Subuh
5:38
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Dari YouTube, media sosial ke TV jaya tingkat populariti

Pemenang Personaliti Lelaki Paling Popular ‘Pesta Perdana 2023’ Shafie Aziz terharu kerja seni jaya pancing pengikut
Jul 05, 2023 | 05:30 AM



Selama sedekad, Shafie Aziz dikenali sebagai pempengaruh YouTube yang berkecimpung dalam wadah media sosial sejak 2009 bersama abangnya untuk menghiburkan penonton dengan cita rasa berbeza.

Kini, Shafie, 30 tahun, juga telah menjalankan proses suntingan bagi projek terbitan syarikat setempat dan juga berlakon di kaca televisyen.

Sebagai pengasas saluran YouTube, Urban Xtreme Monkeys (UXM), akaun itu pada mulanya menawarkan video ‘parkour’, sukan yang memerlukan kepantasan gerakan dan loncatan dari satu tempat ke tempat lain.


Ia kemudian beralih kepada sketsa aksi, komedi dan genre seram dan ia telah membolehkan mereka meraih populariti dalam media sosial.

Peminat mereka bukan sahaja berada di Singapura, malah terdapat juga di negara jiran memandangkan UXM adalah antara YouTuber pertama dalam kalangan masyarakat Melayu di Singapura pada awal 2010-an.

Kini, dengan hampir 150,000 pengikut YouTube dan lebih 20,000 pengikut Instagram, UXM telah berkembang daripada sekumpulan kawan yang merakam dan menyunting video kerana minat, kepada sepasukan anak muda yang menghasilkan syarikat penerbitan sendiri.

Dalam pada itu, Shafie – anak kedua tiga beradik lelaki – yang kerap ditugaskan menyunting video, turut meraih ramai penyokong dan peminat setia di media sosial.

Shafie berganding bahu dengan abangnya, Hafiz, adiknya, Fidzuan dan rakan baiknya, Rizal Kamil.

Meskipun penonton televisyen mungkin kurang mengenalinya tetapi beliau popular dalam kalangan warganet yang mengikuti kerja seninya di media sosial.

Tekad dan dedikasinya menghiburkan orang ramai menerusi media sosial dan juga penglibatannya sebagai watak sokongan dalam drama Anak Metropolitan 4 telah membawa kepada kemenangan bagi anugerah Personaliti Lelaki Paling Popular di Pesta Perdana 2023 baru-baru ini.


Ketika ditemui Berita Harian, Shafie dalam keadaan tidak percaya dan terkejut dengan kemenangannya itu.


“Apabila dicalonkan untuk kategori ini, saya sangat gembira kerana dicalonkan bersama abang saya, Hafiz.

“Sejujurnya, saya tidak sangka diri ini dicalonkan kerana seringkali saya di balik tabir sahaja.

“Kemenangan ini satu kejutan dan juga seperti satu mimpi dan sebuah impian yang menjadi nyata. Saya amat terharu dengan sokongan orang ramai terhadap saya dan karya-karya kami di UXM,” ujarnya.

Dalam kategori itu, Shafie bertanding bersama abangnya, Hafiz Aziz; pelakon Norman Ishak; personaliti media sosial dan juga pengacara, Hafidz Rahman; serta personaliti media sosial dan artis Suria, Zhin Sadali.

Mengulas lanjut menyusuli kemenangan itu, Shafie berkata:

“Secara peribadi, anugerah ini mengiktiraf semua kerja keras saya dan adik-beradik dari dulu.

“Tuhan nampak segala kesusahan dan usaha kami selama ini. Ramai yang mengecam kami dulu kerana mengerjakan sesuatu tanpa matlamat.

“Tambahan pula, pekerjaan ini bukan yang biasa. Tapi kami terus mengusahakan minat kami ini dan secara perlahan-lahan, kami mula mendapat lebih banyak tugasan daripada syarikat lain dan rezeki kian mendatang.

“Ini juga menjadi bukti bahawa dengan usaha, anda boleh mencapai matlamat yang disasarkan,” ujar Shafie, yang juga berkongsi bahawa UXM telah memenangi Anugerah Pinwheels bagi Video Paling Popular 2022 yang disampaikan semasa acara Anugerah Pencipta Kandungan Singapura.


Filem Cerita Hantu terbitan UXM di YouTube telah menjana hampir sejuta tontonan dan ia adalah susulan hasil siri sketsa genre seram mereka.


Shafie turut merakamkan penghargaan kepada semua yang menyokongnya terutama anggota keluarga.

“Tanpa keluarga, terutama sokongan ibu bapa, saya tidak akan berada di sini. Saya amat berterima kasih dengan sokongan ibu bapa kami yang tidak jemu menyokong kami sejak 2009 walaupun pada masa itu, pekerjaan kami tidak menghasilkan pendapatan.

“Kemenangan ini juga kemenangan adik-beradik saya kerana kami satu pasukan. Saya juga sangat berterima kasih kepada semua penyokong UXM yang telah mencalonkan dan mengundi kami, dan yang penting anda yakin dengan kejayaan kami.

“Tanpa sokongan keluarga serta peminat, kami tidak akan berjaya dan mencapai tahap cemerlang kini,” kata Shafie dengan rasa syukur.

Seperti dijanjikan Hafiz dan Shafie, jika salah seorang antara mereka memenangi Anugerah Personaliti Lelaki Paling Popular, mereka akan menerbitkan Cerita Hantu The Movie Part 2, susulan filem seram mereka yang telah dinanti-nantikan peminat.


Antara lain, Shafie juga berkongsi bahawa UXM akan mengeluarkan siri drama silat bertajuk Pendekar pada Julai ini, dengan tujuan memaparkan kesenian Melayu.


“Walaupun kami lebih cenderung dan aktif dalam media sosial, matlamat kami pada akhirnya masih dalam bidang hiburan dengan tujuan untuk menghiburkan penonton dengan sedaya-upaya,” tambahnya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >