Bak peribahasa “seperti menghela rambut dalam tepung, rambut jangan putus, tepung jangan berserak”, ibu bapa perlu bijaksana dalam mewujudkan persekitaran yang selamat untuk anak-anak mereka dalam mengharungi cabaran kehidupan.
Itulah yang menjadi tumpuan perbincangan anggota panel semasa sidang keibubapaan berjudul, ‘Mengeratkan Hubungan Bersama Anak’, yang diadakan pada 2 November di Pusat Konvensyen Suntec.
Persidangan anjuran ‘Berita Harian’ (BH) dengan sokongan Biro Narkotik Pusat (CNB) itu, turut mendalami cabaran dalam pembentukan akhlak anak-anak.
Perbincangan panel tersebut dianggotai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Pengasas Hayaa’ Network, Ustazah Liyana Musfirah; Pegawai Kes Kanan di Unit Penjagaan Selepas (Penyepaduan Semula) AMP, Cik Shafiqah Ashur; Pengerusi Eksekutif dan perunding utama SuChi Success Initiatives Pte Ltd dan Ketua bagi Jawatankuasa Kecil Bapa Teladan di Nakhoda, Encik Mohamed Khair Mohamed Noor; Penolong Ketua Penyelaras IM Volunteers Network SG, Encik Danial Iskandar; serta penerbit dan penyampai Podcast NoTapis, Cik Natasha Mustafa, selaku moderator.
Perbincangan tersebut melakarkan usaha yang boleh dilakukan ibu bapa dalam menciptakan persekitaran yang selamat agar anak menghindari penyalahgunaan dadah.
Menurut Cik Shafiqah, persekitaran yang selamat di rumah dapat diwujudkan dengan hubungan yang baik antara ibu bapa dengan anak.
Berdasarkan pengamatan beliau semasa sesi-sesi kaunseling dan terapi keluarga untuk para belia yang menyalahgunakan dadah, kebanyakan mempunyai hubungan kekeluargaan yang renggang.
“Hubungan renggang ini berada di atas satu spektrum di mana ibu bapa mungkin tidak hadir dalam kehidupan para belia ataupun mereka mungkin hadir tetapi tidak terjalin hubungan yang baik antara mereka,” jelas beliau.
Ini merupakan satu cabaran yang perlu diatasi ibu bapa kerana hubungan yang baik dapat mencipta persefahaman dan komunikasi yang baik antara ibu bapa dengan anak.
Dalam mencipta persekitaran yang selamat untuk anak, ibu bapa juga perlu memahami apa yang anak mereka perlukan, kata seorang peserta sidang itu, Encik Muhammad Fadzli Ab Majid.
“Perbincangan anggota panel menekankan bahawa setiap anak itu memerlukan pendekatan yang unik untuk mewujudkan persekitaran yang selamat agar mereka berkongsi perasaan atau pengalaman,” jelas Encik Muhammad Fadzil, 44 tahun, yang hadir dalam persidangan itu.
Beliau juga bapa tiga orang anak yang berusia dalam lingkungan enam tahun hingga sembilan tahun.
Antaranya, ibu bapa boleh mengiktiraf kehadiran dan perasaan anak-anak mereka dengan mendengar luahan mereka, kata seorang lagi anggota panel, Encik Danial.
“Kadangkala, anak-anak kita hanya mahu kita mendengar mereka. Mereka tidak perlukan pandangan pun. Bagi mereka, cukup sekadar ibu bapa mendengar untuk membuat mereka rasa gembira,” kata Encik Danial.
Menurut seorang lagi hadirin, Cik Fitria Farhana Rais, 33 tahun, seorang ibu kepada dua anak:
“Saya setuju dengan panel bahawa kehadiran ibu bapa itu penting supaya anak tahu kita pedulikan dan menyokong mereka dalam kehidupan.”
Menurut Cik Syafiqah, persekitaran yang selamat terdiri daripada aspek fizikal, sosial dan mental yang selamat juga.
Dalam usaha menyediakan persekitaran yang selamat di rumah, ibu bapa juga perlu memahami dan mengamalkan kehidupan yang diinginkan demi mencipta persekitaran sosial yang selamat.
Semasa perbincangan itu, Ustazah Liyana menekankan peri pentingnya ibu bapa membaca dan mencari ilmu tentang gejala di sekeliling anak-anak mereka.
Menurut beliau, ibu bapa tidak boleh tunggu hingga keadaan terdesak untuk menimba ilmu baru kerana pada masa itu, anak mungkin sudah terlibat dalam kegiatan negatif seperti penyalahgunaan dadah.
“Kita ikut ajaran Islam di mana, Allah swt perintahkan untuk kita baca dan kita perlu cuba pastikan ilmu yang ditimba itu dihidupkan dalam kehidupan keluarga kita,” jelas beliau.
Dengan penghidupan ilmu tersebut dalam kehidupan ahli keluarga, maka anak itu dikelilingi persekitaran positif dan boleh menjadikan ibu bapanya sebagai teladan hidup dalam mengharungi kehidupannya, tambah beliau.
Beliau turut menjelaskan bahawa pencegahan atau membantu anak yang terlibat dalam gejala seperti penyalahgunaan dadah memerlukan kerjasama seluruh keluarga yang juga merupakan persekitaran dan sistem sokongan untuk anak itu.
Encik Khair turut menekankan peranan ibu bapa dalam menyediakan persekitaran yang selamat di rumah.
Menurut beliau, ibu bapa perlu bermuhasabah diri tentang kelakuan di hadapan anak mereka untuk membina persekitaran positif dan boleh diteladani.
“Ibu bapa perlu menanam nilai-nilai kecemerlangan, bukan sahaja dari akademik bahkan juga budi pekerti,” tambah beliau.
Dengan nilai tersebut, anak dapat meraih keyakinan dan membina daya tahan untuk mengharungi cabaran mereka.
Awal sebelum itu, peserta juga mendengar ceramah oleh pekerja sosial berpengalaman lebih dua dekad, Cik Nur Hilyah Saparin.
Ceramahnya berjudul, ‘Kemahiran Keibubapaan Positif – Menjalinkan Hubungan dan Mencipta Bersama’.
Seorang lagi penceramah di sidang itu, Ustazah Shameem Sultanah, pula menyampaikan ceramah kedua dengan tajuk, ‘Prinsip Keibubapaan Islam yang Positif’.
Editor BH, Encik Nazry Mokhtar, berharap persidangan itu memberi panduan berguna kepada ibu bapa.
“Panduan ini penting lebih-lebih lagi dalam suasana hari ini di mana pengaruh seperti media sosial semakin meluas dan boleh meninggalkan kesan negatif ke atas perwatakan anak dan kehidupan berkeluarga,” kata Encik Nazry.
Semasa menekankan peranan ibu bapa dalam membimbing anak dalam pencegahan dadah pula, Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, dalam satu video yang ditayangkan semasa persidangan tersebut, mengatakan:
“Nilai yang kami terapkan, bimbingan yang kami berikan dan sokongan yang kami tawarkan boleh membawa perbezaan.
“Ibu bapa perlu mewujudkan sekitaran di mana anak-anak berasa selamat dan dihargai.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg