Hari berganti hari, semakin ramai yang bersemangat menanti kehadiran Aidilfitri yang bakal tiba dalam masa beberapa minggu lagi.
Bagi kebanyakan orang, Aidilfitri merupakan perayaan penuh bahagia yang disambut bersama keluarga tercinta dan sanak saudara.
Namun begitu, tidak semua orang bernasib baik untuk menyambut perayaan penuh kesyukuran dan keinsafan ini bersama insan tersayang.
Begitulah perasaan yang ingin disampaikan oleh salah satu kumpulan perintis seni dikir barat pada 1990-an di Singapura, Sri Andalas, melalui lagu Raya bergenre ‘dikir pop’ berjudul, Pilu Di Pagi Raya.
Dalam suasana menjelang Aidilfitri, lagu yang diterbitkan pada 8 Mac itu mengajak pendengar mengenang saat-saat indah bersama insan tersayang yang telah pergi menyahut panggilan Ilahi.
Meskipun sudah tiada, kenangan mereka tetap abadi dalam ingatan dan terus dikenang dalam doa.
Walaupun kumpulan dikir barat tersebut tidak lagi aktif dalam membuat persembahan, semangat mereka untuk terus melestarikan warisan seni dikir barat dan menghasilkan karya seni yang bermutu tetap kukuh.
Lagu berkenaan turut menampilkan dua anggota Sri Andalas sebagai penyanyi iaitu Muhammad Fadlin Abdul Majid atau lebih dikenali sebagai Affan, 40 tahun, dan juga Muhamad Rohaizad Shafiee, 45 tahun.
Rohaizad juga merupakan anggota kumpulan B8 yang pernah terkenal dengan lagu rakaman semula, Marah-Marah Sayang serta lagu ciptaan pencipta kandungan, KC Champion, Bidadari Hatiku.
Ketika dihubungi Berita Harian (BH) pada 7 Mac melalui Zoom, Affan berkata:
“Lagu ini terinspirasi daripada salah satu persembahan kami di rumah anak yatim di Singapura pada 1998.
“Pengalaman ini membuat kami terdorong untuk menghasilkan sebuah lagu Raya yang mengabadikan kesyahduan Aidilfitri tanpa kehadiran insan tersayang.
“Meskipun begitu, kami berharap agar dalam kepiluan itu, tersimpan harapan untuk menyambut Aidilfitri dengan hati yang tenang dan penuh kesyukuran.”
Sebagai seni yang mengangkat martabat bahasa Melayu, lagu ini juga menggunakan bahasa yang mudah difahami, khususnya bagi generasi muda, namun tetap mengekalkan keindahan dan kepuitisannya.
Bagaimanapun, anggota Sri Andalas, Norsaid Wahab, 50 tahun, yang turut bertindak sebagai pencipta lagu dan penulis seni kata, Pilu Di Pagi Raya, mengakui tidak mudah untuk membayangkan perasaan mereka yang kehilangan ibu bapa, demi memastikan inti pati lagu ini dapat disampaikan dengan lebih mendalam.
“Biasanya, ketika menulis lirik lagu, saya akan meresap jiwa dan perasaan yang ingin saya sampaikan kepada pendengar.
“Apabila kita dapat menjiwai perasaan itu, akan lebih mudah untuk menjentik perasaan pendengar melalui seni kata dan melodi yang dihasilkan.
“Namun begitu, ia tidak mudah bagi saya untuk membayangi perasaan kehilangan kedua ibu bapa.
“Apatah lagi, ketika menyambut suasana Aidilfitri yang seharusnya penuh ceria,” cerita Norsaid.
Lebih daripada itu, Rohaizad menambah bahawa lagu ini dianggap sebagai hadiah istimewa bagi anggota Sri Andalas yang telah bergiat dalam seni dikir barat dan menyumbang kepada perkembangan seni tempatan selama 35 tahun.
Pengalaman merakamkan lagu, Pilu Di Pagi Raya, telah mengumpulkan seramai 20 anggota Sri Andalas, yang kini dalam lingkungan usia 40-an hingga 50-an.
“Proses rakaman bagi lagu Raya ini tentunya tidak mudah kerana ini merupakan kali pertama kami merakamkan lagu secara rasmi.
“Namun, saya harap dengan lagu ini, ia turut menjadi bukti kerja keras dan pengorbanan yang dilakukan oleh anggota Sri Andalas saban tahun untuk menghidupkan seni dikir barat dalam kalangan masyarakat kita.
“Kini, walaupun masing-masing sudah berkeluarga dan mempunyai anak, semangat mereka tetap teguh seperti dulu, terutama untuk menjayakan lagu ini bersama-sama,” jelas Rohaizad.
Dengan penuh harapan, beliau juga mengimpikan agar lagu ini mendapat sambutan baik sebagaimana lagu Raya, Di Pinggiran Aidilfitri, ciptaan Dikir Temasek, yang tidak pernah gagal diputarkan di corong radio setiap kali menjelang Syawal.
“Kami ingin meneruskan legasi ini dan berharap agar lagu, Pilu Di Pagi Raya, sesuai dengan halwa telinga masyarakat, sama seperti lagu, Di Pinggiran Aidilfitri, yang masih kekal dalam ingatan pencinta seni.
“Sokongan daripada masyarakat sangat bermakna buat kami.
“Dengan itu, kami menamakan lagu ini, Pilu Di Pagi Raya, supaya ia tidak hanya sesuai didengarkan ketika Syawal tiba, bahkan juga semasa perayaan Aidiladha,” ujar Rohaizad.
Lagu Pilu Di Pagi Raya boleh didengarkan di semua penstriman digital termasuk laman YouTube, Spotify dan iTunes.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg