Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Dari klasik ke kontemporari, beli-belah di KL penuhi cita rasa ramai

Zamrud hijau, strawberi ‘matcha’ antara warna baju Melayu dijangka jadi trend musim Raya akan datang
Jan 18, 2026 | 5:30 AM
ets, jb, kl, shopping raya
Bila terasa lapar, kafe dalam gerabak tren ETS menyediakan makanan sedia dipanaskan dan juga minuman dan snek untuk penumpang. - Foto BM oleh RUBIAH MOHD

Berbelanja di seberang Tambak sudah menjadi kelaziman bagi penduduk Singapura yang berhasrat mendapatkan keperluan Raya seperti perhiasan rumah, kuih-muih dan busana tradisional buat seisi keluarga.

Dengan nilai mata wang Singapura yang kekal melebihi tiga kali ganda ringgit Malaysia, tidak hairanlah aktiviti membeli-belah di sana ternyata lebih berbaloi bagi mereka yang mencari kepelbagaian mutu serta corak, pada harga yang mampu milik.

Kini dengan adanya perkhidmatan kereta api elektrik (ETS), warga Singapura mampu berbelanja lebih jauh sehingga ke Kuala Lumpur dan tidak lagi perlu bergantung kepada pesawat atau bas sahaja untuk ke sana.

Berita Minggu (BM) menjelajah ke ibu kota negara jiran dengan menaiki ETS yang baru sahaja beroperasi sejak 12 Disember lalu.

Antara kelebihan utama menaiki ETS adalah lokasinya yang berakhir di KL Sentral.

Terletak strategik di tengah-tengah bandar, stesen ini memudahkan akses ke pelbagai kawasan membeli-belah, malah ia terletak bersebelahan dengan pusat beli-belah Nu Sentral.

Lazimnya, kawasan Bukit Bintang dan persekitarannya menjadi pilihan popular bagi pelancong untuk menginap, selain kawasan yang berdekatan dengan pusat beli-belah Suria KLCC.

Kawasan Bukit Bintang sendiri menawarkan sekurang-kurangnya 10 pusat beli-belah lama dan baru, antaranya ialah Pavilion Kuala Lumpur, Lot 10, The Starhill, Sungei Wang Plaza, Berjaya Times Square, LaLaport Bukit Bintang City Centre dan The Exchange TRX Mall.

Namun, bagi mereka yang menginginkan kelainan, pilihan penginapan di kawasan Shah Alam atau Putrajaya juga boleh dipertimbangkan untuk meneroka pusat beli-belah di sana.

Sebagai contoh, IOI City Mall di Putrajaya merupakan pusat beli-belah terbesar di Malaysia dan Asia Tenggara, malah antara yang terbesar di Asia dengan keluasan sekitar 8.84 juta kaki persegi yang menempatkan lebih 700 kedai.

Sementara itu, di kawasan Petaling Jaya, The Curve (Mutiara Damansara) menawarkan suasana santai dan mesra pejalan kaki dengan deretan restoran alfresco di mana pelanggan menikmati hidangan di kawasan terbuka, kedai-kedai unik, serta acara hujung minggu yang meriah.

Pesaingnya, One Utama, yang terletak hanya lima hingga 10 minit dengan memandu, turut dikenali sebagai antara pusat beli-belah terbesar di Malaysia.

Dengan pilihan pusat beli-belah yang begitu banyak dengan bermacam jenama baru dan lama, pembeli boleh jadi bingung dan tentu sahaja, tidak dapat meneroka semuanya.

Sebelum membuat pembelian, wartawan sempat menemu bual pereka fesyen di Kuala Lumpur untuk mengetahui ramalan dan saranan mereka untuk koleksi Raya 2026.

Ramalan Gaya dan Trend 2026

Menjelang ketibaan musim perayaan, landskap fesyen Raya 2026 dilihat melalui satu evolusi yang lebih matang dan sofistikated.

Hasil temu bual bersama beberapa pereka fesyen berpangkalan di Kuala Lumpur, trend 2026 ditakrifkan sebagai “segar dan berani” – satu nafas baru yang ditafsir semula menerusi pendekatan minimalis moden.

Menurut Ketua Pereka Ariani Galeri bagi koleksi sedia pakai, Nik Amanina Nik Abdul Aziz, perubahan paling ketara musim ini terletak pada pemilihan jenis kainnya.

Jika sebelum ini fabrik tipis dan labuh menjadi pilihan, bagi musim raya akan datang menyaksikan kebangkitan jenis fabrik yang tampak lebih rapi.

Bagi koleksi terbaru, Ariani Galeri memperkenalkan fabrik Mikado, fabrik tenunan berstruktur yang premium, lazimnya diperbuat daripada sutera atau campuran sutera dan sintetik.

Fabrik ini dikenali dengan kilauan halus, tekstur agak keras sedikit serta keupayaannya mengekalkan bentuk dengan kemasan eksklusif.

Ketua Pereka Ariani Galeri, Nik Amanina Nik Abdul Aziz berkata fabrik berstruktur dapat mengekalkan bentuk dan kemasan menjadikan busana yang dipakai nampak eksklusif.
Ketua Pereka Ariani Galeri, Nik Amanina Nik Abdul Aziz berkata fabrik berstruktur dapat mengekalkan bentuk dan kemasan menjadikan busana yang dipakai nampak eksklusif. - Foto ihsan NIK AMANINA NIK ABDUL AZIZ
Koleksi terbaru sedia pakai Ariani Galeri menonjolkan rekaan busana tradisional tidak terlalu ketat dan selesa untuk pemakai.
Koleksi terbaru sedia pakai Ariani Galeri menonjolkan rekaan busana tradisional tidak terlalu ketat dan selesa untuk pemakai. - Foto TANGKAP LAYAR GALERIARIANI
Tahun 2026 menyaksikan kebangkitan material lebih rapi dengan fabrik Mikado dan Broked melengkapi trend, kata Ketua Pereka Ariani Galeri, Nik Amanina Nik Abdul Aziz.
Tahun 2026 menyaksikan kebangkitan material lebih rapi dengan fabrik Mikado dan Broked melengkapi trend, kata Ketua Pereka Ariani Galeri, Nik Amanina Nik Abdul Aziz. - Foto INSTAGRAM GALERIARIANI

“Penggunaan broked bertekstur turut melengkapi trend ini, memberikan dimensi serta karakter yang lebih eksklusif pada rekaan.

“Bagi wanita yang mementingkan keselesaan tanpa mengabaikan gaya, linen bersulam muncul sebagai pilihan inovatif, menggabungkan sifat fabrik yang mesra cuaca dengan sentuhan sulaman halus yang feminin,” ujar Nik Amanina, 36 tahun, yang menyelia lapan pereka di bawah kendaliannya.

Bagi pereka dan pemilik jenama The Klambi, Encik Fazlan Nor, 49 tahun, aspek kelestarian dan keselesaan menjadi keutamaan.

Rekaannya menampilkan pakaian elegan pada harga mampu milik dengan pendekatan reka bentuk kontemporari.

“Koleksi saya mengetengahkan estetika moden yang ringkas tetapi tetap ‘classy’.

“Fokus diberikan kepada rekaan yang fleksibel dan lestari, membolehkan pemakai mendapatkan nilai jangka panjang tanpa menjejaskan penampilan yang anggun,” katanya ketika ditemui di reruai pop-up The Klambi di KL East Mall.

Sementara itu, pereka fesyen veteran Encik Salikin Sidek, 60 tahun, yang menerajui jenama Salikin Sidek sejak 1991, kekal setia mempertahankan elemen busana tradisional melalui penggunaan tenunan songket sebagai identiti rekaan.

“Saya lebih suka mengikut potongan klasik, seperti baju kurung Johor dengan leher Teluk Belanga dan pesak gantung.

“Untuk kebaya pula, koleksi saya termasuk kebaya pesak, kebaya labuh atau kebaya sekerat tiang atau dikenali sebagai Kebaya Selangor.”

Namun begitu, beliau menambah sentuhan moden dengan fabrik songket berjalur untuk musim perayaan 2026, memberi sudut kontemporari bagi rekaan klasiknya.

Songket bercorak jalur dalam rekaan klasik dan koleksi Raya sedia ada Salikin Sidek bagi 2026.
Songket bercorak jalur dalam rekaan klasik dan koleksi Raya sedia ada Salikin Sidek bagi 2026. - Foto SALIKIN SIDEK

Dari segi visual, palet warna Raya 2026 menampilkan gabungan cita rasa yang sofistikated dan kelembutan.

Nik Amanina mengenal pasti hijau zamrud serta rona biru sebagai warna dominan, manakala warna pastel kekal relevan bagi mereka yang menggemari penampilan lembut dan anggun.

Bagi jenama Onura Atelier, warna paling menonjol dalam koleksi mereka – dan turut menjadi pilihan popular pelanggan – ialah strawberi matcha, gabungan rona merah jambu dan hijau terang yang segar serta manis dipandang.

Koleksi Onura Atelier lebih kepada baju kurung dan kebaya berunsur kontemporari yang berwarna terang, sesuai untuk golongan muda.
Koleksi Onura Atelier lebih kepada baju kurung dan kebaya berunsur kontemporari yang berwarna terang, sesuai untuk golongan muda. - Foto TANGKAP LAYAR ONURAATELIER

Dari aspek potongan, Nik Amanina dan Encik Fauzan sependapat bahawa gaya kontemporari selesa menjadi arah utama rekaan 2026 dengan penekanan diberikan kepada praktikaliti, potongan tidak terlalu ketat, labuh yang memudahkan pergerakan, serta keselesaan untuk aktiviti ziarah sepanjang hari.

“Rekaan yang sederhana sebenarnya nampak lebih mahal,” kata Nik Amanina.

Tip Gaya: Pendekatan Matang

Sebagai pelengkap gaya, selendang siap dengan kerongsang kekal sebagai elemen klasik yang tidak ditelan zaman.

Bagi penampilan berkeluarga, konsep padanan 100 peratus sedondon kini digantikan dengan pendekatan warna tema yang kohesif, membolehkan setiap individu mengekspresikan gaya tersendiri sambil mengekalkan keharmonian visual dalam satu potret keluarga.

Beli kuih-muih

Pengunjung juga boleh mendapatkan kuih-muih raya aneka rasa dari penjaja di pusat beli-belah ataupun secara borong di Jalan Tar yang semestinya riuh dan sepanjang Ramadan.

Kunjungan wartawan ke sana belum menunjukkan kuih Raya yang mula dijual.

Namun difahamkan pilihannya ternyata pelbagai dengan harga yang berpatutan semasa Ramadan nanti.

“Jalan Tar memang tempat yang paling terasa suasana mendekati Ramadan kerana semuanya ada di sana, tetapi di mana-mana pasar malam ada juga,” kata penduduk Kuala Lumpur, Nik Jassmin Hew.

“Tidak sah kalau tidak ke Jalan Tar pada musim perayaan.

“Memang situ tempatnya untuk rasa suasana pasar malam,” tambah seorang lagi penduduk, Cik Nadia Abdul Rahman yang menginap di sebelah selatan Selangor.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg