Ibu bapa yang ke acara ‘Pathways to Success: Supporting your Child’s Future’ (Laluan Menuju Kejayaan: Menyokong Masa Depan Anak Anda) anjuran Yayasan Mendaki pada 16 November akan dapat menimba pelbagai maklumat dan panduan tentang keibubapaan yang meliputi keseluruhan perjalanan pendidikan anak-anak mereka.
Acara untuk ibu bapa dengan anak berumur 12 tahun dan ke bawah itu diadakan di Institut Pembelajaran Sepanjang Hayat di Paya Lebar dari 10 pagi hingga 2 petang.
Ia dibuka dengan penyampaian ucaptama tentang topik, ‘Meneroka Laluan dan Menyokong Aspirasi Anak Anda’, yang disampaikan oleh pengetua Sekolah Rendah Radin Mas, Encik Muhammad Farizal Umar Effendi.
Ibu bapa kemudian dapat mengikuti perkongsian dalam lapan sesi bermula dari 10.30 pagi. Ibu bapa boleh mendaftar sehingga tiga sesi. Setiap sesi berlangsung selama sejam.
Ini kali kedua acara tahunan itu dijalankan. Sebelum ini, acara tersebut dinamakan, ‘Brunch with Mendaki’ dan diadakan pada November 2023.
Menurut Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Mendaki, Dr Noraslinda Zuber, acara itu bertujuan meningkatkan kesedaran tentang landskap pendidikan yang berkembang dan pentingnya ibu bapa mempunyai harapan dan aspirasi tinggi agar anak mereka cemerlang di sekolah.
“Ia juga bertujuan memudahkan pembentukan ruang penglibatan yang menyokong untuk ibu bapa berkongsi pengalaman dan mendapatkan pandangan daripada pakar bagi menyokong perjalanan akademik anak-anak mereka dengan lebih baik,” katanya.
Di acara itu, ibu bapa berpeluang mengikuti ceramah tentang merancang kewangan keluarga serta pelbagai subsidi pemerintah dan faedah cukai yang ditawarkan untuk membantu membiayai kos mempunyai anak di Singapura.
Ibu bapa juga boleh mengikuti bengkel yang bertujuan meningkatkan pemahaman mereka tentang pembangunan awal kanak-kanak menerusi permainan bermakna.
Dalam sesi tersebut, ibu bapa berpeluang belajar cara menggunakan kit permainan bayi yang akan diberikan Mendaki.
Sementara itu, Persatuan Disleksia Singapura (DAS), akan turut berkongsi tentang kaedah pembelajaran yang berbeza dengan tumpuan diberi pada disleksia yang menjejas pembacaan, ejaan dan penulisan.
Di sesi itu, ibu bapa dan pendidik akan dapat memahami dan mengenali disleksia serta strategi praktikal untuk menyokong kanak-kanak di rumah dan di bilik darjah.
Selain itu, ibu bapa di acara tersebut berpeluang belajar cara memperdalam mutu interaksi dengan anak-anak dan membantu mereka membangunkan pemahaman lebih mendalam tentang dunia di keliling mereka.
Ibu bapa juga dapat mempelajari cara memperkasa keluarga dalam mengharungi cabaran dan tekanan dengan psikologi positif.
Ini bagi memupuk daya tahan dalam diri anak-anak untuk membantu mereka menangani cabaran kehidupan dengan yakin dan berani.
Encik Muhammad Farizal pula akan berkongsi tentang Pengumpulan Berdasarkan Subjek Secara Penuh (FSBB), iaitu usaha oleh Kementerian Pendidikan (MOE) yang membolehkan pelajar dapat belajar setiap mata pelajaran di peringkat asas atau standard berdasarkan kekuatan mereka.
Beliau juga akan berkongsi tentang Skim Pengambilan Masuk ke Sekolah secara Langsung (DSA) supaya ibu bapa dapat membuat keputusan dan menguruskan jangkaan dengan lebih baik.
Sementara itu, ibu bapa sendiri berpeluang mendapatkan panduan dan belajar tentang rancangan pembangunan, pertumbuhan dan penerokaan kerjaya.
Duta Kemahiran bakal hadir untuk membantu ibu bapa mengenal pasti keperluan mereka, serta apakah latihan dan kemahiran yang diperlukan.
Mendaki akan menganjurkan acara ‘Pathways to Success: Supporting Your Teen’s Future’ (Laluan Menuju Kejayaan: Menyokong Masa Depan Remaja Anda) pada Februari 2025 untuk ibu bapa dengan anak-anak berumur antara 13 dengan 17 tahun.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg