Keluarga yang mengunjungi Simposium Bahasa Ibunda (MTLS) 2026 pada 1 Ogos boleh menjangkakan 41 reruai pameran dan 42 sesi perkongsian serta bengkel interaktif yang menampilkan cara menggalak kecelikan dan penghargaan bahasa ibunda.

Sesi dan bengkel itu, yang ditawarkan dalam bahasa Melayu, Tamil, Cina dan Inggeris, dikendalikan oleh ahli akademik, pendidik, pakar kurikulum dan personaliti media.

Berikut antara sesi perkongsian dan bengkel interaktif yang akan dijalankan dalam bahasa Melayu.

Rentak Kata: Mencetus penulisan melalui kesenian Melayu

Rentak Kata menjemput ibu bapa dan kanak-kanak meneroka keunikan muzik dan tarian Melayu untuk mencetuskan minat menulis.

Dalam sesi ini, peserta akan menari mengikut irama tradisional sambil belajar meluahkan diri melalui kata-kata.

Ibu bapa akan memainkan peranan sebagai ‘pasangan kreatif’ dalam memupuk minat anak-anak untuk menulis.

Melalui pengalaman ini, diharapkan kanak-kanak akan menyedari bahawa penulisan boleh bermula daripada pengalaman hidup yang bermakna.

Kendalian: Ketua subjek (badan kepimpinan murid) di Sekolah Rendah Fuhua, Cik Faridah Mohamed Ali.

Memupuk literasi kritis melalui cerita rakyat yang diubah suai

Sebahagian besar kesusasteraan kanak-kanak berasal daripada cerita rakyat yang diwarisi daripada tradisi sastera lisan.

Dalam sesi ini, peserta akan melihat beberapa cerita rakyat yang telah disampaikan semula dengan cara yang berbeza berbanding versi asal.

Cerita yang diubah suai ini boleh digunakan sebagai alat pedagogi untuk memupuk literasi kritis dalam kalangan kanak-kanak.

Peserta juga berpeluang mendapatkan strategi menggunakan cerita yang disesuaikan ini dalam bilik darjah dan di rumah, serta cara membimbing kanak-kanak menjadi pembaca yang kritis.

Kendalian: Pustakawan Kanan, Lembaga Perpustakaan Negara, Encik Muhammed Shahril Shaik Abdullah.

‘Cimi Oh Cimi!’ Jom Menulis Menggunakan Realiti Terimbuh (AR) – Membina Ayat Penyata

Sesi ini memperkenalkan pendekatan inovatif dalam pembinaan ayat penyata bagi murid sekolah rendah.

Ibu bapa dan kanak-kanak akan mengimbas penanda Realiti Terimbuh (AR) menggunakan telefon bijak atau tablet untuk memaparkan adegan tiga dimensi (3D) berlatarkan kehidupan harian sebagai rangsangan autentik bagi pemerhatian, perbualan dan pembinaan ayat.

Peserta melalui tiga tahap pembelajaran berstruktur serta mengaplikasikan strategi penyemakan dan penilaian kendiri, selain memupuk kesedaran metakognitif.

AR menjadi alat pedagogi bermakna yang menjadikan pembelajaran penulisan bahasa Melayu lebih intuitif, menarik dan menyeronokkan

Kendalian: Penyelaras Bahasa Melayu di Sekolah Perempuan Paya Lebar Methodist (Rendah), Cik Siti Suhana Alias.

Jom, Kita Sembang!

Jika anak ada menghadapi kesukaran dalam pelajaran Bahasa Melayu, atau Bahasa Inggeris mendominasi perbualan di rumah, usah terlepas sesi yang dikendalikan pakar peneraju Bahasa Melayu di Kementerian Pendidikan (MOE) ini.

Sertai sesi interaktif ini untuk mengetahui cara amali dan santai untuk menyertakan Bahasa Melayu secara semula jadi ke dalam rutin harian.

Sesi ini menyarankan amalan mudah pada setiap hari yang dapat mengubah keyakinan anak menggunakan bahasa Melayu di sekolah dan mengeratkan hubungan budaya keluarga.

Kendalian: Pakar peneraju Bahasa Melayu, unit Bahasa Melayu, cawangan bahasa ibunda, MOE, Dr Salha Mohamed Hussain

Perkasa pembelajaran Bahasa Melayu anak di peringkat sekolah menengah

Pembelajaran Bahasa Ibunda di peringkat sekolah menengah menuntut kemahiran bahasa lebih tinggi, pembelajaran kendiri serta pendedahan berterusan dalam penggunaan bahasa.

Sesi ini bertujuan memberi gambaran tentang kurikulum Bahasa Melayu peringkat menengah kepada ibu bapa dan berkongsi panduan praktikal tentang cara memupuk minat membaca, kemahiran bertutur serta pendedahan bahasa Melayu.

Kendalian: Penolong pengarah, Cik Nur’Hanim Mohamed, dan pegawai pembangunan sumber kurikulum, Cik Mas Rafidah Mohamed Ali, dari unit Bahasa Melayu, cawangan bahasa ibunda, MOE

MTLS 2026 bakal diadakan di Singapore Expo Dewan 2B.

Mereka yang berminat menyertai sesi perkongsian dan bengkel boleh mendaftar menerusi laman web, mtls.moe.edu.sg.

Ibu bapa yang ingin mendapatkan maklumat terkini mengenai acara tersebut, boleh mengikuti MTLS 2026 di Facebook, Instagram dan LinkedIn.