Topik diikuti
Pergi ke BHkuSimposium bahasa ibunda kembali pada 1 Ogos
Simposium bahasa ibunda kembali pada 1 Ogos
Simposium bahasa ibunda kembali pada 1 Ogos
Kementerian Pendidikan (MOE) dan tiga Jawatankuasa Pembelajaran dan Penggalakan Penggunaan Bahasa Ibunda (MTLLPC) akan menganjurkan Simposium Bahasa Ibunda (MTLS) 2026 pada 1 Ogos.
Simposium itu bakal diadakan di Singapore Expo Dewan 2B, buat julung-julung kalinya, kata MOE dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada 13 Julai.
Bertemakan ‘Taman Teroka yang Menyeronokkan’, MTLS ke-14 itu melambangkan persekitaran pembelajaran yang ceria dan penuh kegembiraan bagi kanak-kanak untuk mempelajari serta menghargai bahasa ibunda mereka.
Melalui penceritaan, lakonan watak, dan ekspresi kreatif, peserta muda boleh menerokai pelbagai cara yang menyeronokkan dan kreatif untuk mempelajari serta menggunakan bahasa ibunda mereka dalam kehidupan seharian bersama empat maskot.
Maskot itu ialah Xiao Tao, bunga yang suka bekerjasama; Sani, pengembara yang berkeyakinan; Kavin, pakar taman yang kreatif; dan Peppy, lebah yang penyayang.
Di samping itu, peserta dan ibu bapa boleh menjangkakan sebanyak 41 reruai pameran dan 42 sesi perkongsian serta bengkel interaktif, yang menampilkan cara menggalakkan literasi dan penghargaan bahasa ibunda, kesemuanya dikendalikan oleh ahli akademik, pendidik, pakar kurikulum dan personaliti media.
Antara bengkel yang diadakan bakal dikendalikan usahawan selebriti dan penyokong awal pendidikan kanak-kanak, Encik Syah Ibrahim.
Beliau akan berkongsi tentang bagaimana detik-detik bermain dalam kehidupan seharian boleh diubah menjadi pengalaman Bahasa Melayu yang bermutu.
Pakar kurikulum dan guru daripada MOE juga akan berkongsi tentang kurikulum bahasa ibunda, dan bagaimana sumber digital boleh menyokong pembelajaran di rumah, serta strategi praktikal untuk ibu bapa dalam membesarkan anak dwibahasa yang berkeyakinan.
Bagi sesi perkongsian, antara penceramahnya ialah pelakon, Izyan Mellyna; Penolong Pengarah Unit Bahasa Melayu, Bahagian Perancangan dan Pembangunan Kurikulum 1 (Cawangan Bahasa Ibunda), Cik Nur’Hanim Mohamed; Pegawai Pembangunan Sumber Kurikulum Unit Bahasa Melayu, Bahagian Perancangan dan Pembangunan Kurikulum 1 (Cawangan Bahasa Ibunda), Cik Mas Rafidah Mohamed Ali.
Penceramah lain termasuk Penyelaras Bahasa Melayu Sekolah Anglo-Chinese (Junior), Cik Siti Nurashikin Ajmain; guru Bahasa Melayu Sekolah Anglo-Chinese (Junior), Cik Fauziah Abdullah; dan Pustakawan (Bahasa Melayu) Perancangan Koleksi dan Pembangunan Lembaga Perpustakaan Negara (NLB), Encik Muhammed Shahril Shaik Abdullah.
Mereka yang berminat menyertai sesi perkongsian dan bengkel boleh mendaftar menerusi laman web www.mtls.edu.sg mulai 13 Julai.
Ibu bapa yang ingin mendapatkan kemas kini mengenai acara tersebut, boleh mengikuti MTLS 2026 di Facebook, Instagram dan LinkedIn.
