masing-masing sambil mengadakan permainan kuiz bersama para peserta.

Antara hadiah menarik yang dimenangi ialah buku terbitan Ustaz Hannan, baucar bufet makan dari restoran Permata, 21 on Rajah, Straits Kitchen, serta penginapan dua hari satu malam di hotel Aloft Singapore Novena.

Kak Lina Pom Pom (kanan) mengajak penonton menari bersama.
Kak Lina Pom Pom (kanan) mengajak penonton menari bersama. - Foto BM oleh KHALID BABA

Suasana dalam teater menjadi riuh apabila Kak Lina Pom Pom mempersembahkan lagu lama berirama joget, Umpan Jinak di Air Tenang.

Kehadirannya bukan sekadar menghiburkan, malah beliau sempat mengajak para peserta bangkit menari bersama, sekali gus menjadi pelengkap hari kedua yang cukup meriah.

Acara tersebut menjadi penggulung hari kedua yang meriah lagi menghiburkan buat para peserta.

Suhaimi berkata beliau harap peserta terhibur dan meraih ilmu bermanfaat daripada pertemuan tersebut.

“Saya harap lebih ramai yang akan turut serta dalam rombongan bersama BH pada masa akan datang kerana ini merupakan salah satu kaedah terbaik untuk mengenali BH, wartawan serta peranan BH dalam mengongsi maklumat-maklumat penting untuk masyarakat kita di Singapura,” katanya.

Sebagai penutup sebelum kapal berlabuh semula di Singapura pada hari terakhir, para peserta sekali lagi berpeluang menimba ilmu melalui sesi ceramah motivasi subuh yang disampaikan Ustaz Hannan.

Pengisian rohani itu menjadi naskhah perpisahan yang bermakna sebelum masing-masing pulang ke pangkuan keluarga.

Pasangan Cik Norsiah Abdul Kadir dan Encik Muhammad Samsuddin Saini, 74 tahun, pertama kali menaiki kapal persiaran.
Pasangan Cik Norsiah Abdul Kadir dan Encik Muhammad Samsuddin Saini, 74 tahun, pertama kali menaiki kapal persiaran. - Foto ANISAH AZLAN

Pasangan Cik Norsiah Abdul Kadir, 68 tahun, dan Encik Muhammad Samsuddin Saini, 74 tahun, pertama kali menaiki kapal persiaran.

Cik Norsiah, seorang pekerja pembersihan, berkata:

“Alhamdulillah, ini pertama kali naik cruise, rasa seronok, berkesempatan bertemu dengan Kak Lina Pom Pom!

“Saya juga dapat menikmati pemandangan daripada tingkap bilik, lebih santai berbanding percutian lain.

“Paling saya gemari di atas kapal ini juga adalah pilihan makanan bufet yang sedap.”

Bagi pasangan Cik Nur Aniyah Alias dan Encik Abdul Rahim Abdul Rahman, pengalaman menaiki kapal persiaran kali ini berbeza berbanding sebelumnya, apabila mereka ke sana dengan sendiri.
Bagi pasangan Cik Nur Aniyah Alias dan Encik Abdul Rahim Abdul Rahman, pengalaman menaiki kapal persiaran kali ini berbeza berbanding sebelumnya, apabila mereka ke sana dengan sendiri. - Foto ihsan NUR ANIYAH ALIAS

Bagi peserta lain seperti pasangan Cik Nur Aniyah Alias, 45 tahun, dan Encik Abdul Rahim Abdul Rahman, 47 tahun, pengalaman pelayaran kali ini terasa istimewa, berbeza daripada kunjungan peribadi mereka sebelum ini bersama anak-anak.

“Cruise healing’ BH menyajikan ceramah motivasi subuh oleh Ustaz Hannan, mengingatkan kita tentang Tuhan di tengah pelayaran.

“Ia menyentuh hati, mengajak kita muhasabah diri dan memperkukuh hubungan dengan Allah dan sesama manusia, kerana sekembalinya ke tanah air, kita akan kembali tenggelam dalam kesibukan kerja yang tiada hentinya, walau sekadar suri rumah.

“Dan, Suhaimi sebagai pengacara sangat bersahaja dan lucu tanpa skrip!

“Ini kali pertama saya bertemu beliau secara langsung, dan beliau bijak mengendalikan majlis agar sentiasa rancak,” kongsi Cik Aniyah, seorang suri rumah.

Editor Audiens dan Perkembangan BH, Cik Norhaiza Hashim, menzahirkan terima kasih atas sokongan padu pembaca terhadap inisiatif BH ini.

“Ini adalah penganjuran pertama kami. Kami amat terharu dengan maklum balas positif yang diterima daripada peserta Cruise ‘Healing’ BH setakat ini.

“Kami berharap acara ini menjadi jambatan untuk pembaca mengenali BH dan kakitangannya dengan lebih dekat, serta mendalami ruangan Kaki Jalan di BH,” ujarnya.