Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Dayang Nurfaizah gelisah nyanyi ‘Kesetiaan’ di depan anak Siti Sarah

Selain konsert ‘By Ajai & Mega Friends’ di S’pura pada 10 Mei, album ‘Janji’ juga hadiah buat peminat
Mar 4, 2025 | 4:38 PM
Antara lagu yang bakal didendangkan oleh penyanyi, Dayang Nurfaizah, semasa konsert, ‘By Ajai & Mega Friends’, di The Star Theatre mulai 8 malam pada 10 Mei nanti termasuk, ‘Seandainya Masih Ada Cinta’ dan ‘Kesetiaan’, dendangan asal Allahyarhamha Siti Sarah Raissuddin.
Antara lagu yang bakal didendangkan oleh penyanyi, Dayang Nurfaizah, semasa konsert, ‘By Ajai & Mega Friends’, di The Star Theatre mulai 8 malam pada 10 Mei nanti termasuk, ‘Seandainya Masih Ada Cinta’ dan ‘Kesetiaan’, dendangan asal Allahyarhamha Siti Sarah Raissuddin. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Tinggal lebih dua bulan lagi, penyanyi R&B, pop dan balada dari Malaysia, Dayang Nurfaizah Awang Dowty, bakal menyerikan konsert, By Ajai & Mega Friends, yang akan berlangsung di The Star Theatre, pada 10 Mei.

Berbanding konsert sebelum ini di panggung Arena Megastar, Kuala Lumpur, yang dihadiri seramai 4,200 peminat pada 3 Ogos 2024, Dayang, 43 tahun, akur beliau lebih gementar tatkala diamanahkan menyanyikan lagu dendangan asal, Allahyarhamha Siti Sarah Raisuddin, Kesetiaan.

Ini memandangkan konsert yang menyajikan lagu ciptaan Ajai atau Mohamad Faizal Maas, 49 tahun, di Singapura, akan menampilkan anak perempuan Siti Sarah, hasil perkongsian hidup dengan pelawak Malaysia, Shuib, iaitu Dzahira Talita Zahra, 12 tahun, atau mesra dengan panggilan Thalita atau Dekta.

Semasa konsert yang berlangsung di Arena Megastar itu, Dayang membawakan mahakarya komposer Ajai, Kesetiaan, seorang diri.

Bagaimanapun, beliau agak gelisah untuk menyampaikan lagu, Kesetiaan, di hadapan Thalita di Singapura kelak.

“Semasa konsert pertama yang diadakan di Kuala Lumpur, Thalita tidak ada dalam persembahan kami.

“Sebenarnya Dayang rasa gementar dan sempat memberitahu Abang Ajai jika Thalita ingin menyanyikan lagu itu untuk konsert akan datang nanti, dipersilakan.

“Tetapi, Abang Ajai kata beliau ada lagu yang lebih sesuai untuk Thalita. Dayang pula rasa ini adalah tanggungjawab saya untuk memberikan yang terbaik.

“Lebih-lebih lagi, lagu tersebut mengandungi memori dan makna yang sangat mendalam kepada Thalita sekeluarga.

“Dayang pun tidak boleh membayangkan kalau berada di tempatnya (Thalita) dan mendengar orang lain membawakan lagu ibunya,” kata Dayang apabila ditemui Berita Harian (BH) di Mediacorp Campus pada 21 Februari.

Dayang berada di Singapura bagi rakaman program Hari Raya untuk Mediacorp Suria, Sinar Lebaran 2025.

Selain Dayang, konsert pada Mei itu menjanjikan sebuah malam penuh nostalgia dengan kehadiran barisan penyanyi hebat lain seperti Aina Abdul, Hafiz Suip dan Hazama.

Demi memenuhi permintaan peminat, Asmidar yang mempopularkan lagu, Biar Mimpi Sampai Ke Bintang, turut menggamatkan lagi suasana di pentas The Star Theatre.

Dayang tidak menafikan bakat yang dimiliki Thalita sangat besar dan dia mempunyai ciri khasnya tersendiri, meskipun Thalita baru berjinak-jinak dalam industri muzik,

“Walau pada usianya yang sangat muda, Thalita mempunyai bakat dan potensi yang sangat besar dalam bidang nyanyian.

“Bakat sudah ada tapi masih boleh digilap dan diasah lagi. Pada masa yang sama, dia seorang yang sangat berdikari.

“Dia juga mempunyai ciri khas iaitu suara tersendiri dan tidak boleh dibanding-bandingkan dengan arwah ibunya,” tambah Dayang.

Dalam pada itu, penyanyi asal Kuching, Sarawak itu turut menyatakan belum ada perancangan yang kukuh sama ada lagu, Kesetiaan, bakal dinyanyikan secara solo ataupun duet bersama Thalita.

Buat masa ini, antara lagu yang bakal didendangkan pada konsert nanti adalah, Seandainya Masih Ada Cinta dan Kesetiaan. Kededua lagu itu merupakan hasil gubahan Ajai.

Pada 22 November 2024, Dayang turut tampil dengan album baru berjudul, Janji, yang mengetengahkan betapa dalamnya perasaan penyanyi itu.

Album dengan 13 lagu itu mengupas tema tentang cinta, harapan dan kekuatan serta disampaikan melalui gabungan lagu balada yang mengusik jiwa dan lagu rancak penuh tenaga.

“Kebetulan, tahun lepas (2024) merupakan tahun ke-25 Dayang bergiat dalam industri muzik. 

“Jadi album ini cukup bermakna kerana ia menandakan perjalanan seni Dayang dalam industri ini.

“Melalui album ini, Dayang cuba menepati cita rasa semua peminat, yang telah menemani perjalanan saya sebagai penyanyi dari fasa dan zaman yang berbeza-beza.

“Contohnya lagu Lemah, ia tidak terlalu moden dan tidak juga seperti lagu lama. Lagu ini, justeru itu, mencerminkan jiwa Dayang,” ulasnya.

Beliau berharap agar peminatnya dapat menikmati lagu yang dilantunkan dalam album, Janji, seperti janjinya untuk terus menghibur pencinta seni di kala suka mahupun duka.

Menyambut Ramadan kali ini, Dayang berhasrat mengurangkan kegiatan nyanyian sebanyak mungkin agar dapat menumpukan sepenuh perhatian kepada ibadah dan meraih keberkatan sepanjang bulan mulia ini. 

Namun, meskipun perhatian utamanya lebih kepada aspek kerohanian, beberapa komitmen yang telah dijadual tetap perlu dilaksanakan.

Album, Janji, kini boleh didengarkan di semua wadah penstriman digital.

Tiket bagi konsert By Ajai & Mega Friends, berharga antara $98 dengan $699, pula boleh didapatkan melalui laman web Sistic di www.sistic.com.sg.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg