KUALA LUMPUR: Pempengaruh media sosial, Ubai, meluahkan rasa simpati terhadap isterinya, penyanyi Shila Amzah yang terpaksa berdepan dengan kemelut dalaman keluarga.
Luahan itu dibuat Ubai, 25 tahun, di aplikasi X baru-baru ini.
Ubai berkata isterinya berdepan dengan pelbagai dugaan sepanjang 33 tahun hidup.
Menurutnya, Shila dikerah bekerja seawal usia 10 tahun, malah isterinya tidak pernah memegang wang tunai dan kad bank sehingga usia 28 tahun.
“Isteri bekerja seawal usia 10 tahun. Beliau tidak pernah pegang duit, kad bank termasuk kad pengenalan sendiri.
“Sebaliknya, Shila dikerah bekerja dan setiap bulan, pasti ada sahaja yang perlu dibayar dan ditunaikan.
“Keluarganya mendakwa itu tugas anak sulung dan jangan jadi anak derhaka. Sebab itulah Shila akan dahulukan keluarga dalam segala hal,” dedah Ubai.
Ubai mendedahkan isterinya mengalami penderaan mental dan fizikal pada perkahwinan pertamanya.
Shila dikatakan terpaksa menanggung bekas suami, Haris Idraki, termasuk melangsaikan hutang keluarga yang dianggarkan mencecah ratusan ribu.
“Beliau berkahwin atas pilihan keluarga. Sepanjang tempoh tiga tahun perkahwinan, Shila alami trauma kerana terpaksa menanggung bekas suami.
“Shila mulakan hidup baru selepas bercerai, namun terpaksa menanggung hutang keluarga ratusan ribu. Biarpun hutang berjaya dibayar, tetapi isteri masih menanggung keluarga sehingga hari ini secara bersendirian.
“Ramai cerca dan hina Shila. Hanya Shila sahaja tahu apa yang dilalui sepanjang 33 tahun kehidupannya.
“Tiada tempat untuk berkongsi, jika dikongsi tiada siapa yang endah,” katanya.
Dalam pada itu, Ubai berkata Shila cuba bangkit pada perkahwinan kedua, namun dugaannya tidak berakhir.
Ubai menyangka kehilangan ibu dan adiknya dalam jangka masa singkat sudah cukup memeritkan, tetapi nyata dugaan dilalui isterinya lebih hebat lagi.
“Gagal dalam perkahwinan pertama, Shila mulakan kehidupan baru pada perkahwinan keduanya.
“Namun, masih tidak mudah untuk Shila lalui. Walaupun dikurniakan rezeki mendapat insan dan keluarga baru yang mendengar kisah kehidupannya, tetapi nikmat hanya sementara.
“Beliau kehilangan ibu mentua beberapa hari sebelum bernikah dan adik ipar seminggu sebelum bertunang.
“Saya sangka kehidupan saya sudah cukup mencabar dan penuh dugaan. Nyata, ada yang lebih besar untuk orang lain. Inilah kisah seorang wanita hebat yang saya kenali,” katanya.
Sebelum ini, Shila, atau Nurshahila Amir Hamzah, 33 tahun, dalam sesi siaran langsung di TikTok mengakui tindakan menjual kediaman banglo atas pilihannya sendiri kerana mahu mencari kediaman lebih baik untuk keluarga.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg