Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

‘Dansa Raya’ satukan 4 individu ‘kaki nyanyi’

Jurutari pelawa jurulatih kecergasan, guru vokal dan bakat remaja rakam lagu Lebaran
Mar 17, 2025 | 5:30 AM
(Dari kiri) Yani Abdul Talib, Ewan Rashid, Diana Nazyra dan Arissa Zara, mengetepikan perbezaan dan bersandarkan keinginan mengetengahkan semangat perayaan untuk menghasilkan lagu, ‘Dansa Raya’.
(Dari kiri) Yani Abdul Talib, Ewan Rashid, Diana Nazyra dan Arissa Zara, mengetepikan perbezaan dan bersandarkan keinginan mengetengahkan semangat perayaan untuk menghasilkan lagu, ‘Dansa Raya’. - Foto ihsan EWAN RASHID

Ketika membawa pelajarnya ke Korea untuk meneroka peluang menebar sayap dalam dunia tarian pada 2023, jurutari, Ewan Rashid, terfikir untuk menghasilkan lagu Hari Raya sendiri.

Siapa kata hanya penyanyi sahaja yang mampu merakam lagu Lebaran sebagai kenangan?

Jika di Malaysia, usahawan seperti Datuk Seri Vida boleh memiliki lagu musim perayaan yang mendapat sambutan menggalakkan daripada pengikutnya, tidak salah kalau seorang jurutari yang suka menyanyi, mendendangkan lagu Raya penuh bermakna.

Ewan, 41 tahun, mendapatkan khidmat guru vokal, penggubah lagu dan penyanyi, Diana Nazyra, 44 tahun, untuk mencipta lagu yang sesuai pada zaman TikTok, Dansa Raya.

Lebih istimewa lagi, beliau mempelawa Diana, jurulatih kecergasan, Yani Abdul Talib, 47 tahun, dan penyanyi remaja, Arissa Zara, 12 tahun, untuk berpadu suara dengannya bagi lagu yang kini sudah dimuatkan di wadah penstriman Spotify dan laman YouTube.

Ikuti wawancara Berita Harian (BH) bersama mereka.

Soalan (S): Bagaimanakah timbulnya idea bagi ‘Dansa Raya’?

Ewan: Saya adalah seseorang yang menghargai keceriaan bermacam musim perayaan di Singapura, khususnya Hari Raya.

Memandangkan saya pernah mendapatkan khidmat Diana untuk mengajar pelajar saya teknik vokal, saya terfikir mungkin ini giliran saya pula mengetengahkan bakat menyanyi saya.

Saya meminta Diana mencipta lagu Raya pada 2023 ketika saya berada di Korea.

Dalam masa dua minggu, lagu itu sudah dicipta. Tetapi kerana kesibukan tugas, hanya pada lewat 2024, barulah kami mengusahakan untuk membereskan rakaman lagu ini.

Saya mahukan lagu yang rancak sebab saya seorang penari yang sukakan kemeriahan. Tak kenalah kalau nak nyanyi lagu nostalgia, sedih atau lagu cinta sayu-mendayu. Ia tidak menggambarkan personaliti dan jiwa saya.

Saya sukakan unsur kebudayaan Melayu yang Diana terapkan dalam lagu ini.

S: Apakah perasaan apabila Ewan minta ciptakan lagu Raya?

Diana: Saya bersyukur setiap tahun saya dapat usahakan lagu Hari Raya. Kadangkala saya tak rancang nak bikin secara konsisten irama Lebaran tetapi ada sahaja rezeki tidak diduga yang datang.

Bagi saya cabaran terbesar bagi projek kali ini ialah saya menangani kerencaman vokal, khususnya Ewan dan Yani yang bukan penyanyi.

Biasanya, saya buat lagu untuk diri sendiri atau penyanyi tetapi mereka adalah pencinta seni suara tetapi tiada pengalaman bergelar artis rakaman.

Arissa pula adalah bintang cilik yang memang memiliki bakat menyanyi yang luar biasa, diasah daripada program, Juara Mic Junior, di televisyen.

Alhamdulillah, mereka semua bersedia menjalani latihan vokal bersama saya. Semuanya berjalan lancar. Tak ada yang suaranya sumbang, hanya perlu diperhalusi teknik nyanyian sahaja agar semuanya seiring jalan dalam lagu ini.

Saya ingin keluarkan kekuatan vokal setiap orang dan membantu mereka atasi kelemahan dalam teknik seni suara.

Semuanya memiliki keunikan. Saya sendiri terlibat menyanyi dalam projek ini apabila seorang lagi guru vokal tidak dapat menghadirkan diri kerana masalah kesihatan yang tidak mengizinkan.

S: Mengapa pilih Arissa dan Yani bagi projek ini?

Ewan: Saya pernah usahakan klip video muzik ringkas untuk Arissa dan mengajarnya menari dalam rancangan, Kelab Juara Mic Junior.

Saya lihat ada sesuatu kelainan pada diri bakat muda ini. Dia memang hebat dalam lagu-lagu dansa dengan unsur K-Pop. Inilah wakil Generasi Alpha yang perlu diketengahkan.

Yani pula adalah sahabat karib saya dalam dunia kecergasan tarian. Sebab dia pernah datang beraya di rumah saya dan melontar beberapa lagu Raya... ‘meraung’ dari siang hingga malam, maka saya tengok dia boleh menjiwai proses rakaman lagu.

S: Apakah anda duga akan rakam lagu Raya?

Yani: Saya sebenarnya terkejut tetapi seronok dapat terlibat dalam projek, Dansa Raya ini. Saya pun menawarkan diri dan teruja apabila Ewan berkongsi tentang lagu ini.

Tambahan pula, dari kecil, saya suka menyanyi dan bapa saya selalu dedahkan saya pada persembahan pentas.

Saya dah biasa nyanyi karaoke di majlis kahwin. Maka, mengapa tidak rakam lagu Raya sendiri? Ia peluang keemasan bagi saya.

Arissa: Saya amat berbesar hati sebab Abang Ewan pelawa saya nyanyi lagu Raya pertama saya yang dicipta Cikgu Diana.

S: Apakah pandangan anda tentang lagu Raya tular seperti ‘Raya Raya Raya’ oleh Dolla dan ‘Alamak Raya Lagi!’ oleh De Fam?

Ewan: Saya akui lagu Raya Dolla, De Fam dan Hael Husaini lain daripada lain.

Sebenarnya, terjerat dalam dunia pandemik Covid-19 banyak mengubah tanggapan kita tentang musim perayaan. Selepas terperap lama di rumah, kita ingin kembalikan semangat yang pudar dengan bergembira menyambut Syawal.

Saya rasa itulah yang membuatkan lagu kecoh-kecoh Raya banyak tercipta. Kita perlu jalinkan semula hubungan ukhuwah dengan sanak saudara. Kita perlu lagu Raya paling ‘epik’!

Yani: Seronoklah apabila ada lagu yang membolehkan kita buat cabaran TikTok, apabila kita boleh menari sama, mengikut irama rancaknya. Tengoklah betapa tularnya lagu Mimi Fly, Angkat.

Mengikut cita rasa saya, sebenarnya, saya lagi suka lagu balada yang perlahan dan menggamit kenangan.

Tapi kalau boleh cetus kegembiraan dengan lagu yang boleh kita muatkan dalam TikTok, inilah fenomena masa kini. Tak boleh ketinggalan.

Arissa: Sebagai generasi muda, saya memang tertarik dengan lagu Raya yang ceria. Sebab antara kegiatan yang saya suka lakukan pada masa lapang ialah bikin kandungan TikTok.

S: Apakah faktor penting dalam lagu Raya?

Diana: Tentunya, kita mencari keunikan bagi setiap lagu Raya. Ia harus memenuhi cita rasa generasi masa kini tetapi tidak lari daripada nilai kemelayuan yang menggambarkan suasana perayaan.

Kalau kita sebagai anak Melayu tidak perjuangkan irama kita, siapa lagi?

Seberapa boleh, saya terapkan elemen tradisional yang melambangkan perayaan dan perasaan setelah sebulan berpuasa.

Kali ini, pada penghujung lagu, saya selitkan rentak TimurTengah sebagai satu perlambangan ‘mood’ Ramadan.

Saya ingin generasi muda bukan hanya tahu menghargai irama hip-hop, malah tahu akan nilai kemelayuan, unsur tradisional dan irama syahdu seperti yang dialunkan dalam lagu Timur Tengah.

Saya banyak jalankan kajian. Ewan banyak memberi saya rujukan dan idea mengenai apa yang diinginkan dalam Dansa Raya. Lagu yang dicipta juga harus kena dengan personaliti sang penyanyi.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg