Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Dakwaan nikah tidak sah: Sabri Yunus anggap ada kaitan pertikaian agamawan

Oct 17, 2023 | 4:09 PM
TERTANYA-TANYA MENGAPA: Pelawak Sabri Yunus yang bernikah dengan sahabat seninya, Angeline Tan, menganggap tuduhan pernikahan mereka tidak sah yang dilontar pendakwah, Sheikh Nuruddin Marbu Al Banjari, sebagai sukar dihadam.
TERTANYA-TANYA MENGAPA: Pelawak Sabri Yunus yang bernikah dengan sahabat seninya, Angeline Tan, menganggap tuduhan pernikahan mereka tidak sah yang dilontar pendakwah, Sheikh Nuruddin Marbu Al Banjari, sebagai sukar dihadam. - Foto INSTAGRAM ISSEY

Ramai peminat dan pengamat dunia seni komedi gembira dengan penyatuan dua pelakon drama, Pi Mai Pi Mai Tang Tu, Sabri Yunus dan Angeline Tan, menerusi majlis pernikahan ringkas di Perlis.

Bagaimanapun, Sabri, 62 tahun, tidak menyangka keputusannya bernikah di Perlis boleh menimbulkan kesan yang sangat besar.

Meluahkan rasa sedih, Sabri yang juga pelawak popular, kecewa apabila lafaz kabul diungkapkannya malah menjadi punca perdebatan antara pendakwah.

Lebih memburukkan keadaan, ada individu mendakwa Sabri dan isterinya, Angeline, 56 tahun, sudah berzina kerana pernikahan yang dilangsungkan pada Sabtu lalu itu tidak sah.

Menyifatkan dakwaan tersebut sangat berat, Sabri membuat kenyataan di Facebook bahawa tuduhan yang dilemparkan pendakwah berkenaan telah mengundang persepsi negatif.

“Seorang ustaz dengan jelas dan terang mengata (menuduh) pernikahan kami tidak sah dan terus membuat kesimpulan kami akan berzina. Ia satu tuduhan berat. Katanya lafaz kabul mengelirukan. Siapa yang keliru? Dalam majlis itu hanya perlu dua saksi walaupun hampir 25 orang hadir. Saksi dua orang tak keliru dan 25 tetamu pun sama.

“Orang di luar tidak bersama dalam majlis tidak ada isu dalam penyaksian majlis itu. Dia dengar atau tidak, faham atau tidak bukan isu pengesahan. Soal pandangan mazhab dah jelas ada khilaf dan setujunya,” tulisnya.

Terdahulu, seorang pendakwah Sheikh Nuruddin Marbu Al Banjari, mendakwa pasangan yang dinikahkan Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, tidak memenuhi ucapan ijab dan kabul yang sepatutnya.

Menurut Sabri, agamawan yang mengeluarkan dakwaan itu dilaporkan tidak sehaluan dengan mufti yang dikenali sebagai Dr Maza, sehingga wujud perselisihan pendapat.

Gara-gara itu, dakwaan tersebut timbul bagaikan ada udang di sebalik batu.

“Saya tahu ustaz ini banyak tidak sependapat dan sealiran dengan Dr Maza yang bertindak sebagai jurunikah kami. Jadi ada bau permusuhan antara mereka. Hari ini saya baca banyak lagi pandangan ulama lain akan isu ini. Ternyata berbeza dengan pandangan ustaz ini. Jangan letak hukum atas dasar rasa kebencian semata.

“Agamawan tidak harus bersikap begitu. Tidak terselit keikhlasannya,” ulasnya yang tidak mahu menjadi mangsa kebencian kepada seteru pendakwah berkenaan.

Mempunyai alasan tersendiri mengapa memilih negeri Perlis, Sabri menegaskan majlis pernikahannya tidak melanggar sebarang akta berkaitan urusan pernikahan.

Jelas Sabri, hal ehwal agama termaktub di bawah kuasa kerajaan negeri dan penganjuran majlis itu tidak melanggar sebarang akta berkaitan urusan pernikahan.

“Secara peribadi, saya sedar apa yang akan berlaku apabila kami buat keputusan untuk bernikah di Perlis dan memohon untuk diakadkan oleh Dr Maza.

“Saya ada sebab tersendiri memilih Perlis, tetapi saya tidak menyangka ada isu lain, isu yang saya tak terbayang pun oleh akal fikir saya,” kata Sabri.

Dalam pada itu, Dr Maza menjelaskan lafaz kabul ringkas oleh Sabri merupakan bukti bahawa Islam itu mudah dan sah di sisi Islam. Beliau berkata pernikahan bukan satu perkara yang patut disulitkan dengan syarat yang ketat sedangkan ijab dan kabul pada zaman Nabi Muhammad saw begitu ringkas.

“Sesiapa yang membaca hadis-hadis nabi, dia akan mengetahui bahawa akad nikah memang mudah. Yang penting cukup rukun dan adanya ijab dan kabul.

“Ijab dan kabul bermaksud adanya kita berikan tawaran perkahwinan dan satu pihak lagi menyambut tawaran perkahwinan itu. Tidak ada dalam agama kata ini perlu satu nafas,” katanya menerusi satu rakaman video yang dimuat naik di laman Facebook pada Ahad.

Mengulas lanjut, Dr Maza berkata kebanyakan jurunikah ketika ini dilihat seperti mahu mendenda pasangan yang hendak melangsungkan perkahwinan.

“Pernikahan bukan satu permainan, lafaz itu telah sah dan mengapa perlu diulang? Mudah-mudahan ini menjadi contoh kepada masyarakat. Saya ingin mengingatkan kepada kesemua jurunikah khususnya di Perlis untuk tidak merumitkan hal seperti ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut memberitahu bahawa Angeline terbuka hati untuk memeluk Islam setelah mengikuti ceramahnya di media sosial. Jelasnya, ia hanya sekadar asbab dan mungkin pendekatan di Perlis menggunakan kaedah memahami latar logik dan hujah adalah berdasarkan bukti menarik minat bukan Islam.

“Agama berdasarkan bukti, hujah dan alasan. Itulah pendekatan yang dibawa dalam ceramah malah kita melepas diri daripada elemen mencurigakan, khurafat dan kepercayaan melampau kepada golongan agama yang tidak mempunyai bukti benar daripada al-Quran dan al-Sunah,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg