Meniti perjalanan keibupaan dalam era sekarang semakin mencabar dengan penggunaan media sosial yang berleluasa.
Justeru adalah penting bagi ibu bapa untuk sentiasa hadir secara aktif dalam kehidupan anak-anak mereka, dan bukan hanya memantau apa yang mereka tonton, tetapi juga menjalinkan hubungan positif bagi membimbing mereka atasi cabaran hidup.
Demikian antara mesej yang kerap diulang dalam pembentangan oleh pekerja sosial, Cik Nur Hilyah Saparin, dan penceramah motivasi, Ustazah Shameem Sultanah, selaku penceramah undangan bagi Sidang Keibubapaan berjudul Mengeratkan Hubungan Bersama Anak, yang diadakan pada 2 November di Pusat Konvensyen Suntec.
Sementara Cik Nur Hilyah menyentuh tentang perhubungan berkesan antara ibu bapa dan anak-anak, Ustazah Shameem berkongsi tip membesarkan anak dengan prinsip keibubapaan Islam yang positif.
Cik Nur Hilyah, pekerja sosial berpengalaman selama lebih dua dekad, berkongsi bahawa antara masalah yang timbul daripada penggunaan media sosial yang berlebihan adalah anak-anak terdedah kepada pembulian siber, isu tidak yakin dengan tubuh badan sendiri, antara lain.
Justeru beliau menggesa ibu bapa agar membina hubungan positif bersama anak-anak selain menepis andaian dan persepsi tidak membantu supaya dapat menjadi tempat anak-anak selesa untuk meluahkan perasaan.
“Ibu bapa perlu mendengar secara aktif, hadirkan diri dan tumpukan perhatian terhadap mesej yang ingin disampaikan (anak).
“Tunjukkan perhatian dan ambil tahu apa yang berlaku kepada anak-anak kita,” katanya.
Sejajar itu, Ustazah Shameem juga mengingatkan ibu bapa bahawa anak-anak merupakan amanah yang perlu dijunjung dan mereka bertanggungjawab terhadap apa yang ditanamkan dalam jiwa anak itu ketika membesarkan mereka.
Beliau juga memesan ibu bapa agar elak daripada gaya ‘keibubapaan helikopter’ atau helicopter parenting – merujuk kepada ibu bapa yang terlalu prihatin dan terlalu takut tentang pengalaman dan masalah anak – yang boleh menyebabkan anak menjadi ‘katak di bawah tempurung’.
Contohnya, daripada menghalang anak memiliki telefon bimbit sehingga usia 25 tahun, ibu bapa sebaliknya patut mendidik anak itu apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan apabila memiliki telefon bimbit sendiri.
Ustazah Shameem juga mengingatkan ibu bapa agar sentiasa meraikan kejayaan anak sekecil mana pun ia dan melafazkan perasaan kasih sayang kepada mereka.
Mereka yang hadir bagi sidang tersebut juga dapat mencedok ilmu keibubapaan dalam perbincangan panel yang dianggotai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Pengasas Hayaa’ Network, Ustazah Liyana Musfirah; Pegawai Kes Kanan di unit penjagaan selepas (penyepaduan semula) AMP, Cik Shafiqah Ashur; Pengerusi Eksekutif dan perunding utama SuChi Success Initiatives Pte Ltd dan Ketua bagi Jawatankuasa Kecil Bapa Teladan di Nakhoda, Encik Mohamed Khair Mohamed Noor; serta Penolong Ketua Penyelaras IM Volunteers Network SG, Encik Danial Iskandar.
Sidang keibubapaan anjuran Berita Harian (BH) dengan sokongan Biro Narkotik Pusat (CNB) itu dihadiri sekitar 100 tetamu, dan diadakan sebagai sebahagian usaha ruangan baru BH, Dunia Anak (DNA), untuk mendekati golongan ibu bapa muda.
Editor BH, Encik Nazry Mokhtar, berkata bahawa persidangan itu disasarkan kepada ibu bapa dan pasangan muda agar mereka dapat menyemai nilai-nilai dan ciri-ciri keibubapaan yang positif.
“Panduan ini penting lebih-lebih lagi dalam suasana hari ini di mana pengaruh seperti media sosial semakin meluas dan boleh meninggalkan kesan negatif ke atas perwatakan anak dan kehidupan berkeluarga. Usaha ini juga sebahagian daripada inisiatif BH untuk mendekati masyarakat dan meluaskan jangkauan kami,” katanya.
Dalam satu video yang dibentangkan sewaktu sidang tersebut, Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, menimbulkan keprihatinan tentang bagaimana godaan dadah merupakan antara cabaran yang membelenggu golongan belia.
Justeru, beliau menekankan betapa pentingnya unit keluarga dalam memupuk nilai, agama dan prinsip yang membimbing anak-anak sepanjang hidup.
Sejajar itu, beliau menggesa ibu bapa agar mewujudkan persekitaran rumah di mana anak-anak berasa selamat dan dihargai.
“Jadi, didiklah anak-anak mengenai bahaya penyalahgunaan dadah. Dan lengkapi mereka dengan pengetahuan untuk membuat keputusan yang baik berdasarkan pertimbangan dan berdiri teguh di sebalik tekanan rakan,” katanya.
Antara ibu bapa yang meraih manfaat daripada sidang tersebut ialah Cik Naziah Mohd Latiff, 34 tahun, dan suaminya, Encik Muhammad Hariz Nordin, 33 tahun, seorang penjawat awam.
Cik Naziah, yang merupakan suri rumah dan ibu dua anak berusia dua dan empat tahun, berkata walaupun anaknya masih kecil, beliau ingin membuat persediaan dalam membimbing anaknya menempuh alam remaja kerana telah banyak dengar tentang padah yang dibawa media sosial.
Menyifatkan persidangan ini sebagai wadah berguna bagi golongan ibu bapa, beliau berkata:
“Banyak yang saya pelajari seperti anak-anak adalah amanah dan mereka perlu kita untuk menghormati mereka. Mereka perlu bimbingan kita untuk bezakan apa yang baik, apa yang buruk.
“Kita juga perlu tahu bahaya media sosial kerana terlalu banyak isu di luar sana dan anak-anak mungkin tidak tahu bagaimana untuk menapisnya, jadi dari situlah ibu bapa perlu hadir untuk bantu mereka mengenal pasti apa yang betul dan apa yang tidak.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg