Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Dari penolong guru ke kru helikopter, gadis S’pura pindah ‘pejabat’ ke glasier NZ

Visa bercuti sambil bekerja beri peluang ‘bertukar angin’ di luar negeri
Aug 24, 2025 | 5:30 AM
Cik Farishia Osman bekerja sebagai kru darat helikopter di Fox Glacier dari November 2023 hingga November 2024.
Cik Farishia Osman bekerja sebagai kru darat helikopter di Fox Glacier dari November 2023 hingga November 2024. - Foto ihsan FARISHIA OSMAN

standfirst: Konsep visa bercuti sambil bekerja lazimnya memberi individu kebebasan untuk melancong ke sesebuah negara bagi tempoh tertentu dan melakukan pekerjaan yang tidak tetap. Kebelakangan ini, ada di antara golongan muda Singapura dilihat merakam pengalaman mereka ‘bertukar angin’ ke negara seperti New Zealand dan Australia untuk memenuhi impian tersebut di media sosial. Kaki Jalan menyorot pengalaman dua individu yang berhenti kerja di Singapura demi mencuba pekerjaan lain di negara asing.

Sebagai penolong guru di sebuah sekolah antarabangsa di Singapura, Cik Farishia Osman pada satu ketika mendapati dirinya mengalami keletihan yang keterlaluan atau ‘burnout’. 

Beliau lantas mempersoal dirinya sama ada ia berbaloi untuk terus bertahan walaupun perlu mengorbankan kesejahteraan dirinya.

Di saat itulah beliau memutuskan untuk berhenti kerja dengan harapan dapat memburu suasana pekerjaan baru.

Namun, tanpa disangka ‘suasana barunya’ itu terletak 8,438 kilometer jauh dari Singapura di kawasan terpencil, Fox Glacier, New Zealand.

“Jadi bayangkan, dari bilik darjah sebagai pejabat saya, saya berpindah ke glasier. Pengalaman itu ibarat kemuncak kehidupan saya,” kata Cik Farishia yang bertukar angin ke New Zealand di bawah visa bekerja sambil bercuti pada November 2023.

Visa program pertukaran kerja Singapura tersebut boleh dimohon warga Singapura berusia antara 18 tahun dengan 30 tahun, meluluskan pemohon untuk inap di New Zealand selama satu tahun atas tujuan bercuti, belajar dan bekerja.

Di bawah visa ini, warga Singapura akan berpeluang untuk mencuba pekerjaan rencam atau ‘odd jobs’ yang tidak tetap.

“Memang visa ini suatu yang saya impikan buat sekian lama. Saya pun tanya diri saya, adakah saya akan menyesal kerana tidak melakukan perkara ini setelah usia saya menjangkau 30 tahun? Lagipun, saya sudah tak rasa kebahagiaan lagi dalam pekerjaan saya (di Singapura), dan saya mahu cari semula tujuan dalam hidup,” ujarnya yang kini berusia 32 tahun, dan pulang ke tanah air pada November 2024.

Mujur, Cik Farishia berjaya mendapat pekerjaan sebagai kru darat helikopter pada minggu pertama beliau berpindah ke New Zealand.

Di dalam skop pekerjaannya, gadis itu perlu mengendalikan perkhidmatan pelanggan, memandu van untuk membawa pengunjung ke kawasan helikopter, membantu mereka naik helikopter, dan kemudian menyambut mereka setelah helikopter mendarat.

“Yang menariknya, saya jumpa ramai warga Singapura ketika bekerja di sana, dan selalunya mereka terkejut dan bertanya apa yang saya sedang lakukan di lokasi yang terpencil, lima setengah jam jauh dari bandar Christchurch,” kata anak bongsu dua adik-beradik itu sambil tertawa.

Cik Farishia Osman (tiga dari kanan) bersama rakan kerjanya yang akhirnya menjadi kawan rapatnya semasa beliau di New Zealand. Mereka berasal dari Malaysia, Belgium, Australia dan juga New Zealand.
Cik Farishia Osman (tiga dari kanan) bersama rakan kerjanya yang akhirnya menjadi kawan rapatnya semasa beliau di New Zealand. Mereka berasal dari Malaysia, Belgium, Australia dan juga New Zealand. - Foto FARISHIA OSMAN

Dihubungi Berita Minggu (BM), Cik Farishia berkongsi bahawa beliau terpaksa tinggal di kawasan perkampungan yang seringkali sepi dan jauh daripada kemudahan bandar, contohnya pasar raya besar terletak dua jam jauh dan hospital pula dua setengah jam jauh.

Bagaimanapun, pengalaman itu mendewasakan dirinya dan beliau mula menghayati waktu-waktu itu yang beliau anggap ‘peluang keemasan’, dan saling bersyukur atas kehidupan di Singapura yang segalanya serba mudah diakses.

Apa yang membantu beliau mengharungi masa-masa berjauhan daripada keluarga adalah kehadiran rakan serumah lain yang berasal dari Malaysia.

Untuk mengisi hari cutinya, Cik Farishia kadangkala menaiki helikopter untuk teroka puncak pergunungan Alp pada yang diselimuti salji putih.

Cik Farishia Osman naik ke puncak menggunakan helikopter untuk menikmati salji.
Cik Farishia Osman naik ke puncak menggunakan helikopter untuk menikmati salji. - Foto-foto ihsan FARISHIA OSMAN

Di lain masa, beliau bersama rakan-rakannya akan meneroka kawasan lain di South Island dan North Island New Zealand, memberinya peluang menjejaki lokasi pemandangan menakjubkan termasuk Pantai Wharariki.

Southern Lights boleh dilihat di kawasan penginapan Cik Farishia Osman di New Zealand.
Southern Lights boleh dilihat di kawasan penginapan Cik Farishia Osman di New Zealand. - Foto FARISHIA OSMAN
Cik Farishia Osman (kiri) berkunjung ke Mount Cook di New Zealand.
Cik Farishia Osman (kiri) berkunjung ke Mount Cook di New Zealand. - Foto ihsan FARISHIA OSMAN

Menyentuh tentang pendapatan yang diraih, Cik Farishia akui bahawa ia sememangnya tidak sebesar mana jika dibanding kerjaya sebelumnya, namun berkata bahawa bukan wang yang dicari.

Sebaliknya, ia pengalaman baru di luar negara yang beliau dambakan.

“Bukan semua warga Singapura nak ambil visa ini, kerana pastinya pekerjaan anda tak terjamin. Mengapa bersusah-payah melancong ke negara lain semata-mata untuk lakukan tugasan remeh?

“Warga Singapura selalunya lebih suka keselesaan dan kestabilan, dan aturan begini tidak stabil – anda ada sewa untuk langsaikan, perlu tanggung perbelanjaan diri, jauh daripada ibu bapa.

“Namun pengalaman ini mengajar saya untuk lebih yakin bertemu orang ramai, lebih berdikari, tidak bergantung kepada sesiapa, dan sudah tentu sekali meluaskan pemikiran saya,” ujarnya yang kini bekerja di sebuah agensi pelancongan di Singapura.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg